PETALING JAYA: Pelakon Lana Nordin menolak tuduhan gambar-gambar mesranya bersama seorang lelaki yang tersebar di internet baru-baru ini merupakan anak kepada pemerintah negara Brunei.
Menurut Lana, gosip tersebut tercetus berikutan wajah lelaki tersebut dikatakan seiras dengan anak sultan Brunei.
"Ya, dia memang anak "seseorang" tetapi bukan anak Sultan Brunai seperti didakwa di internet. Mungkin mereka lihat wajah dia ada mirip kerabat Brunei sehingga timbul gosip berkenaan," katanya yang mengakui sedang dalam proses mengenali lelaki tersebut.
Selain itu, Lana menganggap gambar-gambar dan gosip negatif yang tersebar di laman-laman blog sebagai publisiti murahan kepadanya.
"Saya rasa mereka sudah tidak ada kerja nak buat, ini semua adalah publisiti murahan untuk saya. Secara tidak langsung juga ia akan membuatkan orang akan benci dengan saya.
"Tapi bagi saya, jika pembaca laman web tersebut bijak mereka akan fikir dahulu sama ada munasabah atau menganggapnya sekadar bahan hiburan semata-mata," jelasnya ketika dihubungi mStar Online.
Jelas Lana, apa yang lebih penting ialah keluarga dan rakan-rakan terdekat memahami perkara sebenar dan tidak mudah mempercayai gosip di internet.
"Saya sering menjadi bahan gosip seperti ini, namun yang penting ialah keluarga saya memahami dan tidak mudah menyalahkan saya," katanya.
Dalam pada itu, pelakon drama Kau dan Aku ini baru sahaja dibenarkan keluar dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana demam dan jangkitan pada air kencing.
"Minggu lepas saya ditahan di hospital dan baru sahaja dibenarkan pulang. Pada mulanya demam dan sukar untuk membuang air kecil.
"Selepas ke hospital, doktor tahan saya untuk buat pemeriksaan lanjut. Doktor nasihatkan agar banyakkan minum air dan jaga pemakanan," ujarnya yang sedang berehat daripada sebarang aktiviti seni.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: