Friday, November 19, 2010

Dewi Remaja Tak Tiru Program Realiti Lain

Azrin Mohd Noor bersama tiga peserta Dewi Remaja

PETALING JAYA: Pertandingan Dewi Remaja menerusi majalah remaja sejak tahun 80an sememangnya menjadi platform para remaja wanita untuk melangkah ke dunia hiburan.

Ramai nama-nama besar dalam dunia lakonan dan peragaan muncul dari pertandingan popular ini seperti Aleeza Kassim, Juliana Banos, Annahita Bakavoli, Scha Al-Yahya dan ramai lagi.

Apa yang menarik kali ini ialah ini akan dibawa menerusi saluran Astro Ria bermula 24 November ini, pukul 9.30 malam.

Menerusi Oranje TV, anak syarikat SEDANIA Group, program realiti ini mempunyai konsep tersendiri tanpa maniru mana-mana program realiti lain di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sedania TV,Azrin Mohd Noor, berkata menyedari pertandingan ini mempunyai pengikut tersendiri, mereka percaya ia mampu memberi kepuasaan kepada pengikutnya.

“Kalau dulu hanya boleh dilihat menerusi majalah sahaja kini peminat Dewi Remaja boleh melihat dan menilai sendiri perwatakan peserta-peserta yang bertanding di kaca tv.

“Dari segi sambutan memang sangat menggalakkan. Kita juga akan menggunakan acuan sendiri tanpa meniru mana-mana program realiti tv yang sudah ada,” katanya.

Selain itu, pertandingan ini bukan sahaja menilai kecantikan semata-mata malah menilai dari segi pengetahuan dan personaliti yang ada pada peserta.

Anzalna Md Nasir

“Program ini akan menampilkan 12 peserta yang akan bersaing untuk merebut gelaran Dewi Remaja 2010. Tujuan kami bukan sahaja mencari ratu cantik tetapi juga mencari pekej lengkap yang lebih baik dalam diri juara. “Dalam program ini juga kita memberi pendedahan dari pelbagai aspek termasuk grooming. Kami juga membuat rakaman untuk enam episod yang membabitkan aktiviti mereka sewaktu berada di tempat tinggal khas yang disediakan. Seperti biasa sudah tentu ada unsur-unsur dramatik yang akan dipaparkan,” ujarnya.

Setiap episod peserta akan diadili oleh seorang juri. Peserta dinilai berdasarkan markah yang terkumpul dari episod pertama hingga ke lima. Tiada sebarang penyingkiran dibuat dalam setiap episod.

Pertandingan akhir pula bakal berlangsung 5 Januari 2011 yang akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria.

Sementara itu, tiga peserta yang bertanding mengakui menjadikan pertandingan ini sebagai landasan kepada mereka untuk menonjolkan bakat yang ada.

Ramona Ros Ramona Qudira

Bagi Anzalna Md Nasir, 22, mengakui teruja diberi peluang untuk berada di pertandingan ini. Percaya kepada diri sendiri Anzalna mahu dirinya berada sebaris dengan pemenang Dewi Remaja terdahulu.

“Saya mengetahui pertandingan ini melalui teman lelaki. Selain mempunyai kelebihan iaitu mampu menguasai pelbagai bahasa, saya berharap dapat mengecapi impian yang terpendam,” katanya.

Ramona Ros Ramona Qudira, 20, mahu bakat sebagai peragawati dapat diketengahkan lagi.

“Sejak kecil lagi saya sudah berjinak-jinak dalam dunia peragaan. Ini merupakan peluang yang baik kerana apa yang saya lihat ramai peragawati terkenal lahir melalui pertandingan Dewi Remaja ini,” katanya.

Shaagleharee Nadarajan

Shaagleharee Nadarajan, 21, gembira kerana terpilih menjadi salah seorang peserta dalam pertandingan ini. Dia yang menuntut dalam bidang perubatan di sebuah kolej swasta di ibu kota mengakui meminati bidang pengacaraan sejak kecil lagi.

“Saya seorang yang banyak cakap, kalau boleh saya mahu menceburi bidang pengacaraan dan mempunyai program bual bicara tersendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: