
KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung UMNO memang lubuk peniaga mengaut keuntungan setiap tahun namun keadaan sebaliknya berlaku pada perhimpunan ke-61 yang berakhir semalam apabila rata-rata peniaga mendakwa keadaan berlaku sebaliknya.
Mereka mendakwa lokasi baru perniagaan yang ditempatkan di Aras 3 Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebenarnya tersorok dan tidak diketahui orang ramai.
Keadaan itu menyebabkan peniaga mengalami kekurangan pelanggan sehingga 50 peratus berbanding sebelum ini.
Seorang peniaga pakaian wanita, Mohd. Hamdan Nawawi mendakwa, kerugian itu berlaku kerana pelanggan tidak mengetahui kewujudan gerai jualan di tingkat atas.
"Ramai pelanggan tidak tahu ada gerai jualan di tingkat tiga, mereka ingat jualan di aras bawah sahaja seperti sebelum ini, maka mereka telah 'melabur' banyak di bawah," katanya ketika ditemui di gerainya semalam.
Dia mendakwa lagi, perubahan yang dibuat oleh pihak pengurusan PWTC ternyata 'menyusahkan' peniaga.
"Sebelum ini, kami berniaga di bawah dan kami sangat berpuas hati.
"Jika mahu meletakkan gerai jualan di tingkat tiga biarlah semua di tingkat tiga, jangan ada dua tempat," jelasnya.
Seorang peniaga lagi, Iann Rahman juga melahirkan keluhan kerana gagal membuat sebarang jualan sehingga hari ketiga perhimpunan diadakan.
Iann yang menjual tuala Perhimpunan Agung UMNO 2010 terpaksa menurunkan harga jualan sehingga 30 peratus.
"Saya jual tuala tersebut pada harga RM45 tetapi untuk dua hari terakhir ini, harga diturunkan kepada RM10," ceritanya yang mengimport tuala itu dari Pakistan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: