Friday, October 1, 2010

Pengganas guna basikal cedera parah kena bom


BEBERAPA anggota polis forensik mengutip bukti di lokasi letupan bom basikal di pinggir Jakarta semalam.


JAKARTA – Seorang lelaki yang disyaki militan Islam cedera parah apabila sebutir bom buatan sendiri yang diletakkan di belakang basikal yang ditungganginya meletup secara tiba-tiba di pinggir bandar raya ini semalam.

Jurucakap polis, Kolonel Boy Rafli Amar berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, mereka menemui sepucuk surat di belakang poket suspek itu yang tertulis: “Pembalasan dendam terhadap orang kafir yang membunuh pejuang Islam.

“Kami akan memburu mereka, musuh-musuh Tuhan di mana-mana.”

Sasaran sebenar bom itu ialah sebuah pondok pemeriksaan polis di bandar perindustrian Bekasi dekat sini namun tiada mangsa lain yang cedera dalam kejadian tersebut.

Bahan letupan berkuasa kecil itu dilengkapi dengan galas bebola dan sejumlah paku bagi memaksimumkan kesan letupan.

Bagaimanapun, ia meletup 90 meter dari lokasi sasaran serangan.

Militan itu dihantar ke sebuah hospital dalam keadaan parah.

Indonesia yang merupakan sebuah negara sekular dengan memiliki jumlah penduduk Islam paling ramai di dunia berusaha memerangi pengganas sejak 2002 yang mempunyai hubungan dengan militan Jemaah Islamiyah di Asia Tenggara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: