Tuesday, October 5, 2010

Sorok dadah dalam bingkai gambar


NORDIN (kiri) menunjukkan sebahagian ketamin yang dirampas daripada seorang lelaki warga India pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Taktik lapuk seorang lelaki warga India menyorok ketamin dalam lapisan bingkai gambar memakan diri apabila dia ditahan di terminal penerbangan kos rendah (LCCT) di Sepang dekat sini Khamis lalu.

Tukang jahit berusia 41 tahun itu ditahan apabila polis menemui 4.5 kilogram ketamin bernilai RM135,000 yang disembunyikan di dalam sembilan bingkai gambar lukisan pemandangan yang dibaluti plastik hadiah sebaik tiba dari Tawau, Sabah pada pukul 1.40 petang.

Difahamkan, sebelum itu, suspek telah berada selama beberapa hari di negara ini dengan menaiki penerbangan dari India sebelum menukar kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Tawau.

Selepas itu, dia sekali lagi menaiki penerbangan dari Tawau ke LCCT sebelum ditahan pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, suspek ditahan selepas pihaknya membuat pemeriksaan pada beg yang dibawa suspek dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, selepas beg itu dibuka, polis mendapati ia mengandungi bingkai gambar yang agak berat daripada kebiasaannya. Selepas diteliti, polis menemui ketamin yang disumbat di dalam lapisan bingkainya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: