
SEREMBAN – Tiga remaja dijatuhi hukuman denda RM2,000 dan diarah menyertai bengkel pemulihan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri oleh Mahkamah Kanak-Kanak di sini semalam selepas didapati bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan khianat membaling botol dan menyimbah cat di surau Taman Pulai Impian di sini Ogos lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim M. Mageshwary ekoran pengakuan bersalah kesemua tertuduh berusia 16 hingga 18 tahun itu di mahkamah yang sama 27 Ogos lalu.
Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh yang berusia 16 hingga 18 tahun itu dituduh dengan niat membaling botol di surau Taman Pulai Impian, Lorong 3 Taman Pulai Impian antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi pada 23 Ogos lalu.
Dua daripada mereka turut dituduh dengan niat menyimbah cat di surau terbabit pada waktu dan tarikh yang sama.
Bagi pertuduhan membaling botol dan menyimbah cat itu kesemua tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Hukuman ke atas kesemua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 93 (1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: