Monday, October 4, 2010

Shruthi tak kisah dikatakan “berangan”

LAGAKNYA seperti seorang gadis matang. Apatah lagi apabila diminta memberikan aksi menarik untuk diambil gambar oleh jurufoto, Raymond Ooi. Pemilik nama Shruthi dengan senangnya bertukar gaya sebagaimana yang diminta.

Malah ketika ditemubual, personaliti dan pertuturan gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Shruthi ini bijak menyusun kata-katanya ibarat seorang penyanyi profesional.

Namun penyanyi ini sebenarnya baru berusia 15 tahun dan sifat kebudak-budakannya terserlah apabila ibunya setia menemani di sisi ke lokasi sesi foto kami minggu lalu.

Ada saja gurau senda yang dilakukan mereka. Kata Shruthi berseloroh: “Kami memang begini kerana saya anak tunggal buat ibu dan ayah. Walaupun selalu dimanjakan, bila saya lakukan kesalahan, saya juga tetap dimarahi.”

Memulakan kerjaya nyanyian seawal sembilan tahun, Shruthi sebenarnya telah pun memiliki tiga buah album dan dirinya mula dikenali selepas meraih sebuah trofi dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun ini bagi kategori Album Tamil Terbaik menerusi album ketiganya, Life Is A Mystery (versi Tamil).

Kemenangannya itu membuatkan Shruthi membuka langkah untuk lebih dikenali bagi pasaran golongan Melayu dan Cina.Justeru, beritahu Shruthi, dia kini sedang dalam proses pembikinan tiga buah lagu iaitu Get To Me, Life Is A Mystery (versi Inggeris) dan Sevaayil.

“Sebelum ini saya fokus kepada muzik Tamil memandangkan dari kecil lagi saya belajar bermain muzik klasik Tamil.

“Kini saya sedang berusaha untuk melancarkan percakapan bahasa Malaysia sebelum merakamkan lagu Melayu pula,” kata Shruthi memulakan temu bual kami.

Katanya, dia gembira kerana keluarganya memberikan sokongan seratus peratus terhadap minatnya dalam muzik walaupun mereka mempunyai latar belakang dalam bidang profesional.

Bagaimanapun, dia perlu memastikan, pelajarannya tidak diabaikan. Ibu bapa Shruthi yang berasal dari India juga memastikan setiap kemahuan Shruthi bagi memantapkan karier nyanyiannya dipenuhi.

“Kalau nak tahu, macam-macam berkaitan seni persembahan yang telah saya belajar seperti bermain peralatan muzik, menari tarian salsa dan kini saya sedang belajar menulis lirik.

“Semua itu kerana kerana dorongan keluarga yang begitu menyokong keinginan saya. Malah mereka juga akan menjadi pengkritik saya jika ada yang tak kena,” katanya yang juga boleh bernyanyi dalam dialek Telegu.

Fokus pada pelajaran

Walaupun usianya masih lagi muda, semangatnya untuk menjadi penyanyi profesional sehingga dikenali di seluruh dunia begitu tinggi.

Mungkin ada yang beranggapan hasratnya itu sekadar angan-angan kosong tetapi Shruthi percaya dirinya mampu dikenali ramai jika dia berusaha lebih giat bermula sekarang.

“Saya tahu bukannya mudah mahu dikenali di peringkat antarabangsa tapi itulah cita-cita saya, begitu juga penyanyi lain. Siapa yang tidak mahu berada di tahap itu?

“Sebab itu saya berkata pada diri sendiri bahawa saya akan pastikan perjalanan karier seni akan naik sedikit demi sedikit. Mungkin orang akan gelak dengan angan-angan saya ini, tapi saya mahu dikenali seperti Micheal Jackson pada usia 30 tahun nanti.

“Apa-apa pun, saya akan berjinak-jinak dalam penghasilan lagu dahulu dan sekarang ini saya sedang belajar menulis lirik. Sebenarnya lirik memainkan peranan yang besar untuk menyampaikan emosi kepada pendengar sesebuah lagu itu,” tuturnya.

Tambah Shruthi, dia begitu gemarkan cabaran dan penglibatannya sebagai penulis lirik setelah pengarah muzik, Suresh Rogen, mencabarnya menghasilkan lirik lagu Life Is A Mystery.

Hasilnya, Suresh berpuas hati dengan cara Shruthi mengekspresi lirik tersebut.

“Memang saya akan buktikan kepada orang yang mencabar saya walaupun pada awalnya saya tak boleh lakukan. Sekurang-kurangnya cuba.

“Kini saya sedang belajar vokal dan bahasa Malaysia daripada cikgu Siti Hajar. Jangan terkejut, dia juga mengajar saya teknik menyanyikan lagu India klasik.

Dia juga mengajar saya cara untuk menghayati lirik satu persatu,” katanya yang bakal menduduki peperiksaan peringkat O Level pada tahun hadapan.

Bercerita mengenai pembahagian masa antara pelajaran dan karier seninya, Shruthi akui dia tidak mempunyai masa untuk mengulang kaji pelajaran di rumah.

Bagaimanapun dia akan memastikan dapat memberi fokus seratus peratus terhadap apa yang dipelajarinya di sekolah. Gadis manja ini juga bersyukur kerana guru-gurunya amat memahami kehidupannya sebagai seorang penyanyi.

“Setakat ini cikgu-cikgu sekolah banyak memberi sokongan terhadap karier seni saya dengan syarat, saya perlu mendapat markah yang bagus setiap kali peperiksaan.

“Cuma sesetengah kawan sekolah menganggap saya sengaja mengambil kesempatan ke atas cikgu-cikgu saya apabila dibenarkan pulang awal jika mempunyai sebarang kerja-kerja seni.

“Malah ada yang kata saya terlalu berangan dengan cita-cita saya mahu jadi penyanyi terkenal.

Apa jua tanggapan mereka saya tidak kisah. Saya akan pastikan pelajaran saya berjalan dengan lancar kerana saya juga bercita-cita untuk menjadi penyanyi yang berpendidikan tinggi,” tegasnya.

Gadis ini berharap percaturannya untuk bergelar anak seni akan membuahkan hasil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: