
ALANGKAH seronoknya jika putera atau puteri anda terpilih daripada lebih 20,000 bayi untuk dimahkotakan sebagai Bayi Tahunan. Lebih manis, seluruh ahli keluarga anda dapat membawa pulang wang tunai RM15,000 serta lain-lain hadiah.
Impian sebuah keluarga di Malaysia sudah pun menjadi kenyataan baru-baru ini apabila pemenang pertandingan Johnson's Baby, Bayi Tahunan 2010 diumumkan.
Bayi bernama Rishab Prashant, berumur 10 bulan, dari Kedah, menjadi kebanggaan ibu bapa dan ahli keluarganya apabila memenangi gelaran berprestij tersebut. Dengan matanya yang cantik dan senyuman yang menawan, ia berjaya menggoda hati para juri.
Bukan itu sahaja, Rishab turut mencuit hati hadirin dengan keletahnya semasa berada di atas pentas.
Pengarah Pemasaran Johnson & Johnson Sdn. Bhd. Stanford Guo berkata, buat pertama kalinya dalam sejarah pertandingan bayi tahunan, pihak penganjur membuat keputusan untuk menaikkan had umur peserta kepada 36 bulan berbanding 24 bulan sebelum ini.
Hasilnya amat menggalakkan kerana lebih daripada 20,000 penyertaan gambar diterima untuk tahun ini.
"Panel juri yang terdiri daripada pakar pediatrik profesional mengadili peserta berdasarkan kecerdasan, kesihatan dan prestasi setiap kanak-kanak mengikut umur masing-masing.
"Selain daripada kecerdasan dan kesihatan setiap peserta, para juri terlebih dahulu akan mencari bayi paling comel yang mempunyai senyuman dan kilauan mata yang dapat menawan hati," katanya.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Hudd Raphael Hafiy, manakala pemenang tempat ketiga dimenangi menjadi milik Ian Saw Ken Wei masing-masing berusia 24 bulan dan 17 bulan dari Selangor.
"Tujuan kami mengadakan pertandingan ini setiap tahun adalah untuk memberi peluang kepada ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan tugas masing-masing merapatkan hubungan erat dengan si manja mereka.
![]() |
| KECOMELAN Rishab dengan mata bundarnya berjaya menambat hati juri. |
"Adalah menjadi harapan kami untuk ibu bapa dan si manja mereka meluangkan lebih masa bersama dan menggalakkan jalinan semula jadi antara mereka semasa menyertai pertandingan ini," ujarnya.
Lebih 20,000 penyertaan diterima tahun ini berbanding penyertaan tahun lalu 13,000 sahaja.
Pada peringkat separuh akhir, 20 bayi yang tersenarai diadili berdasarkan kesihatan fizikal, rupa paras dan tahap perkembangan mental serta sosial mengikut umur masing-masing.
Pada peringkat akhir pula, pemenang ditentukan berdasarkan peragaan sewaktu di pentas dengan aksi yang memikat hati sama ada berjalan atau merangkak.
Bagi memeriahkan lagi acara pertandingan tersebut, pelakon, penyanyi dan ibu jelita, Erra Fazira memahkotakan bayi yang memenangi pertandingan.
Rishab dan keluarganya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000, peluang untuk muncul di kulit majalah keibubapaan, keahlian selama setahun dengan The Picture Company, termasuklah buku bergambar peribadi dan cenderamata sijil potret bernilai RM980.
Tidak ketinggalan bayi bertuah itu membawa pulang hamper produk Johnson's baby bernilai RM1,500 dan gelaran berprestij Johnson's Baby, Bayi Tahunan 2010.
Pemenang tempat kedua dan ketiga, Hudd Raphael serta Ian masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM8,000 dan RM5,000.
Pemenang kedua turut membawa pulang hamper Johnson's baby bernilai RM1,000 dan hadiah daripada The Picture Company bernilai RM830, manakala pemenang ketiga menerima hamper bernilai RM750 dan hadiah daripada The Picture Company bernilai RM614.
Pemenang hadiah sagu hati tidak pulang dengan kosong apabila menerima wang tunai RM1,000, serta hadiah daripada The Picture Company bernilai RM380, dan hamper Johnson's baby bernilai RM200 setiap seorang.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: