Friday, October 22, 2010

Kemuncak pesta filem




MALAM kemuncak Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) yang bakal berlangsung Ahad ini sudah pasti menimbulkan satu persoalan perdana – filem manakah yang akan menang besar?

Jika dinilai dari segi senarai pencalonan, sudah tentu filem arahan Edry Abdul Halim, Magika berada di tangga teratas dengan 12 pencalonan daripada 24 kategori yang dipertandingkan.

Tambahan pula, filem muzikal itu telah menggondol lima daripada tujuh anugerah yang dipertandingkan pada malam perasmian FFM23 di Center Atrium @ Curve Damansara, Mutiara Damansara pada Rabu lalu.

Ini bermakna hanya tinggal lima anugerah lagi yang menanti untuk dibawa pulang pada malam kemuncak. Sudah pasti, jika filem Magika menggondol banyak anugerah pada malam kemuncak tidak mustahil ia juga akan muncul sebagai filem terbaik FFM23.

Menurut Edry, meskipun dia amat berharap untuk memenangi lebih banyak anugerah, namun dia tetap bersyukur dengan apa yang diperolehi setakat hari ini.

“Percubaan pertama terus dapat menang anugerah, terkejut pun ada kerana filem-filem lain ada kelebihan mereka yang tersendiri. Andai kata, Magika menang lagi pada malam kemuncak sudah pasti saya orang yang paling gembira tetapi saya tidak boleh meminta lebih-lebih, kalau orang nak bagi saya terima,” ujarnya.


ELEGAN. Barisan aktor kacak yang bakal memperaga sut tajaan Lord's Tailor pada FFM23 (dari kiri), Rusdi Ramli, Syamsul Yusof, Kamal Adli, Afdlin Shauki, Zizan Raja Lawak, Fizo Omar, Que Haidar dan Zamarul Hisham.


Walaupun begitu, Edry agak kecewa kerana tiada satu pelakonnya tersangkut dalam mana-mana kategori Pelakon Wanita atau Lelaki Terbaik.

“Saya kecewa juga kerana saya rasa pelakon saya sudah beri yang terbaik. Sekali lagi, itu adalah hak juri mungkin mereka ada pandangan mereka yang tersendiri jadi saya akur.

“Satu lagi yang saya pelik kenapa filem Magika diletakkan dalam kategori Filem Komedi Terbaik, sedangkan ia bukanlah sebuah filem komedi. Mungkin pada masa depan akan diadakan kategori Filem Muzikal Terbaik,” tuturnya mengenai filem yang bakal ditayangkan di Singapura pada 11 November depan.

Seorang lagi pengarah yang dijangka akan menang besar pada malam kemuncak FFM23 adalah Mamat Khalid menerusi filem Estet yang bakal ditayangkan pada 4 November depan.

Mamat Khalid yang temui pada majlis sidang media FFM23 baru-baru ini memberitahu, dia begitu yakin filem Estet akan menggondol banyak anugerah Ahad ini.


TIGA tunjang filem Magika, dari kiri, Norman, Edry dan Yusry


“Saya yakin, kerana Estet sebuah filem yang jarang pengarah Malaysia bikin. Selepas filem Gerimis yang diterbitkan pada tahun 1968, mana ada lagi filem Melayu yang mengambil pelakon berketurunan India sebagai pelakon utama.

“Itu satu kelainan selain ia sebuah filem yang ada aspek muzikal. Selain nilai seni dan cintakan negara yang tinggi, saya olah filem ini dengan gaya yang santai,” jelasnya tentang filem yang menerima lapan pencalonan itu.

Luahnya lagi yang ternanti-nanti festival filem setiap tahun, harapannya cukup tinggi untuk Jasmine Micheal memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik meskipun dia bersaing dengan nama-nama besar seperti Maya Karin, Lisa Surihani, Putri Mardiana dan Mislina Mustaffa.

“Dia bukan pelakon baru dalam pembikinan drama Tamil tetapi baru untuk filem Melayu sebab itu saya letak namanya dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik. Saya harap dia menang,” katanya.


MAHYIDDIN mengakui peningkatan jumlah filem Melayu yang dihasilkan pada tahun ini tidak ketara.


Walaupun begitu, tidak boleh mengetepikan filem hebat yang lain seperti Santau yang menerima 11 pencalonan, Haq (8), Legenda Budak Setan (7), V3:Samseng Jalanan (7), Evolusi KL Drift 2 (7), Belukar (7) dan Niyang Rapik (6).

Meskipun filem Adnan Sempit berjaya mencecah kutipan pecah panggung namun, dari segi pencalonan ia hanya tercalon dalam tiga kategori sahaja.

Ketua Pengarah Finas, Mahyiddin Mustakim berkata, kesemua filem yang dipertandingkan dinilai oleh lima orang juri yang dilantik.

Pihaknya langsung tidak terlibat dalam kerja-kerja pemilihan senarai akhir dan bagi kategori Pengarah dan Filem Terbaik ia masih belum diumumkan kerana pihak juri masih belum memberikan senarai kepada pihaknya.


MAMAT KHALID


“Kami akan simpan dan umumkan pada malam kemuncak itu nanti untuk membuat kejutan. Setakat hari ini, pihak kami berpuas hati dengan senarai filem yang masuk bertanding.

“Walaupun peningkatannya tidaklah sebanyak mana tetapi sudah cukup untuk menunjukkan industri filem Malaysia semakin berkembang. Sebab itu kami masih lagi menggunakan tema filem Malaysia ke persada dunia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: