KUALA LUMPUR: Bimbang keselamatan diri, keluarga dan harta benda selepas kawasan perumahan di Jalan 8/27D, Seksyen 6, Wangsa Maju, di sini, kerap berlaku kegiatan jenayah, penduduk sepakat mewujudkan pondok pengawal berpalang.

KAWAL....Abdul Mokhtar (dua dari kanan) bersama penduduk melihat pondok pengawal berpalang di Jalan 8/27D, Seksyen 6, Wangsa Maju.
Usaha mereka membuahkan hasil kerana selepas sebulan, tiada lagi kejadian jenayah, malah penduduk khususnya wanita kembali yakin menjalankan aktiviti seharian termasuk berada di luar rumah. Penaung Jawatankuasa Penaja Penduduk yang juga bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Dr Mazlan Ahmad, berkata sebelum ini kawasan perumahan itu bukan hanya dibelenggu kes pecah rumah, rompak dan ragut, bahkan taman permainan turut menjadi tumpuan remaja melakukan maksiat. “Kami menjadi trauma kerana setiap minggu pasti berlaku kejadian kecurian kecil-kecilan dan setiap bulan pasti ada rompak, curi kenderaan dan pecah rumah. Malah, disebabkan kedudukan kawasan perumahan ini di hujung jalan dan sunyi ia digunakan remaja untuk berkelakuan tidak sopan dan lokasi ponteng sekolah. “Sehubungan itu, kami mengadakan mesyuarat dan bersetuju mewujudkan pondok pengawal berpalang. Sehingga ini, tiada kejadian tidak diingini dan persekitaran perumahan kembali aman,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Sementara itu, penasihat jawatankuasa berkenaan, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad, berkata pondok itu dibina hasil sumbangan penduduk. “Selepas kejadian tiga kereta dilarikan, tiga bulan lalu, dan satu keluarga dirompak serta diikat, ia menjadi pembakar semangat untuk kami bersatu dan bekerjasama menjaga keselamatan kawasan ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: