SEPERTI pasangan suami isteri yang lain, wanita ini menyimpan impian untuk mempunyai keluarga bahagia. Saban hari dia tidak pernah putus harapan berdoa agar impiannya dan suami menjadi ibu bapa menjadi kenyataan.
Namun, selepas lima tahun mendirikan rumah tangga, belum ada tanda-tanda Shafawati Adilla Rahmat, 29, akan hamil.
Lebih menekan perasaannya apabila sepanjang tempoh tersebut dia dihujani dengan pelbagai soalan, kata-kata sindiran dan cemuhan hanya kerana mereka belum dikurniakan cahaya mata. Peringkat awal, Shafawati sedikit pun tidak ambil kisah dengan kata-kata tersebut, namun lama kelamaan dia merasakan sudah letih untuk melayaninya.
Bagaimanapun, tekanan Shafawati semakin memuncak apabila anak saudaranya yang serentak ke jenjang pelamin hamil selepas tiga bulan bernikah.
“Baik rawatan moden mahu pun tradisional, saya dan suami, Asyraff Daniel Latif, 38, semuanya kami ikhtiar.
“Ketika usia perkahwinan kami mencecah sembilan bulan, saya rasa tidak sedap badan. Mana tahu mungkin saya hamil.
“Namun, saya kecewa apabila doktor memberitahu bahawa saya hanya demam biasa dan tidak menunjukkan tanda hamil,” kata eksekutif kanan di salah sebuah syarikat swasta itu ketika ditemui baru-baru ini.
Tidak lama selepas berjumpa dengan doktor, ada yang menyarankan Shafawati menjalani rawatan mengurut sistem peranakannya.
Tidak lama selepas itu, Shafawati dan suaminya mendapatkan pula khidmat nasihat daripada doktor pakar. Hasil pemeriksaan doktor mendapati, kedua-dua mereka tiada masalah cuma belum ada rezeki dikurniakan zuriat. Adakah faktor tekanan atau stres dikaitkan dengan ketidaksuburan atau infertiliti?
“Tidak dinafikan stres dan infertiliti ada hubung kait kerana ia menyebabkan wanita dan pasangannya mengalami tekanan perasaan.
“Namun sama ada stres boleh menyebabkan infertiliti, ia masih menjadi tanda tanya,” jelas Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr. Mohd. Rushdan Md. Noor ketika dihubungi.
Ramai pakar psikologi percaya sistem reproduktif manusia mempunyai kaitan dengan psikologi.
“Stres boleh merencat rembesan hormon gonadotropin. Stres yang berlebihan dan berpanjangan boleh menyebabkan gangguan kitaran haid termasuk tidak berlakunya ovulasi dan tiada haid (amenorea).
“Stres juga dipercayai boleh meningkatkan kandungan bahan kimia yang dinamakan katekolamin dan reseptor ini banyak terdapat pada organ-organ reproduktif,” katanya.
Gangguan sistem reproduktif
Menurut Rushdan, ada kemungkinan bahan-bahan kimia tersebut menyebabkan berlakunya gangguan fungsi sistem reproduktif yang menyumbang kepada infertiliti.
Kepada golongan lelaki, stres boleh mengurangkan bilangan sperma berdasarkan kajian yang dilakukan ke atas penjenayah-penjenayah yang menunggu untuk menjalani hukuman mati.
Ujian biopsi ke atas kelenjar testis mereka mendapati, berlaku perencatan proses penghasilan sperma pada semua peringkat.
“Malah, stres juga boleh menyebabkan disfungsi seksual. Kesemua faktor ini boleh menyumbang kepada kegagalan untuk mendapat zuriat,” ujarnya.
Dalam buku Mohd. Rushdan yang bertajuk, Panduan Lengkap Reproduksi Manusia dan Rawatan Infertiliti, Rushdan memberitahu, kajian mendedahkan bahawa tekanan perasaan yang dialami oleh pasangan yang tidak subur mempunyai banyak persamaan dengan tahap keseriusan penghidap kanser dan penyakit jantung.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan satu-satu pasangan berdepan dengan tekanan perasaan apabila mengalami infertiliti.
“Mereka diselubungi perasaan rendah diri, menganggap diri tidak cukup sifat dan gagal dalam hidup.
“Sesetengah pasangan meletakkan kejayaan memperoleh zuriat sebagai satu prasyarat kebahagiaan rumah tangga, malah ada yang takut gagal apabila menjalani rawatan serta malu untuk berdepan dengan masyarakat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pakar Psikiatri Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Zuraidah Ahmad Sabki mengakui tekanan berlaku kerana kehendak sosial masyarakat di negara ini.
Budaya masyarakat
“Sudah menjadi budaya masyarakat Malaysia bila seseorang itu belum berkahwin mereka akan tanya, bila nak kahwin? Apabila sudah berkahwin mereka akan tanya soalan lain, bila nak dapat anak? atau anak berapa orang? Bila sudah dapat anak mereka tanya lagi, bila nak dapat anak perempuan atau lelaki dan sebagainya.
“Inilah antara faktor yang menyebabkan pasangan yang belum mendapat anak terus mengalami tekanan perasaan,” katanya.
Menurut Zuraidah, masyarakat lebih sensitif terhadap perasaan mereka yang menghidap penyakit kanser, HIV, AIDS dan sebagainya dengan tidak bertanya soalan-soalan yang mengundang rasa kecil hati mereka.
“Tetapi berapa ramaikah yang faham bahawa infertiliti juga adalah masalah kesihatan?
“Hakikatnya, infertiliti adalah elemen penting dalam kesihatan reproduktif kerana setiap individu berhak ke atas dirinya untuk berkeluarga,” kata Zuraidah mengajak orang ramai mengubah persepsi berhubung infertiliti dan memahami mereka yang berdepan dengan masalah tersebut.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini, belum ada khidmat rundingan khusus untuk membantu pasangan yang belum dikurniakan zuriat bagi menangani tekanan mereka.
Pasangan yang mendapatkan khidmat di LPPKN akan berjumpa dengan jururawat terlebih dahulu sebelum dirujuk kepada mana-mana doktor pakar di LPPKN.
“Doktor akan memberikan penerangan tentang rawatan yang bakal dijalani dan keputusan pemeriksaan kesihatan. Rawatan infertiliti ini mengambil masa yang lama, sehubungan itu, doktor akan bertanya masalah yang dihadapi oleh pasangan terbabit,” katanya pada Seminar Kesihatan Reproduksi Manusia dan Rawatan Infertiliti anjuran Utusan Publications & Distributors (UP&D) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebaliknya, di luar negara, mana-mana pasangan yang gagal mendapatkan anak akan diberi kaunseling terlebih dahulu oleh pakar psikologi.
Apabila pasangan tersebut sudah bersedia dari segi emosi, barulah mereka dibenarkan menjalani rawatan infertiliti.
“Jika mereka dalam keadaan tertekan, rawatan tersebut kurang berkesan kerana tekanan menyebabkan hormon dalam badan kucar-kacir dan badan kita tidak memberikan respons yang baik terhadap rawatan.
Menurut Zuraidah, banyak punca yang menyebabkan pasangan itu menghadapi tekanan. Paling utama ialah tekanan sosial iaitu daripada sahabat dan ahli keluarga terutamanya keluarga suami.
“Sebab itulah sokongan daripada suami penting bagi mengurangkan tekanan di pihak isteri. Beban tekanan pula bertambah apabila keputusan rawatan tidak seperti yang diharapkan, tekanan biologikal dan ekonomi,” jelasnya.
Ada pula suami mengambil kesempatan menggunakan alasan tidak punya anak untuk berpoligami walhal kemungkinan masalah infertiliti itu datang daripada diri mereka sendiri.
“Jadi, masing-masing perlu muhasabah diri dan jangan menyalahkan antara satu sama lain,” katanya. Zuraidah juga menasihatkan pasangan mempunyai kekuatan mental dalam menghadapi ujian seperti ini. Mereka perlu reda, realistik dan bersedia untuk mengambil anak angkat.
“Jika kita telah berusaha tetapi masih tiada hasil, maka kita wajib percaya pada qada’ dan qadar Allah. Cahaya mata adalah hak Allah, jika Dia belum mahu mengurniakannya, maka redalah, jangan terlalu gusar kerana tidak semestinya tanpa anak kita gagal dalam hidup,” kata seorang pakar rawatan tradisional yang hanya mahu dikenali sebagai Arshad.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: