Thursday, November 18, 2010

Dingin angin kota London


MENARA London, lokasi di mana berlangsungnya pementasan Ceremony Of The Keys.


DUA hari di Manchester, kota itu penulis tinggalkan ketika matahari belum pun menebarkan cahaya. Destinasi seterusnya ialah ibu kota England, London yang terletak kira-kira empat jam perjalanan menerusi lebuh raya. Perjalanan itu bermula lebih awal kerana mahu mengelak kesesakan yang boleh dijangka di London apatah lagi pada hari Jumaat. Perjalanan merentasi lebuh raya ini memberi peluang kepada penulis untuk melihat pemandangan alam mengasyikkan yang terbentang di kiri dan kanan jalan.

Pada kebanyakan masa, perjalanan itu ditemani dengan pemandangan padang ragut yang luas menghijau dan berselang seli dengan kumpulan haiwan ternakan seperti biri-biri, lembu sapi dan kawanan kuda. Sesekali, penulis melintasi rumah agam berciri binaan Inggeris lama yang gah tersergam di tengah-tengah ladang yang saujana mata memandang. Putney, Fulham adalah lokasi di mana penulis akan menghabiskan masa selama tiga hari di London. Bandar ini terletak agak terpinggir dari jantung kota London namun kesibukan kotanya tidak jauh berbeza dengan bandar-bandar lain di sana. Begitu pun, Fulham lebih mendamaikan kerana di sini terdapat banyak taman-taman awam yang merupakan sebahagian daripada istana lama yang boleh dikunjungi untuk aktiviti riadah. Fulham juga menjadi lokasi kepada dua buah stadium bola sepak utama iaitu Craven Cottage, stadium tuan rumah kepada kelab bola sepak Fulham. Sebuah lagi ialah stadium Stamford Bridge iaitu stadium tuan rumah kepada kelab Chelsea. Kedua-dua buah stadium ini terletak berhampiran River Thames dan lokasinya juga tidak jauh antara satu sama lain. Justeru, boleh dibayangkan bagaimana kuatnya semangat mengenai sukan bola sepak di sini sementelah kedua-dua kelab bola sepak itu merupakan pesaing kuat dalam Liga Bola Sepak Inggeris. London penulis jejaki ketika kota itu berada pada suhu paling sejuk dalam musim Autum yang pernah dicatatkan sepanjang tujuh tahun. Suhunya sekitar empat darjah Celcius pada siang hari dan jatuh ke paras negatif pada sebelah malam. Bagi penulis yang sudah terbiasa dengan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun di Kuala Lumpur, suhu itu terasa begitu menyeksakan. Kesejukannya mencengkam sehingga ke tulang dan penulis masih menggigil meskipun sudah dibaluti empat lapis pakaian.

360 darjah dari London Eye

Begitu pun keinginan untuk meneroka setiap inci kota London sedikit pun tidak berkurang dan tidak ada cara yang lebih pantas untuk melihat keseluruhan kota ini melainkan dari udara. Pengalaman itulah yang penulis rasakan ketika berada di dalam gondola London Eye iaitu satu aktiviti kemestian bagi sesiapa sahaja yang melancong ke sana. Pada ketinggian 135 meter, gondola London Eye yang berpusing selama 30 minit menjanjikan pemandangan kota London pada sudut 360 darjah. Pemandangannya menjangkau sehingga 40 kilometer merentasi beberapa monumen penting London seperti Somerset House di sebelah utara serta House of Parliament dan Big Ben di bahagian selatan. Di sebelah Barat, bangunan ibu pejabat Swiss RE yang berbentuk seperti hujung peluru tersergam indah manakala beberapa bangunan Inggeris lama seperti Buckingham Palace, HM Treasury dan Whitehall Court pula berdiri gagah di sebelah Timur. Malam di London pula menjanjikan sisi kehidupan yang berbeza dan meskipun di balut kedinginan pada suhu negatif, ia tidak pernah mati.

Ceremony Of The Keys

Menara London yang terletak di tepi sungai Thames misalnya, sentiasa hidup dengan sebuah persembahan yang dikenali sebagai ‘Ceremony of The Keys’. Ia merupakan acara tradisi mengunci Menara London yang dipersembahkan sejak 700 tahun lalu dan kekal dalam bentuk yang hampir sama sejak tradisi itu bermula. Pementasan yang bermula tepat tujuh minit sebelum pukul 10 malam ini hanya berdurasi kira-kira 20 minit. Tetapi tempahan untuk menyaksikannya perlu dibuat seawal dua bulan. Secara ringkas, persembahan ini membabitkan beberapa pengawal istana yang ditugaskan untuk mengunci pintu pagar utama Menara London yang ketika itu didiami oleh Queen Elizabeth. Tiada apa yang menarik sebenarnya daripada persembahan yang dipentaskan oleh kira-kira 15 orang pelakon ini. Tetapi apa yang menjadikannya istimewa ialah persembahan ini hanya dapat disaksikan secara langsung kerana ia tidak dibenarkan dirakam baik secara gambar pegun atau video.

Sukan Olimpik London 2012

Bakal menjadi tuan rumah kepada temasya sukan terbesar di dunia iaitu Sukan Olimpik pada 2012, London seakan-akan tidak sabar untuk menerima lebih dua juta pengunjung dan atlet yang akan memeriahkan temasya sukan tersebut. Buktinya, promosi sukan itu yang hanya akan berlangsung kira-kira dua tahun dari sekarang sudah dibuat ke serata dunia. Penulis juga tidak melepaskan peluang meninjau dengan lebih dekat lokasi yang akan menjadi pusat kepada acara sukan itu iaitu Olympic Park. Terletak di kawasan seluas kira-kira 200 hektar, lokasi tepat Olympic Park ialah di West End, Greenwich. Di sini juga, sebuah monumen baru bagi London iaitu Stadium Olympik dengan 80,000 kapasiti tempat duduk dibina. Stadium ini akan menjadi stadium ketiga terbesar di United Kingdom selepas Stadium Wembley dan Stadium Twickenham. Sebuah lagi stadium yang akan menjadi mercu tanda baru di London ialah Pusat Akuatik yang bumbungnya dibina seperti sengat kala jengking. Perkampungan Sukan yang dibina seolah-olah di dalam taman meskipun masih tidak jelas kelihatan, namun bakal menjadi sebuah penempatan yang menarik apabila dihubungkan dengan taman-taman seperti Thames Barrier Park dan Lee Valley menerusi sungai.

White Horse Final di Stadium Wembley

Dari tapak lokasi pembinaan Sukan Olimpik, penulis menuju pula ke sebuah lagi monumen utama sukan di London iaitu Stadium Wembley. Dari kejauhan, stadium ini boleh kelihatan menerusi arcanya, Wembley Arch yang menjulang tinggi ke langit dan memancarkan cahaya terang-benderang. Seperti di Old Trafford, Manchester, Stadium Wembley ini juga penulis dekati dengan mengelilingi sekeliling stadium bertemankan seorang pemandu pelancong. Penulis dibawa ke hampir setiap ruang di dalam stadium ini termasuk ke bilik persalinan pemain bola sepak England serta ruang yang menempatkan piala-piala utama kepada pelbagai acara sukan.

Sedikit informasi mengenai stadium ini, pembinaannya bermula pada 1880 sebagai Wembley Park Leisure Grounds namun hanya dirasmikan sebagai sebuah stadium pada 23 April 1924 oleh King George V dengan nama The Empire Stadium. Memiliki 90,000 kapasiti tempat duduk, stadium ini menjadi gelanggang kepada hampir semua acara sukan utama seperti bola sepak, ragbi, kriket dan banyak lagi. Ia juga menjadi lokasi kepada acara berbentuk hiburan kepada nama-nama besar seperti Green Day; Muse; Madonna; The Rolling Stones dan ramai lagi. Begitu pun sejarah yang paling diingati daripada Stadium ini barangkali berlaku pada 1923 iaitu ketika berlangsungnya perlawanan akhir Piala FA yang pertama. Kerana menjangkakan perlawanan itu tidak akan mendapat sambutan, pengurusan stadium telah mempromosikannya di dalam akhbar dan mengadakannya secara percuma. Bagaimanapun, lebih satu juta penonton membanjiri stadium itu pada hari perlawanan sehingga memenuhi kawasan padang permainan. Keadaan itu memaksa pengurusan stadium menyuraikan penonton dengan seorang pengawal yang menaiki kuda putih. Kerana peristiwa itu juga, Stadium Wembley terkenal dengan jolokan ‘The White Horse Final’.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: