|
|
KEBENARAN memang payah untuk diluahkan tetapi tidak buat sang jelitawan . Wanita ini memang lantang bersuara sekiranya terdapat mana-mana perkara yang bertentangan dengan prinsip diri. Frasa ‘whatever’ sentiasa menghiasi bibir mongel anak kelahiran Perak dan dijadikan perisai utama andai ada pihak menghentam pendiriannya dengan mengungkit kisah silam.
“Falsafah hidup Tasha cukup mudah. Bekerja kuat untuk kesenangan sendiri dan keluarga. Tidak perlu cium punggung atau tidur dengan sesiapa untuk mempercepatkan langkah ke hadapan,’’ tingkah awal tatkala bercerita tentang pendiriannya itu.
Disebabkan kelantangan dan sikap keterbukaan itu juga, pemenang kategori Pelakon Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) ini diduga dengan pelbagai cerita kurang manis.
Kisah kegagalan dua rumahtangganya kerap kali menduga kesabaran Natasha. Di sini dia bertarung dengan pelbagai cemuhan sementelah ada pihak yang menawar diri menjadi ‘orang tengah’, sibuk menguruskan perihal peribadinya.
‘‘ Tasha bertmbah keliru apabila ada pihak mempersoalkan kehadiran Tasha dalam industri sen. Ada juga yang suruh Tasha berundur sahaja sebab tak guna industri ada insan kaki penipu macam Tasha. Apa ini?
‘‘Kisah kontroversi lebih selesa dikaitkan dengan Tasha berbanding cerita kerjaya Tasha. Sedangkan Tasha punya bakat tersendiri yang boleh dibawa ke hadapan. Susah sangatkah nak terima Tasha ini?,’’ soal wanita ini tatkala ditanya tentang kedudukannya sebagai anak seni pada hari ini.
Diakui bahawa perjalanan hidupnya sebagai anak wayang sejak enam tahun lalu penuh ranjau berduri. Tambahan apabila masyarakat sudah melabel dirinya dengan gelaran seperti ratu ciplak, ratu propa atau pembohong besar menyebabkan dia selalu tersentap.
Justeru, anak campuran Melayu dan Anglo-Australia ini merasakan apa sahaja kekhilafan yang terjadi pada masa lampau itu berlaku tatkala dia belum cukup matang lagi. Tidak mengerti apa yang dikehendaki oleh ‘pasaran’ orang seni ketika itu.
Tammbahan pula kehadiran Natasha secara bersendirian tanpa merujuk kepada mana-pihak pihak lebih berpengalaman dalam bidang seni mengusutkan lagi keadaan. Telahannya, perkara `hitam’ itu boleh dielakkan andai ada insan yang sudi memperbetulkan langkah sumbangnya.
‘‘Cukup menyedihkan apabila orang di luar sana bebas mengutuk macam-macam tentang Tasha. Sedangkan Tasha tidak pernah diberi peluang untuk bersuara. Tidak adil bukan?
‘‘Geram dan rasa jelik timbul, rasa mahu berundur saja. Sebab tidak mahu mengalah, Tasha pedulikan apa orang nak kata tentang Tasha, dan biarkan Tasha hidup dalam dunia ‘what ever’ Tasha sendiri.
‘‘Tasha bukan jenis yang kuat memberontak, melenting tak tentu pasal untuk memperlihatkan rasa tidak puas hati. Tasha anggap apa sahaja dugaan itu daripada Tuhan,’’ bongkar rahsia hati wanita ini sedikit demi sedikit.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Grafik dan Pengiklanan dari University of Chicago dan Sarjana Lanjutan dalam Tarian, Muzik dan Lakonan dari Chicago Performing Arts School ini tekad untuk menempuh apa juga cabaran.
Pemegang watak Azrin Aziz dalam filem seram Chermin ini kini semakin bersedia untuk menempuh apa juga cabaran termasuk berdepan dengan apa juga rintangan pada masa depan.
Dihimpit cinta VVIP
Janda muda berusia 28 tahun ini kelihatan cukup tenang tatkala mengupas soal isi hatinya. Luarannya cukup bersedia tatkala persoalan tersebut dibangkit.
‘‘Tasha bukan perempuan yang mudah meraih cinta dari sebarang lelaki. Walaupun ada insan yang menghimpit dekat, Tasha tak tergoda. Belum cukup kuat untuk menggoyahkan iman Tasha. Janjilah apa juga kemewahan, Tasha tak pandang sebab itu bukan sasaran utama.
‘‘Tasha lebih bersikap memilih sebab Tasha tidak mahu terburu-buru. Sebab ada lelaki yang datang, pada mulanya sangat sempurna, tidak cacat cela, tetapi bertukar warna selepas mengenalinya beberapa bulan kemudian.
‘‘Ada yang mula mengajak Tasha berkahwin dan gunakan helah yang macam-macam untuk menawan hati Tasha. Macam ada udang sebalik batu pun ada, sebab itu Tasha tak boleh ambil mudah soal kahwin kali ini,’’ dedahnya satu persatu.
Strategi yang bakal dilancarkan dalam misi pencarian suami kali ini adalah mengenakan ujian secara perlahan-lahan kepada mereka. Bagaimanakah proses ujian itu berjalan? Berulang kali Natasha tidak mahu memperincikan kerana ia terlalu sulit.
Jelasnya: ‘‘Saya belum terdesak nak berlaki sangat. Cuma kadang kala agak rimas bila orang mempersoalkan status saya ini. Buat apa saya tergesa-gesa mencari pengganti yang belum diketahui hati budinya lagi.
‘‘Jadi lebih baik Tasha bersendirian buat sementara, fokus kepada keperluan anak, Neesa Helena yang dah masuk umur dua tahun setengah. Sebab dia adalah keutamaan Tasha sekarang ini. Tasha nak pastikan dia dapat kasih sayang secukupnya,’’ katanya lagi.
Ditanya siapakah individu yang pernah mendekati heroin filem Tipu Kanan Tipu Kiri terdiri daripada orang kenamaan, wanita ini hanya tersenyum penuh makna.
Katanya, tidak semua bergelar orang terpenting pun, cuma segelintir sahaja. Dia tidak boleh dedahkan siapa kerana ia terlalu peribadi.
Saat ditanya adakah Natasha tergolong dalam kategori wanita materialistik yang gemar mengejar lelaki bergelar Datuk atau berpoket penuh sahaja, pelakon teater muzikal Ibu Zain dan Gamat ini menggelengkan kepala.
‘‘Cukuplah Tasha dihina macam-macam bila soal kahwin dengan orang kenamaan dibangkitkan. Ini semua soal jodoh. Tasha tidak boleh cakap kahwin dengan orang kaya sahaja boleh buat Tasha bahagia sementara kahwin dengan orang biasa, buat Tasha menderita.
‘‘Begitu juga dengan soal keserasian. Mengapa sebelum berkahwin timbul keserasian tetapi tidak terjadi selepas berkahwin. Sekali lagi Tasha cakap perkara itu di luar kawalan pasangan itu kadang kala,’’ katanya jujur.
Mengupas tentang soal kesunyian selepas berpisah dengan bekas suami, Datuk Shahrin Zahari pada penghujung tahun 2009, pelakon tele filem Superwoman dan Biar Putih Tulang ini tidak menafikan perasaan itu kadang kala menjelma.
Namun, perasaan hening itu bertukar dengan keriuhan Neesa yang semakin nakal, bijak bercakap dan sering menghiasi harinya itu.
Menyentuh tentang soal nyanyian, model komesial ini dilihat rancak bercerita tentang rancangan untuk bergelar penyanyi secara rasmi selewat-lewatnya awal tahun depan.
Sekarang ini sudah tiga lagu sudah dirakam dan salah satunya lagu duet bersama kumpulan hip-hop, Phlowtron bergenre R&B dan pop.
‘‘Tasha akan terbang semula ke Jakarta, Indonesia selepas keadaan di sana benar-benar selamat. Risau juga dengan situasi Gunung Merapi yang masih aktif itu,’’ ujarnya.
Pada masa yang sama, Natasha meminta agar soal single pertamanya berjudul Hanya Tuhan Yang Tahu dikatakan mirip dengan lagu Right or Wrong yang ditulis sendiri oleh Kimberley Chuah tidak diulas semula.
Tambahnya, perkara tersebut sudah berlalu dan tidak perlu diungkit semula kerana dia sudah mendapat pengajaran ‘istimewa’ di sebalik kejadian tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: