Tuesday, November 16, 2010

Bazar paling gah di George Town




LALUAN menuju ke gerai A9 di tingkat satu pasar tersebut kelihatan sesak. Timbunan buku-buku lama dan terpakai tersusun rapi di bahu-bahu laluan itu sudah lebih dua dekad menjadi pemandangan biasa bagi Gulam Mohemed, 55.

Pengusaha kedai buku terpakai itu sebenarnya merupakan salah seorang daripada kira-kira 10 peniaga buku lama yang masih giat beroperasi di pasar itu.

“Lebih kurang tiga hingga empat buah kedai buku seperti ini sudah lama ditutup setelah pemiliknya meninggal dunia,” kata Gulam kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di Pasar Chowrasta, George Town, Pulau Pinang baru-baru ini.

Berasal daripada perkataan Urdu, Chowrasta yang membawa maksud simpang empat merupakan salah satu daripada dua buah pasar masyarakat di bandar raya itu. Terletak di persimpangan Jalan Penang, Jalan Chowrasta, Jalan Kuala Kangsar dan Lebuh Tamil, pasar itu telah menjadi lokasi Gulam mencari rezeki untuk menyara keluarga.

Stok buku-buku terpakai yang dijual pada lingkungan harga serendah 30 sen sehingga RM20 senaskhah itu menjadi antara sebab pengunjung terus berkunjung ke sana.

Seorang pelanggan tetap, Yeesparan Poonosamy berkata, gerai-gerai buku terpakai di Chowrasta telah pun wujud sejak dia dilahirkan 46 tahun lalu. Baginya, Chowrasta sudah menjadi lokasi kegemarannya untuk mendapatkan stok pelbagai bahan bacaan ataupun rujukan.

Bapa kepada dua orang anak itu mula mengunjungi gerai-gerai buku terpakai tersebut sejak di bangku sekolah. Ketika itu, bahan-bahan rujukan seperti buku pelajaran amat sukar ditemui.

“Jadi, Pasar Chowrasta menjadi ‘sasaran’ saya untuk mendapatkan buku-buku rujukan terpakai yang lebih murah,” katanya yang berkhidmat sebagai penolong pengurus kilang.

Meskipun zaman persekolahan telah lama berlalu, Yeesparan dan isterinya, Siyamaleswari Veeriah, 45, masih berkunjung ke gerai buku bernombor A9 itu untuk mencari bahan bacaan.


PERBEZAAN fizikal bangunan Pasar Chowrasta, George Town pada masa kini berbanding pada tahun 1950-an.


Yeesparan menambah, bagi setiap kunjungannya ke gerai itu, sekitar enam hingga 10 buah buku genre novel akan dibelinya. Walaupun koleksi pilihannya bukan daripada terbitan terkini, sekurang-kurangnya ia masih dalam keadaan baik.

“Kami tidak kisah walaupun sebilangan besar buku di sini adalah buku terpakai. Saya percaya dengan harga yang begitu murah, mereka yang tidak gemar membaca pun boleh tertarik pada hobi berfaedah ini,” tambah Siyamaleswari sambil membelek-belek buku yang tersusun padat di atas rak-rak buku di situ.

Hakikatnya, Siyamaleswari sendiri telah memborong sejumlah edisi lama majalah import dari India, Femina.

Bagi generasi kedua peniaga telur di Pasar Chowrasta, John Tan, 56, pasar basah itu pernah mencapai titik kegemilangannya suatu ketika dahulu. Prestasi perniagaan sekitar tahun 1960-an dan 1970-an dikatakan jauh lebih baik berbanding sekarang.

Suasana meriah yang pernah mewarnai bangunan tiga tingkat itu kini hanya tinggal kenangan.

Ragam bisnes

John mula membantu bapanya berniaga di gerai di situ ketika dia berusia 12 tahun. Sejak itu, dia menjadi saksi kepada pelbagai ragam bisnes dan masyarakat termasuk merasai zaman kemuncak dan kejatuhan populariti Pasar Chowrasta.

Dahulu, nama Chowrasta cukup gah. Sebahagian besar penduduk di sekitar bandar raya George Town bergantung kepada pasar berkenaan untuk mendapatkan segala barangan keperluan harian.

“Daripada makanan basah dan kering, pakaian sehinggalah barang permainan terpakai, semuanya ada di sini. Bagi kami, berniaga pada zaman itu jauh lebih baik dan mudah berbanding sekarang,” cerita bapa kepada seorang anak itu.

Malangnya, harapan untuk melihat pasar itu terus berkembang maju bagaikan satu impian yang sukar direalisasikan. Keadaan Chowrasta kini suram. Kesuraman itu dikatakan berpunca daripada pelbagai faktor.

Salah satu daripada punca utamanya adalah masalah ruang parkir yang sangat terhad. Keadaan bertambah buruk apabila ruang-ruang parkir sedia ada turut diambil oleh sesetengah peniaga pakaian yang mementingkan diri.

Hakikat peredaran zaman juga menyaksikan kos sewa blok-blok perniagaan berdekatan pasar tersebut turut meningkat. Kalau dahulu, kos sewanya cuma sekitar RM80 sehingga RM100 sebulan bagi setiap blok perniagaan dua tingkat. Hari ini, golongan penyewa berkemungkinan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk blok yang sama.


PERNIAGAAN jeruk Hua Aw masih bertahan berikutan mempunyai ramai pelanggan tetap.


Sudah tiga dekad menjalani perniagaan runcit, Pasar Chowrasta cukup nostalgik buat Hung Beng Teik, 62 tahun. Bapa kepada tiga orang anak itu memberitahu, kemeriahan pasar tersebut pada tahun 1970-an bukan berlaku tanpa sebab.

Kenangan lalu

Pasar Chowrasta asal dengan bentuk bumbung rabung telah dibina oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada tahun 1890. Pasar lama itu bagaimanapun dimusnahkan 71 tahun kemudian bagi membina struktur bangunan yang baru pada tahun 1961.

Apabila siap ia menjadi antara bangunan pertama yang dilengkapi eskalator di Pulau Pinang.

Menurutnya, tingkat bawah dan tingkat pertama pasar berkenaan pernah menempatkan sebuah pasar raya sulung di pulau tersebut. Tambahan pula, status George Town sebagai pelabuhan bebas cukai sebelum tahun 1969 turut menjadikan Chowrasta antara tarikan mutlak bagi pelancong dari dalam dan luar negara.

Mengikut Beng Teik, pelanggan dari Singapura sanggup datang ke pasar itu semata-mata untuk mendapatkan produk minyak wangi.

“Sekarang, pasar ini sudah terlalu usang. Pihak berkuasa seharusnya mengambil langkah untuk mencantikkan semula bangunan ini jika ingin ia terus menarik minat pengunjung.

“Masalahnya, penaiktarafan Chowrasta telah berkali-kali diperkatakan tetapi akhirnya tiada apa-apa yang berlaku,” jelas Setiausaha Persatuan Peniaga-peniaga Chowrasta itu.

Pemilik gerai jeruk dan makanan kering, Ang Hua Aw, 52, pula tahu kenapa Chowrasta masih ‘hidup’ hingga ke hari ini. Keramahan dan cara perkhidmatan peniaga bazar Chowrasta yang baik dipercayai berjaya menambat hati pelanggan untuk terus kembali.

Naik taraf

“Pelanggan tetap biasanya sudah tahu mana hendak cari gerai kegemaran mereka. Jadi, kalau ada perancangan untuk mengubahsuai tempat ini, kami masih boleh kekal di tapak lama,” tambahnya yang telah tiga dekad berniaga di situ

Hua Aw amat bersyukur kerana masih dikunjungi ramai pelanggan tetap. Dua tapak perniagaan runcit dan jeruknya masing-masing disewa pada kadar RM70 dan RM149 sebulan.

Seorang pelanggan tetap jeruk di gerai Hua Aw, S. Kwok, 38, berkata, gerai jeruk Hua Aw menjadi pilihannya sejak mula-mula datang bercuti di Pulau Pinang kira-kira lima tahun lalu. Selain jeruk, wanita yang berasal dari Singapura itu juga amat berpuas hati dengan stok bahan masakan seperti kulit tofu yang segar yang dijual di pasar itu.


SUASANA di dalam Pasar Chowrasta suatu ketika dahulu dikatakan lebih riuh dan meriah dengan kehadiran pengunjung.


Terletak dalam zon warisan, kesuraman pasar Chowrasta pernah mengundang impian pihak kerajaan negeri untuk menaik taraf bangunan bersejarah itu.

Rancangan untuk mengubah penampilan dan struktur bazar Chowrasta pernah disuarakan pada tahun 2002. Namun, pelan itu tidak terlaksana dan terpaksa dilupakan pada tahun 2008 berikutan faktor kewangan dan keengganan peniaga untuk berpindah ke bazar di Jalan S.P. Chelliah.

Pengarah Bangunan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Yew Chung Seang yang dihubungi Kosmo! memberitahu, perbincangan tentang masa hadapan bazar Chowrasta akan dijalankan oleh MPPP dengan anak syarikat Khazanah Holdings, Think City Sdn. Bhd..

Menurutnya, sebarang keputusan yang bakal dibuat sudah tentu akan mengambil kira maklum balas daripada orang ramai dan golongan peniaga terlebih dahulu.

“Proses untuk mengumpul maklum balas ini akan mengambil masa empat hingga enam bulan sebelum kita boleh memberitahu keputusan perbincangan,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: