IA boleh dianggap pakaian robotik yang akan membuatkan Robert Downey Jr, wira dalam filem Iron Man terkejut.
Menurut syarikat yang menciptanya, daya kekuatan si pemakai, baik untuk mengangkat mahupun menolak akan meningkat 17 kali ganda.
Dengan berat kira-kira 90 kilogram, Eksorangka XOS 2 dicipta oleh syarikat sistem pertahanan Raytheon yang yakin ia boleh digunakan dalam operasi pasukan tentera dalam tempoh lima tahun lagi.
Seperti yang ditunjukkan dalam gambar, seorang jurutera kajian tidak berdepan masalah untuk memakai kelengkapan seberat 90 kilogram itu dan memecahkan serentak empat keping kayu setebal 2.54 sentimeter setiap satu.
XOS 2 berfungsi dengan mengepam cecair hydraulik panas menerusi rangka besi yang ‘mengambil alih’ berat daripada tubuh manusia.
Hasil kajian yang dilakukan terhadap kelengkapan itu, pakaian berkenaan mungkin boleh mula diguna pihak tentera dalam operasi mereka lima tahun lagi.
Naib Presiden Bahagian Operasi Raytheon-Sarcos, Fraser Smith berkata: “Daripada menggunakan mesin untuk melakukan kerja mengangkat, memunggah dan meletakkan barangan berat, penggunaan elemen kemanusiaan boleh menghasilkan kerja yang lebih tepat dan mengelak pembaziran di segi masa untuk membawa kren dan jentera lain.
“Pakaian berkomputer itu juga boleh dipakai seperti anggota tentera yang bertanggungjawab mengangkat dan memasang bom di bawah pesawat atau meletakkan senjata ke dalam setor atau trak untuk tujuan penghantaran.
“Dengan memakai kelengkan eksorangka itu sepenuhnya, ia akan memberikan seorang petugas kekuatan untuk mengangkat 22 kilogram bom sepanjang hari tanpa terasa penat atau lenguh.
“Apa saja yang manusia ingin lakukan, XOS akan menjadikannya lebih kuat.”
Keseluruhan sistem itu mendapat kuasa daripada enjin pembakaran dalaman kerana Raytheon memutuskan untuk tidak menggunakan bateri Litihim-ion terlalu hampir pada tubuh pemakai demi keselamatannya.
Kelengkapan itu juga boleh disambung pada sumber kuasa menggunakan kabel.
Smith berkata: “Sebahagian tugas memerlukan si pemakai disambung dengan kabel. Sebagai contoh, apabila si pemakai dikehendaki menyimpan atau memunggah peluru di kawasan sempit. Mereka boleh disambungkan dengan kabel pada sumber kuasa.”
“Apabila dipakai, eksorangka akan menyokong dirinya sendiri, menjadikan ia begitu ringan dan si pemakai akan merasakan beratnya sama seperti kot yang mereka pakai pada musim sejuk.
Model eksorangka, Rex Jameson berkata: “Saya hanya merasa memikul beban seberat lima kilogram apabila memakai pakaian seberat 90 kilogram itu. Apa yang lebih menyeronokkan saya ialah apabila memakainya saya langsung tidak merasa memikul sesuatu yang berat di belakang saya,”
Kerajaan Amerika Syarikat menerusi Agensi Projek Kajian Lanjutan Pertahanan membiayai kajian terhadap XOS-1 dengan perbelanjaan antara RM12.4 juta hingga RM24.8 setahun sepanjang lapan tahun.
Walaupun terdapat minat yang mendalam terhadap projek berkenaan, khususnya daripada tentera, pembiayaan kerajaan terhadap XOS-2 masih belum diluluskan.
Namun, Smith berkata: “Melengkapkan anggota tentera dengan eksorangka tidak boleh dielakkan lagi. Ia kini amat diperlukan dan saya percaya pihak tentera kini mengkajinya sebagai satu pilihan terbaik dalam usaha menangani beberapa masalah yang mereka hadapi ketika ini.
“Dengan komitmen berterusan, eksorangka ini boleh digunakan dalam masa lima tahun.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: