Tuesday, October 12, 2010

Percikan darah dalam jeritan


Mayat-mayat bergelimpangan dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah kelmarin.


SEREMBAN - "Badan saya menggigil apabila terasa darah panas memercik ke muka saya sebelum saya ternampak pula beberapa kepala penumpang hancur akibat dihempap bas yang dinaiki.

"Beberapa penumpang lain pula menjerit-jerit kesakitan akibat tersepit dicelah-celah serpihan bas."

Demikian cerita detik-detik ngeri yang dialami oleh seorang penumpang bas Ekspres Delima, Tew Chi Ling, 18, yang terselamat dalam kemalangan yang mengorbankan 12 nyawa dan 38 lagi cedera di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka kelmarin.

Dalam tragedi pada pukul 6.40 petang itu, bas Ekspres Delima yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur terbabas lalu merempuh pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah van, tiga buah kereta serta sebuah bas lain.

Menurut Chi Ling, kejadian itu sangat menakutkan dan dia sendiri turut menangis.

"Bukan setakat muka saya dipenuhi darah malah dinding bas yang kami naik juga terpercik darah," ceritanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini semalam.

Kata remaja itu lagi, dia terperangkap selama beberapa minit di dalam bas sebelum dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.

"Sehingga hari ini saya seolah-olah masih terdengar suara-suara tangisan meminta tolong dan lebih menakutkan apabila saya kerap terbayangkan mangsa-mangsa yang maut di depan mata saya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: