Monday, October 11, 2010

Ramlah Ram Suntik Antibiotik Pulih Sakit Tekak

Ramlah Ram menyambut ulang tahun ke-25 karier seninya di Hotel Impiana, Sabtu.

DEMI menjayakan malam gala ulang tahun ke-25 karier seninya, penyanyi bersuara lantang Ramlah Ram terpaksa menyuntik antibiotik disebabkan mengalami sakit tekak.

Dia yang pertama kali menjayakan konsert yang penuh meriah itu di Hotel Impiana, Kuala Lumpur, Sabtu sempat mendapatkan rawatan di Hospital Ampang Putri pada petang hari yang sama.

Menurut Ramlah, dia risau dengan sakit tekak yang dilalui sejak seminggu lalu dan paling mendebarkan apabila suaranya tiba-tiba tidak keluar.

Walaupun merasa terkilan ekoran masalah kesihatannya itu, namun Ramlah tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia dapat menjayakan persembahan pada malam itu.

Ramlah menyanyikan lagu Kau Kunci Cintaku, Selamat Jalan Romeo, Membilang Butir Harapan, Zapin Yang Tinggal, Fantasia Bulan Madu, Masih Jelas, Mahakarya Cinta dan lagu terbarunya, Cinta Gila.

"Saya ingat nak buat persembahan yang terbaik sampai lupa tentang kesihatan kerana terlalu kuat praktis. Saya akui memang kesalahan saya kerana tidak cukup rehat sejak bulan Ramadan lalu.

“Saya sempat meminta ibu yang berada di kampung mendoakan supaya mampu membuat yang terbaik pada malam ini. Selepas ini, jika ada peluang, saya akan buat konsert seperti ini lagi,” katanya semasa sidang media seusai majlis tersebut.

Projek pertama yang dianjurkan oleh kelab peminatnya, Ramlah Ram Group (RRG) itu turut membuatkan penyanyi lagu Ketentuan itu berasa terharu.

Biarpun ada yang menganggap dia terlambat melakukan konsert setelah melalui usia 25 tahun dalam industri, dia tetap bersyukur kerana rezeki masih berpihak kepadanya.

Ternyata semua peminatnya yang hadir sangat terhibur dan bersorak riang ketika Ramlah mengalunkan 30 buah lagu popularnya termasuk lagu daripada penyanyi lain.

Antaranya lagu Kau Kunci Cintaku, Selamat Jalan Romeo, Membilang Butir Harapan, Zapin Yang Tinggal, Fantasia Bulan Madu, Masih Jelas, Mahakarya Cinta dan lagu terbarunya, Cinta Gila dengan susunan muzik oleh band Ideal Sound Studio di bawah pengarah muzik Bell Fatah.

Bukan hanya nyanyian, penonton juga dihiburkan dengan telatah pelakon tersohor, Fauziah Ahmad Daud selaku pengacara majlis dan Azam Pitt (My Starz LG) sebagai penyanyi undangan.

Telatah Fauziah Ahmad Daud turut mencuit hati penonton.

Tidak sia-sia mereka menghabiskan waktu dan wang ringgit semata-mata untuk menjayakan konsert tersebut. Ini kerana majlis itu dibiayai sepenuhnya oleh kelab yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu dengan kerjasama beberapa penaja.

“Lagu Cinta Gila merupakan lagu pilihan peminat RRG. Lagu tersebut dicipta sepenuhnya oleh Zimie dan akan tampil bersama album terbaru saya tidak lama lagi. Lagu itu akan diputarkan di corong radio dalam masa terdekat ini,” ujarnya.

Sementelah usia 25 tahun telah meninggalkan banyak kenangan manis dan pahit kepada wanita berasal dari Muar, Johor ini, dia semakin yakin dan mahu mengekalkan bakat yang ada pada dirinya.

Peminat ibarat nadi Ramlah untuk bertahan dalam industri seni ini dan tidak semudah itu untuk dia melupakan mereka dan sebolehnya mahu lebih rapat dengan mereka bagi mengetahui keinginan mereka.

Rakan artis turut memberikan sokongan kepada Ramlah iaitu Misha, Zoey, Azwan dan Shahira.

Setakat ini seramai lebih 1,000 orang ahli yang telah mendaftar di bawah RRG.

“Mungkin mereka menyukai suara saya. Jadi, saya kena pelihara suara dan bakat yang diberikan oleh Allah ini selain mencuba perkara yang baru pada masa akan datang.

“Sepanjang 25 tahun ini, ada perkara yang menyakitkan dan saya sentiasa belajar melalui pengalaman. Sukar dan perit bagaimanapun, saya tetap kena tempuhi hidup ini. Alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan sekarang,” tuturnya yang berseri-seri dengan pakaian rekaan Heyroll Basri.

Kira-kira 200 tetamu yang hadir di majlis tersebut termasuklah rakan artis iaitu Azwan Ali, Sharifah Shahira, Ijoy Azhari, Zoey dan Misha Omar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: