MENGENALI kawasan perkampungan tradisional, Kampung Belukar Durian, Tanjung Sedili, Johor pasti suatu pengalaman yang sukar dilupakan. Apatah lagi kalau ia termasuk dalam pengisian khidmat bakti 63 orang siswazah Kolej Sembilan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang menyertai program Jalinan Ukhuwah dan Khidmat Masyarakat Sedili 2010.
Selain mendapat kerjasama daripada Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), lebih membanggakan, program julung kali diadakan itu turut disertai 20 orang pelajar luar negara dari Universiti Konyang, Korea Selatan.
Program dimulakan dengan majlis penyerahan anak angkat kepada 35 keluarga yang terlibat, iaitu kesemua peserta program tinggal bersama keluarga angkat masing-masing sepanjang program dijalankan.
Rata-rata peserta menyifatkan program berkenaan membuka peluang kepada mereka untuk mengenali sekitar kawasan tempat mereka menimba ilmu. Selain itu, ia juga dapat merapatkan lagi hubungan sesama kenalan baru dengan melakukan aktiviti kemasyarakatan bersama.
Program yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kota Tinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar itu turut dijayakan dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni dan Kejora.
Membina jati diri
Pengarah program yang juga ketua pelajar, Noor Azura Aris, 21, berkata, program itu dilaksanakan bertujuan untuk memperkasakan kemahiran dan membina jati diri mahasiswa selaras dengan tema program, Mahasiswa Berkemahiran Pemacu Transformasi Minda.
Katanya, di samping berpeluang mendekati dan menjiwai kehidupan masyarakat Sedili, penganjuran program itu juga mampu mencerminkan kematangan mahasiswa khususnya dalam penganjuran berbentuk khidmat komuniti yang mempunyai keunikan.
Menurut Noor Azura, tujuan utama program tersebut adalah untuk membantu dan memberi khidmat kepada masyarakat kampung selain menaik taraf perkampungan tersebut sebagai pusat informasi pelancongan berasaskan ekopelancongan.
“Pelajar juga dapat mengaplikasi teori dalam kelas kepada latihan praktikal seterusnya memahami kepentingan pengurusan pelancongan dan kewujudan komponen-komponen penting bagi pelancongan dengan lebih baik,” katanya.
Mantan Pengetua Kolej Sembilan UTM Skudai, Marzilah A. Aziz berkata, penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan akan membantu pembangunan kerjaya mahasiswa pada masa hadapan.
Katanya, UTM tidak mahu para pelajarnya hanya mengetahui perkembangan dalam universiti. Lebih daripada itu, pihak universiti berkehendakkan mereka membuka minda apabila bersama masyarakat di sekitarnya.
“Kelasakan dan ketahanan seseorang pelajar adalah bergantung kepada sejauh mana keikhlasannya melakukan kerja sukarela.
“Justeru beliau berharap, program tersebut dapat memberi banyak pengajaran kepada pelajar dalam menempuh kehidupan yang lebih mencabar selepas tamat pengajian nanti,” tambahnya.
Dalam pada itu, Mazilah memberitahu, pelajar juga diberi tugasan berkumpulan untuk mengenali pembangunan sumber dan perkhidmatan industri pelancongan yang ada di sini.
“Jadi, pelajar diharap dapat mengaplikasikan segala pengalaman yang telah diperolehi selain menyediakan laporan berbentuk video dokumentasi sepanjang program berkenaan,” ujarnya.
Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik Telekomunikasi, Noor Ili Amalina Mohd Yusoff, 19, dari Ipoh, Perak berkata, ini merupakan kali pertama dia melibatkan diri dalam program sedemikian.
Katanya, program itu begitu menyeronokkan dan mampu menenangkan fikiran serta menghilangkan segala tekanan semasa di kampus.
Peluang itu, menurutnya, amat bermakna kerana dia dapat mengenali dan mendekati penduduk setempat yang mempunyai corak kehidupan yang berbeza di daerah kelahirannya itu.
Pendapat itu turut dikongsi oleh rakannya, Nur Fatihah Elias, 19, yang beranggapan program yang dianjurkan itu mampu menyemai sikap tanggungjawab selain dapat mengeratkan ukhuwah dengan komuniti setempat.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Bio-Industri semester satu berasal dari Alor Setar, Kedah, itu berkata, program tersebut memberikan banyak pendedahan dan ilmu pengetahuan kepadanya.
“Saya yakin program ini akan dapat mencapai matlamat dalam melahirkan pelajar cemerlang selain berupaya menonjolkan kemampuan para pelajar.
“Saya juga berharap program seperti ini terus diadakan lagi dari semasa ke semasa,” kata anak kelima daripada enam beradik itu.
Bagi Noranita Kamarudin, 21, yang berasal dari Rawang, Selangor, program gotong-royong yang dijalankan di kampung tersebut dapat menyuburkan nilai moral yang tinggi dalam kalangan pelajar .
“Sebelum ini, saya tidak pernah terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan seperti membersih dan mengecat balai raya serta menanam pokok bakau kerana tidak mempunyai peluang melakukannya.
“Selepas mengikuti program ini, saya dapati ia menyeronokkan walaupun memenatkan.
“Program ini bukan sahaja mendekatkan lagi mahasiswa dengan masyarakat, bahkan nilai-nilai positif yang ditonjolkan mahasiswa sepanjang program berlangsung mampu menjadi contoh kepada anak-anak dan penduduk di kampung tersebut,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: