Thursday, October 7, 2010

Sari berkorban demi anak



Pelakon yang terkenal dengan drama Kisah Kaisara, Sari Yanti, 26, ternyata kelihatan semakin berseri-seri setelah selesai menjalani tempoh berpantang.

Sari berkata, hidupnya kini semakin lengkap dengan kehadiran anak sulungnya, Barr Al Aliy, yang kini berusia 2 bulan. Malah, semakin teruja menjalani hidup sebagai ibu muda.

Meskipun pada awalnya, dia agak kekok menguruskan anak sendiri, namun lama-kelamaan dia sudah terbiasa dan seronok menguruskan anak sendiri. Kata Sari, dia tidak memerlukan khidmat pembantu atau pun pengasuh untuk menjaga anaknya.

“Saya sebenarnya kurang percaya pada pembantu atau pengasuh yang ada. Selagi saya mampu, saya akan jaga anak sendiri dan saya lebih selesa macam ini.

“Anak saya pun baru seorang saja dan saya rasa setakat ini saya mampu menguruskannya sendiri tanpa ada orang asing di rumah.

“Kalau ada apa-apa urusan, rumah mentua saya dekat sahaja dan boleh hantar anak sekejap pada ibu mertua. Lagipun, dia sentiasa ‘available’ untuk menjaga satu-satunya cucunya ini,” cerita Sari yang ditemui dalam majlis rumah terbuka di ibu kota baru-baru ini.

Sari berkata, suaminya, Mohd Eddy Casmady atau Eddy juga sangat ringan tulang dan pandai menjaga anak. Malah, akui Sari, suaminya lebih pandai menguruskan anak berbanding dirinya.

“Saya bersyukur dapat suami sepertinya. Masa pantang, dia banyak tolong saya. Dia rajin uruskan anak malah pandai mandikan ‘baby’. Saya pula, masa awal-awal dulu, rasa takut nak pegang. Malah mandikan ‘baby’ pun saya takut sebab rasa terlalu kecil sangat.

“Penat-penat tu memang penat sebab anak kecil banyak ragamnya. Malam pun selalu berjaga. Tapi saya dan suami gembira dapat merasai pengalaman menjadi ibu dan ayah,” katanya yang telah menjalani tempoh berpantang di rumahnya sendiri sambil ditemani ibu tersayang.



Kembali aktif berlakon

Sudah menjadi karier utamanya, kata Sari, dia akan kembali aktif berlakon. Malah setakat ini, sudah ada beberapa tawaran yang menanti.

Namun jelas Sari, semua tawaran harus dipertimbangkan dulu, kerana statusnya sebagai isteri dan ibu membataskannya menerima tawaran yang ada.

“Buat masa ini, cukuplah satu ‘job’ untuk satu masa. Saya tak nak terlalu tamak terima tawaran sehingga anak di rumah terabai.

“Semua tawaran yang datang, saya akan timbang dulu. Kalau yang melibatkan lokasi yang jauh, saya akan tolak. Saya tak boleh tinggal anak lama-lama kerana dia menyusu badan,”kata Sari yang bertekad untuk menyusukan bayinya secara eksklusif selagi mampu.

Menyentuh tentang watak, Sari berkata, dia tidak kisah menerima apa sahaja watak, termasuklah watak remaja seperti mana lakonannya dalam drama Kisah Kaisara yang pernah melonjakkan namanya dulu.

“Saya tak kisah nak bawa watak apa pun. Tapi kalau watak remaja tu, saya tak yakin pengarah atau penerbit akan bagi lagi pada saya kerana status saya dah pun berubah. Dah ada anak dah pun,” katanya yang berusaha mengurangkan berat badan kini iaitu 46 kilogram, lebih empat kilogram daripada beratnya sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: