KUALA LUMPUR: Konsert Glamnation Tour Live in Malaysia Adam Lambert yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini malam Khamis berlangsung dengan jayanya walaupun terhadap bantahan di luar stadium oleh sekumpulan penyokong parti pembangkang.
Bantahan tersebut diketuai oleh Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasarudin Hassan bersama kira-kira 100 orang pengikutnya yang menyebarkan risalah anti homoseksual serta melarang orang ramai menyaksikan sebuah persembahan daripada seorang artis yang mengaku dirinya gay.
Kumpulan tersebut yang mula berkumpul sejak pukul 8 malam turut melakukan percubaan untuk merempuh masuk ke dalam stadium tetapi berjaya dikawal oleh pihak polis yang sudah bersiap-sedia sejak awal lagi.
Penyanyi dari Indianapolis, Indiana, Amerika Syarikat itu memulakan persembahan pada sekitar pukul 9 malam dengan menyampaikan rangkaian lagu dari album sulungnya, For Your Entertainment selama hampir satu setengah jam.
Lambert tampil dengan persembahan bertenaga ketika mengalunkan 16 lagu termasuklah For Your Entertainment, If I Had You, Fever, Whataya From Me, Ring of Fire dan banyak lagi.
Konsert yang terbahagi kepada tiga segmen itu bermula dengan persembahan lagu-lagu rancak dan bertenaga seperti Voodoo, For Your Entertainment, Rabbit Hole, Ring Of Fire dan Fever pada segmen pembukaan.
Momentum konsert lantas diperlahankan sedikit pada segmen pertengahan apabila naib juara program American Idol 8 itu mengalunkan lagu-lagu balada seperti Whataya From Me, Soaken dan Broken Open.
Sebelum segmen penutup, Lambert membuat gimik dengan meninggalkan pentas begitu sahaja sebaik sahaja selesai mendendangkan lagu popularnya, If I Had You.
Keadaan itu lantas menggamatkan stadium apabila penonton menjerit dan memanggil nama penyanyi itu supaya kembali ke pentas. Lambert mengakhiri konsert Glamnation Tour Live in Malaysia dengan menyampaikan dua lagu rancak iaitu Mad World dan 20th Century Boy.
Konsert itu disaksikan kira-kira 10,000 penonton.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: