Saturday, October 23, 2010

Hotel berjiwa muzikal


SENI bina unik Hotel Hard Rock Pulau Pinang sedia memukau mata tetamunya.


SEBUT sahaja Batu Feringghi, Pulau Pinang, ramai yang memikirkan keindahan pantai. Menariknya, sebaik menyusuri jalan utama dari bandar George Town menuju ke pantai peranginan di situ, mata pasti tertarik kepada rekaan hotel unik yang buat pertama kali beroperasi di Malaysia.

Memilih pantai Batu Feringghi sebagai lokasinya, Hotel Hard Rock Pulau Pinang yang berkonsepkan muzikal era 60-an antara penginapan eksklusif yang diketengahkan di Pulau Mutiara.

Menyusuri pintu masuk utama, pandangan sudah pasti tertumpu pada kilauan lampu gantung berwarna-warni berlogo Hotel Hard Rock di segenap ruang lobi.

Bagaikan berada di alam fantasi muzikal. Itulah yang dapat digambarkan tatkala kaki mula menyusun langkah ke ruang pendaftaran.

Mungkin anda terkesima melihat kabinet kaca yang menempatkan lebih 500 deretan baju yang disumbangkan oleh artis rock ‘n’ roll tempatan dan antarabangsa.

Hiasan karikatur wajah bintang legenda Rock seperti Paul McCartney dan George Harrison turut dihiasi di batu marmar dinding hotel.

Malah, bagi anda yang ingin tinggal lebih lama di sini, nikmatilah peluang dengan membeli-belah di pasar malam yang terletak di bahu jalan itu.

Pengurus Besar Hotel Hard Rock Pulau Pinang, John Primmer berkata, dengan berdirinya hotel itu, Pulau Mutiara akan menjadi destinasi tumpuan dalam kalangan pengunjung luar dan dalam negara.


PANDANGAN indah waktu malam Batu Feringghi dari atas bilik hotel.


“Kami menawarkan penginapan berkonsepkan kontemporari dan moden. Dengan tawaran yang diketengahkan ini pengunjung berpeluang mengabadikan kenangan manis sekiranya berada di sini,” katanya.

Hotel muzikal permata itu dibina setinggi enam tingkat dengan menempatkan 250 buah bilik dan suite berhadapan dengan laut.

Menerapkan elemen moden kontemporari pada segenap hiasan dalaman biliknya, ia turut dilengkapi dengan televisyen LCD bersaiz 32 inci, pemain DVD, radio kompak dan Internet WiFi.

Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan khusus buat pengunjung muda dan kanak-kanak di bawah satu bumbung. Antaranya kolam renang seluas 26,000 kaki persegi, Rock Spa, Lil’ Kids Club, Teens Club, pusat gimnasium dan gerai barangan cenderamata.

Kunjungan ke sini tidak lengkap jika tidak bersantai di Hard Rock Cafe yang dibuka 24 jam setiap hari. Pada waktu tertentu misalnya pada pukul 1 petang, 5 petang, 10 malam hingga lewat pagi, persembahan band-band rock atau artis rock jemputan akan memompa adernalin tetamu.

Hotel Hard Cafe pula menawarkan pelbagai pakej percutian dengan tawaran harga bermula RM380++ bagi setiap malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: