KELIBATNYA tidak lekang daripada tempias kontroversi. Lebih sedekad menghambakan diri di gelanggang seni, nama Norwati Sadali (Watie) bagai sinonim untuk dijadikan material sinis.
WATIE... dituduh meruntuhkan rumah tangga orang.
Terbaru, dramatis berusia 34 tahun yang juga kelahiran Kuala Lumpur ini dikaitkan dengan isu perceraian penyanyi dan pelakon, Zulkifli Daud (Joey).
Bukan saja didakwa sebagai perampas yang menjadi punca utama keruntuhan rumah tangga Joey, malah Watie yang popular menerusi drama rantaian Gelora Di Hati Sara, Iris dan Rahsia Hati turut dikatakan menyembunyikan hubungan intim dengan bekas vokalis kumpulan Exists itu tatkala masih belum sah bercerai secara rasmi.
Menerjah Watie dengan persoalan itu, ibu tunggal kepada seorang anak lelaki, Ahmad Afif Danial yang kini berusia enam tahun itu tenang menyusun bicara.
“Tidak perlu saya melenting atau marah dengan isu ini kerana jujurnya saya tidak langsung seperti yang didakwa. Itu semua adalah alasan bagi menuding seseorang menjadi punca kepada sebuah masalah.
“Saya tidak terusik atau merasa sedih dengan kata-kata sebegitu kerana perkara sebegini bukan pertama kali menghimpit saya.
“Status janda dan selebriti seperti saya memang menjadi medan fitnah. Mungkin dulu ketika masih baru mengendong gelaran ibu tunggal, mudah sungguh air mata mengalir.
“Namun selepas berkali-kali ditembak sebegini, saya sudah lali dan kalis dengan cacian meskipun ada kalanya tuduhan itu melampaui batas.
“Penat untuk dijelaskan dan saya melihat perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana yang akan menjadi mangsa di penghujung cerita adalah saya. Justeru, selagi boleh dielak, saya akan cuba.
“Namun dalam soal ini, saya rasa berdiam diri bukan jalan terbaik, cuma saya pelik kenapa begitu mudah orang mencari punca dan meletak beban itu di bahu saya,” katanya.
Pelakon yang bakal muncul dengan naskhah layar lebar pertamanya, Zaiton Ceritaku selepas lebih enam tahun berhempas-pulas membina pengalaman sebagai dramatis ini turut mengakui rapat dengan Joey, namun sempat menegaskan hubungan mereka semakin akrab selepas pelakon yang mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun, Zidani Zulkifli mengatakan yang dia sudah bercerai dan kini berstatus duda.
Mula berkenalan secara serius ketika sama-sama terbabit dalam penggambaran drama bersiri, Blues Pasar Tani pada penghujung Mac lalu di Muar, Johor, Watie menyifatkan Joey sebagai lelaki penyayang dan sentiasa menggembirakan hatinya.
“Mustahil saya merampas Joey atau cuba meruntuhkan rumah tangganya seperti mana didakwa. Sebagai wanita dan manusia biasa, tentu saya terasa hati dengan kenyataan bekas isteri Joey, Noraini Nasir dalam laporan akhbar awal minggu ini, namun itu semua kenyataan daripada orang yang sedang marah.
“Saya cuba pejamkan mata dan pekakkan telinga kepada segala dakwaan itu kerana sesungguhnya keluarga dan teman kenal dan percaya siapa saya.
“Sejak awal lagi, kami berdua menjadi akrab kerana Joey sering saja bercerita mengenai masalahnya dan rasa hatinya yang bercelaru.
“Sepanjang di set penggambaran, kami akrab sebagai teman dan lama kelamaan, rasa serasi dan selesa itu hadir hingga memberi kepercayaan kepada saya membuka sedikit ruang di hati untuk menerimanya.
“Joey kelakar dan bijak membuat saya ketawa. Dia lelaki paling rapat dengan saya setakat ini selain anak saya. Saya menerima untuk mengenalinya dengan lebih rapat selepas mengetahui dia sudah bercerai.
“Dengan segala pengalaman lalu yang pernah menimpa, itu semua adalah pengajaran kepada saya. Saya bukan bodoh untuk menerima seseorang walaupun mengetahui dia masih suami orang.
“Namun biarlah apa orang hendak kata kerana kebenarannya hanya kami berdua tahu. Selama ini pun, mana-mana lelaki yang rapat dengan saya pasti mengundang persepsi serong.
“Bayangkan, saya bersembang dengan penerbit atau pengarah pun, ada yang mula bercerita kononnya saya ingin menggoda bagi mendapatkan tawaran lakonan. Justeru, saya sudah tidak kisah dengan kata-kata begitu,” katanya.
Bintang yang pernah merakam empat album iaitu Catwalk, Tamparan Wanita, Idola dan Merbahaya bersama Elite dulu ini turut mengakui gambarnya dengan Joey ketika sambutan Aidilfitri lalu. Menurutnya yang enggan lagi berselindung, tiada gunanya jika terus menafikan kerana yang penting dia tidak melakukan apa-apa kesalahan atau mengganggu sesiapa.
“Memang benar saya dan anak mengikut Joey pulang beraya di Masai, Johor selama seminggu. Kebetulan saya bercuti panjang dan jarang berpeluang menyambut raya dalam suasana kampung. Justeru saya bersetuju mengikutnya bertemu keluarganya di sana.
“Alhamdulillah, keluarga Joey menerima saya dan anak dengan baik. Saya merasa selesa sepanjang di sana dan keluarganya melayan kami dengan baik.
‘Malah, keluarga saya juga sudah bertemu Joey. Setakat ini memang hubungan kami diterima baik kedua-dua pihak, namun kami belum merancang untuk ke peringkat lebih tinggi.
“Biarlah kami berdua meletak fokus pada kerjaya masing-masing terlebih dulu. Soal jodoh dan ketentuan ini kami serahkan pada takdir. Jika benar kami kekal bersama, saya terima dan jika sebaliknya juga, saya reda dengan suratan yang tertulis,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: