Tuesday, November 16, 2010

Anugerah Profima ganti Oskar

Sejak diperkenalkan pada 2002, Anugerah Oskar anjuran Persatuan Pekerja Filem Malaysia (Profima) tidak pernah berhenti untuk terus menghargai jasa dan pengorbanan pekerja-pekerja di belakang tabir.

Walaupun anugerah ini tidaklah segah anugerah-anugerah berprestij yang lain, ia tetap diteruskan bagi memberi pengiktirafan kepada mereka yang banyak berkorban dalam membangunkan industri seni tanah air.

Majlis Anugerah Profima 2010 (MAP 2010) atau sebelum ini dikenali sebagai Anugerah Oskar, merupakan penganjuran kali pertama atas nama Profima sejak mula diperkenalkan.

MAP 2010 akan diadakan pada 23 Disember ini di Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor.

Tetamu kehormat bakal hadir pada MAP 2010 ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Presiden Profima, Khir Mohd Noor berkata, anugerah ini bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan pekerja belakang tabir dan penggiat industri filem tanah air.

“Anugerah ini adalah bagi meraikan pencapaian mereka dalam lapangan kerja masing-masing. Ia akan bermula pada jam 4 petang dengan pelbagai gerai pameran melibatkan penaja berkaitan industri perfileman tanah air,” katanya pada sidang media di Finas, baru-baru ini.

Selain memberi pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan pekerja belakang tabir, majlis anugerah ini antara lain diadakan bagi meraikan pencapaian mereka dalam lapangan kerja masing-masing.

MAP 2010 juga akan menampilkan anugerah Ikon Profima 2010.

“Anugerah khas ini akan mengiktiraf individu belakang tabir yang bermula dari bawah sehingga berjaya menempatkan diri di kedudukan terbaik dalam industri sehingga kini,” ujarnya.

Sebanyak 52 kategori, termasuk 9 anugerah baru, akan dipertandingkan pada tahun ini. Antara kategori baru yang diperkenalkan ialah Anugerah Ikon Profima, Filem Pendek, Orang Belakang Tabir Veteran, Majalah TV Terbaik dan Kesinambungan Filem.

Tarikh akhir bagi setiap penyertaan adalah pada 30 November ini. Penjurian Anugerah Profima akan bermula pada 1 Disember selama 7 hari di Finas dan akan diadili 7 juri di peringkat saringan bagi menentukan calon-calon untuk Top 5.

Profima mengenakan bayaran RM50 bagi setiap penyertaan.

1 comment:

  1. Saya ingin buat pembetulan kepada tulisan wartawan ini berkenaan Oskar dan Anugerah Profima.
    Sebenarnya PPFM ( Profima )mengajurkan Anugerah pertama : ANUGERAH 2000 , pada tahun 2000.
    Anugerah ini telah dianjurkan di Hilton Hotel Kuala Lumpur pada tahun 2000.
    Ini bermakna Oskar ditukar nama sahaja daripada Anugerah.
    Harap tuan buat pembetulan

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: