KUALA LUMPUR, 2 Nov Bank Simpanan Nasional (BSN) menjangka dapat mencapai sejumlah 300,000 pelanggan bagi perkhidmatan perbankan Internet yang baru dilancarkannya, MyBSN, menjelang akhir tahun, kata Timbalan Ketua Eksekutif bagi perbankan pengguna dan pembangunan perniagaannya, Yunos Abd Ghani.
Yunos berkata 2,000 pelanggan menggunakan MyBSN sejak pelancarannya pada 27 Oktober dan di bawah ujian percubaannya, ia mencatatkan seramai 5,000 pengguna yang terdiri daripada kakitangannya sendiri.
"Kami berharap dapat mencapai sasaran ini melalui kempen-kempen dan kegiatan promosi," katanya kepada pemberita selepas pelancaran tidak rasmi MyBSN di sini Selasa.
Kata Yunos bank itu telah melabur sejumlah RM5 juta bagi membangunkan perkhidmatan itu.
Beliau berkata perkhidmatan itu, yang disasarkan kepada golongan belia dan eksekutif muda, akan membantu pelanggan melalui pengalaman perbankan yang lebih baik serta menyediakan capaian melalui Internet bagi urus niaga seperti pembayaran bil, tambah nilai prabayar dan banyak lagi.
"Kami menggalakkan pelanggan kami mengaktifkan akaun perbankan Internet mereka," katanya.
Menurut Yunos pelanggan-pelanggan dan orang ramai boleh juga mengakses portal MyBSN di alamat www.mybsn.com.my.
Kata beliau bank itu merancang untuk menambah ciri-ciri baharu seperti membeli belah dan menempah tiket dalam talian di bawah fasa kedua perkhidmatan itu.
BSN, yang ditubuhkan pada 1 Dis, 1974, mempunyai kira-kira tujuh juta pelanggan di seluruh Malaysia.
Ia mengendalikan deposit simpanan runcit berjumlah RM10.8 bilion.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: