Wednesday, October 13, 2010

Tuah Sarimah


SELEPAS 14 tahun menjadi anak seni, Sarimah kini menubuhkan rumah produksi sendiri, Sarimah Sdn. Bhd.


Tahun 2009 mungkin tidak berjalan lancar buat pengacara popular, Sarimah Ibrahim. Bercerai dengan bekas suaminya, Amir Andrew Abdullah selepas mendirikan rumah tangga selama tiga tahun, Sarimah bagaimanapun enggan menjadikan ia sebagai penghalang meneruskan kehidupan.

Mengakui dirinya agak tertekan pada permulaan perceraian, Sarimah kini sudah memulakan titik baru dalam hidupnya. Dia sedar dirinya tidak keseorangan dalam mengharungi kedukaan tersebut. Dikelilingi keluarga serta kawan rapat, mereka telah menyuntik elemen positif kepada Sarimah.

"Saya kini sudah memulakan fasa baru dalam hidup saya. Selepas bercerai, saya akui diri saya agak tertekan. Saya banyak berfikir tetapi kemudian sedar bahawa saya tidak keseorangan. Ramai orang di sekeliling yang memberikan sokongan," kata Sarimah ketika ditemui pada sidang media memperkenal dirinya sebagai duta jenama sukan, Reebok.

Memperbaharui kontrak sebagai artis eksklusif Astro selama dua tahun, Sarimah berharap untuk mengacarakan semula Diari Akademi Fantasia untuk musim akan datang. Selain pengacaraan, Sarimah juga akan dilihat dalam filem terbaru arahan Mamat Khalid, Apokalips.

Memegang watak Zara, Sarimah juga akan dilihat menerusi sebuah program fesyen Astro yang dijangka ditayangkan pada bulan Disember nanti. Namun, titik fokus Sarimah sekarang adalah syarikat produksi, Sarimah Sdn. Bhd. yang terletak di Mont Kiara, Kuala Lumpur.


SARIMAH IBRAHIM kini menjadi duta jenama kasut Reebok.


"Selepas terlibat dalam bidang pengacaraan selama 14 tahun, rasanya ini merupakan masa untuk saya bekerja di belakang tabir. Saya mahu menolong orang lain untuk membina karier dalam bidang pengacaraan.

"Kini saya sedang mengusahakan satu program yang bertemakan keislaman. Namun, itu semua masih dalam perancangan. Sekarang saya memiliki tiga orang pekerja. Apa yang utama bukan kuantiti pekerja tetapi kualiti. Saya mengambil pekerja yang serba boleh," tambahnya.

Menubuhkan syarikat itu sejak enam bulan lalu, Sarimah bukan sahaja mengorak langkah baru dalam kariernya tetapi juga berpindah tempat tinggal selepas sembilan tahun. Maka, pengacara berusia 32 tahun itu sedang mencari idea serta bantuan untuk dekorasi rumah barunya.

Digantikan oleh hos Marion Caunter untuk mengendalikan program realiti berkonsepkan kesihatan, The Biggest Loser Asia musim kedua, Sarimah sedar ramai yang sedang bercakap mengenai isu bayaran serta pakaian seksi yang membuat dia menarik diri.

Tidak melatah, Sarimah memberitahu sebagai artis Astro yang memiliki ramai peminat Melayu, dia lebih selesa untuk mengacarakan program yang tidak menjejaskan imejnya.

"Berdasarkan respons daripada musim pertama, ramai peminat yang tidak gembira dengan imej saya. Jadi dengan itu, saya tidak mahu mengecewakan mereka."

Jelas Sarimah lagi, dia menerima lamaran untuk mengacara program tersebut enam bulan lalu tetapi membuat keputusan untuk menolak.

Katanya: "Kita mungkin memiliki industri pengacaraan yang kecil tetapi bukannya bermaksud kita kekurangan bakat. Jadi bayaran yang diberikan tidak kira untuk mana-mana produksi, ia sepatutnya bersesuaian dengan permintaan pasaran.


JARANG berdiet, Sarimah lebih senang bersukan untuk mengekalkan kesihatan.


"Saat anda menjatuhkan standard, ia akan menjejaskan industri. Jadi sebelum saya menerima satu-satu tawaran, saya akan memastikan bayarannya adalah bersesuaian.

"Jika tidak, saya lebih rela untuk tidak menerimanya. Saya mahu dilayan secara adil dan ini bukan untuk program The Biggest Loser Asia. Saya bercakap secara umum untuk setiap tawaran yang diterima."

Berasa tahun 2010 yang sudah melewati fasa menuju penghujung, dia bersyukur kerana selain menjadi hos, tawaran sebagai duta kini mencurah masuk.

Pernah menjadi duta untuk jenama seperti Sprite, Ribena, Laurier dan syampu Clairol Herbal Essences, Sarimah menyatakan dirinya amat bertuah tahun ini kerana dilamar untuk menjadi jurucakap produk Body Shop serta yang terbaru, Reebox.

Suka bersenam, Sarimah memberitahu itu mungkin menjadi salah satu penyebab mengapa dirinya dipilih sebagai duta jenama tersebut. Memiliki tali pinggang hitam dalam sukan karate, Sarimah sekarang aktif menjalankan senaman pilates.

"Saya berhenti daripada karate selepas cedera di kaki. Kini saya aktif menjalankan senaman pilates. Ia banyak membantu menguruskan otot," katanya lebih gemar bersenam berbanding mengamalkan diet.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: