
JUJURNYA seawal satu jam sebelum konsert Red On Black berlangsung, kehadiran penonton masih boleh dihitung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang. Keresahan mula bergelumang dalam hati yang memandang. Tidak mungkin hanya seramai ini yang mengagumi perjalanan seni tiga nama besar segah Ella, Wings dan Search.
Namun tatkala deejay Isma Halil mula mengendalikan tugas sebagai tauke panggung, penonton mula merungkai panjang seperti perbarisan Hari Kebangsaan. Berbaris memasuki perut stadium. Nah inilah tabiat pengunjung konsert Malaysia, membeli tiket pada masa kecederaan. Tidak mengapa asalkan niat menyokong pemuzik dan anak seni tempatan itu tetap terpahat.
Lalu bermula sudah acara konsert Red On Black yang ditunggu ramai dan dianggarkan hampir 10,000 penonton serta peminat setia tiga nama raksasa tersebut bersesak memenuhi stadium. Ella menjadi bunga pemanis membuka tirai dengan barisan lagu hits bersama grup Love Beggars. Jelas tenaga Ella masih bertahan seperti dahulu. Dialah ratu yang tetap berada di tempatnya. Lagu Permata Biru, Sembilu, Nuri, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Pengemis Cinta dan Kesal adalah kayu pengukur kepada ketahanan vokal Ella yang tidak pernah berubah kehebatannnya.
Berkumandang seterusnya ialah muzik daripada tentera Wings dan Search dengan intro Gemuruh yang membikin gegar malam 15 Oktober lalu. Diteruskan dengan Lipas Kudung, Jerangkung Dalam Almari dan Sejati, Wings tetap padu di sebalik empat nama - Joe, Awie, Black dan Eddie. Isabella, Pawana dan Pelesit Kota adalah hadiah Amy, Nasir, Kid, Din dan Lola untuk para pecinta mereka.

Cantuman Wings dan Search untuk barisan lagu medley - Rozana, Semalam Yang Hangat, Taman Rashidah Utama, Meniti Titian Usang dan Misteri Mimpi Syakila dengan ditemani Ella akhirnya menyusut rindu yang terkandung selama 19 tahun di tanah Kuantan dihamburkan dengan nyanyian bersama. Sukar mendapat momen bagus sebegini dan mata serta telinga yang menjadi saksi berisi dengan kepuasan padu yang diberikan oleh tentera rock ini. Persembahan hebat mereka ini bakal diingati sampai bila-bila. Apatah lagi mendapat momen di pentas yang sama gandingan Ella dan Awie untuk lagu Baldu Biru dan Ella bersama Amy untuk Dua Insan Bercinta, ia menambahkan lagi kehangatan malam tersebut.
Rock n' Roll Lu Punya Suka dan Pasti merupakan dua buah lagu wajib untuk menutup tirai persembahan Wings dan Search. Cuma ekstra kali ini, Ella dengan ditemani Love Beggars menambah 'perencah' di atas pentas yang menjadi saksi bahawa mereka ini adalah buah hati peminat setia genre rock tempatan. Beradu dan berlawan suara serta pest 'ejek mengejek', acara penutup sebegitu menambah memori buat peminat yang sudah sedia terhibur dengan rentak dan melodi malam tersebut. Merekalah kejora rock tempatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: