SEMPENA dengan kemuncak Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM-23) yang akan berlangsung pada 24 Oktober depan di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam, pihak penganjur iaitu Perbadanan Kemajuan Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan terlebih dahulu mengadakan malam anugerah khas untuk pengkarya dokumentari.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan untuk Festival Filem Dokumentari Malaysia yang memasuki tahun kedua itu, memperlihatkan peningkatan dalam jumlah penyertaan kepada 80 daripada hanya 60 penyertaan tahun lalu.
Terbahagi kepada empat kategori iaitu kesenian/kebudayaan (17 penyertaan), isu semasa/kemasyarakatan (17), ilmiah/sejarah (30) dan alam semula jadi/pelancongan (16) menyaksikan pemenang setiap kategori akan menerima wang tunai berjumlah RM5,000.
Sementara RM3,000 akan diberikan kepada penerima sinematografi terbaik, penyunting terbaik keseluruhan, skor muzik terbaik keseluruhan, skrip terbaik dan jurukamera terbaik berserta trofi dan sijil penghargaan.
Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim pada majlis sidang media baru-baru ini, kewujudan festival khas untuk penggiat dokumentari adalah untuk menyemarakkan lagi penerbitan filem dokumentari di Malaysia.
“Kalau kita lihat statistik, setiap tahun di antara 90 sehingga 100 penerbitan dari luar negara datang ke Malaysia untuk membikin dokumentari tentang Malaysia.
“Jadi, kita lihat itu satu potensi yang sangat besar, jika orang luar sangat tertarik dengan keunikan negara kita adalah lebih baik orang tempatan sendiri yang menerbitkan dokumentari tentang Malaysia dan menjualnya ke luar negara,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dengan bantuan dan kerjasama daripada beberapa pihak seperti History Channel, National Geographic Channel dan Discovery Channel, penghasilan dokumentari dari Malaysia memang menepati piawaian dan setanding dengan mutu antarabangsa.
Justeru, malam kemuncak Festival Filem Dokumentari Malaysia ke-2 akan diadakan lebih awal dari FFM-23 iaitu pada malam ini bertempat di Sound Stage Studio di Finas pada pukul 8 malam.
Semua kategori akan diumumkan hari ini namun untuk kategori Dokumentari Terbaik Keseluruhan, pemenangnya hanya akan diumumkan pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-23.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: