KUALA LUMPUR: Serik dengan isu tiket palsu yang pernah tercetus pada konsert Double Trouble (DT) 2010 sebelum ini, penganjur konsert Red On Black (ROB) yang bakal diadakan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 15 Oktober depan mengambil pendekatan baru bagi mengelakkan insiden hitam itu berulang kembali.
Untuk konsert yang bakal menggabungkan tiga lagenda rock tanah air iaitu Search, Wings dan Ella ini, penganjur bersama Red on Black Sdn Bhd dan Awie Entertainment Sdn Bhd telah mengenal pasti strategi baru yang diharap dapat mengurangkan kemungkinan tiket konsert itu dipalsukan.
Menurut Pengarah Urusan Red on Black Sdn Bhd, Solih Toha, mereka mengambil iktibar daripada isu tiket palsu yang berlaku pada konsert DT di Stadium Larkin, Johor Baru, 5 Jun lalu.
"Isu tiket palsu adalah satu risiko yang perlu kami hadapi sebagai penganjur konsert tetapi untuk kali ini kami akan cuba mengambil pendekatan lebih selamat dengan mengeluarkan tiket yang sudah ditempah oleh pembeli di saat-saat akhir ke tarikh konsert.
"Diharapkan dengan cara ini, risiko pemalsuan tiket konsert ROB nanti dapat dibendung atau dikurangkan kerana pihak yang tidak bertanggungjawab tidak dapat mengetahui ciri-ciri sebenar fizikal tiket yang asli sejak dari awal," katanya.
Ditanya tentang harga tiket yang jauh lebih rendah iaitu RM57 tetapi menambah seorang lagi penyanyi iaitu Ella dalam konsert kali ini, Solih berkata, tawaran itu adalah sesuatu yang akan menguntungkan peminat.
"Untuk konsert kali ini, memang kami sengaja tawarkan harga tiket yang rendah tetapi kami tambahkan seorang lagi ikon rock iaitu Ella.
"Sebagai orang baru dalam bisnes penganjuran konsert, tidak mengapa jika syarikat tidak untung berlipat-ganda kali ini tetapi yang lebih penting kita ingin memberi lebih nilai hiburan yang tinggi kepada penyokong setia muzik rock.
"Dengan cara ini, kita berharap dapat terus menyuburkan semarak rock di kalangan peminat tanah air.
"Kita yakin dengan harga tiket yang mampu dibeli, pasti lebih ramai yang akan turun padang pada hari konsert nanti," katanya yang menganggarkan kos keseluruhan yang mencecah setengah juta ringgit.
Tiket kini dijual di tiga negeri iaitu Kuala Lumpur, Pahang dan Terengganu. Pembeli yang ingin mendapatkan tiket di KL boleh berkunjung ke Viva Sport Pertama Kompleks.
Manakala di Pahang, peminat boleh mendapatkan tiket di PM Telecommunications, Kuantan Parade, Hotel Seri Malaysia dan Nur An Nur Enterprise, Bandar Jengka selain di kaunter tiket Stadium Darul Makmur sendiri.
Para peminat di Terengganu boleh berkunjung ke Creative Intelligence Advertsising, Hesna Enterprise dan Mumtaz Murad Ali Sdn Bhd di Kuala Terenggganu.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 010-2134170/010-2134270 atau layari 1malaysiaticket.com.
Konsert ROB bakal menyaksikan Search, Wings dan Ella menyampaikan lebih 25 buah lagu popular masing-masing dalam persembahan selama dua jam di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 15 Oktober depan pukul 8.45 malam.
wahh...konsert yang dinanti2kan...thanx for the info
ReplyDelete