Wednesday, October 20, 2010

Jaga standard



Kemunculannya kali pertama menerusi filem Castello di samping aktor Rosyam Nor empat tahun lalu, meletakkan namanya sebaris dengan pelakon senior sedia ada hingga menobatkan dirinya sebagai pelakon harapan terbaik dalam anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) pada 2006.

Selepas itu, rezekinya mencurah-curah dan setiap tahun ada saja wajahnya muncul di layar perak. Dengan bakat dan pakej lengkap sebagai pelakon membuatkan pemilik nama Liyana Jasmay ini sentiasa menjadi buruan produser dan pengarah filem tempatan.

Hampir lima tahun melibatkan diri dalam bidang seni ini, Liyana Jasmay atau lebih mesra dengan panggilan Nana, sudah berlakon lebih sepuluh filem. Antaranya adalah seperti Kami The Movie, Pisau Cukur, Syaitan, Malaikat Maut, Histeria, Duhai Si Pari Pari, Papadom, Niyang Rapik dan banyak lagi.

Filem Papadom arahan Afdlin Shauki berjaya mengangkat nama Nana sebagai pelakon wanita terbaik FFM pada tahun lalu. Berjaya di layar perak, wajah nya jarang muncul di kaca TV sehingga ada yang mengatakan gadis manis berusia 22 tahun ini, tidak mahu berlakon drama kerana menjaga standard sebagai pelakon filem.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini mengakui kurang muncul di kaca TV, tetapi menafikan tidak mahu berlakon drama dan hanya mengejar populariti sebagai pelakon filem.

“Masa awal-awal berlakon dulu, memang saya mahu cuba semua. Berlakon drama, filem, teater atau apa sahaja. Tapi apabila pengarah Bade Hj Azmi memberi nasihat kepada saya agar lebih selektif dalam setiap pemilihan watak, filem atau drama, saya mula terfikir untuk saya meletakkan diri saya dalam satu ruang lain jika mahu kekal dalam industri seni ini.

“Sejak itu, saya mula mengehadkan diri saya dan memilih watak yang benar-benar sesuai dengan diri saya dan saya juga banyak tolak tawaran berlakon drama.

“Tidak wujud perkataan ‘demand’ cuma saya tak mahu berlakon dengan watak yang sama atau menjadi orang lain. Saya juga akan tolak kalau watak itu memerlukan saya menjadi orang tua atau wanita korporat kerana saya masih muda.

“Saya akan berlakon dengan watak yang lebih kurang usia saya saja. Saya tak mahu peminat mudah jemu dengan saya.

“Tambahan, saya mahu terus bernafas dalam bidang lakonan ini. Jadi, kalau saya tak buat macam ni, saya risau peminat akan cepat lupakan saya,” katanya, yang popular dengan lagu Aku Tak Percaya Cinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: