BERBEZA daripada biasa, kali ini pelancaran jentera terbaru Toyota diadakan jauh dari ibu kota. Sekumpulan wartawan dibawa ke Kota Kinabalu, Sabah untuk menyaksikan pengenalan varian terbaru trak pikap Toyota yang sudah lama ditunggu-tunggu kemunculannya.
Ternyata pemilihan Kota Kinabalu dibuat atas alasan tersendiri. Sebagaimana yang diketahui, trak pikap Toyota mempunyai pengaruh yang cukup kuat di bandar tersebut.
Jadi, UMW Toyota mahu memberi penghormatan kepada penyokong kuatnya di Sabah menjadikan mereka antara kelompok pertama melihat dan memiliki jentera tersebut.
"Berdasarkan kepada maklum balas kaji selidik pasaran dan keperluan pelanggan, kami memperkenalkan varian Hilux 3.0 liter. Kami yakin bahawa pengenalan ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang mahukan trak pikap lebih berkuasa.
"Pada masa yang sama, imej Hilux yang kukuh dan rugged tidak diabaikan," kata Presiden UMW Toyota Motor, Kuah Kok Heng.
Hadir sama pada majlis itu termasuklah Pengarah Eksekutif UMW Toyota Motor, Akio Takeyama dan Pengarah Kumpulan Jualan UMW Toyota Motor, Khong Man Cheong.
Sebelum ini, model Hilux hanya menawarkan enjin bersesaran 2.5 liter menerusi lima varian dengan pilihan transmisi manual dan automatik. Maka, pengenalan Hilux 3.0 liter menjadikannya setanding dengan model-model berkapasiti enjin sama seperti Isuzu D-Max.
Diimport sepenuhnya dari Thailand, trak pikap ini hanya ditawarkan dalam satu varian iaitu Hilux 3.0G. Bertransmisi automatik empat kelajuan, mungkin ramai yang sukar membezakannya dengan model sebelum ini jika dilihat hanya sekali imbas.
Cara paling mudah, model ini dipasang dengan skup udara di bahagian atas bonet enjinnya. Perbezaan lain, anda perlu melihatnya secara lebih dekat.
Semua tahu bahawa Hilux mempunyai nama yang kuat dalam segmen trak pikap. Ia menguasai sebanyak 44 peratus perkongsian pasaran. Hilux yang mula diperkenalkan pada tahun 2005 sudah pun terjual sebanyak 69,000 unit.
Kesinambungan itu nampaknya diteruskan dengan model ini. Walaupun baru dilancarkan lebih satu minggu, maklum balas yang diterima cukup positif. Angka tempahan sudah mencecah lebih 1,000 unit dengan 45 peratus daripadanya datang dari Sabah.
|
|
Bagi menunjukkan kemampuan trak pikap ini, satu demonstrasi dijalankan berhampiran lokasi pelancaran yang bertempat di pusat beli-belah 1Borneo Hypermall Kota Kinabalu. Tipikal sebuah pikap trak, Hilux tidak berdepan sebarang masalah mengharung segala halangan yang diletakkan di sana.
Sama ada mendaki laluan yang curam atau mengiring, semuanya dapat dilepasi dengan begitu mudah. Selepas beberapa kali berulang-alik melalui halangan yang sama, demonstrasi itu ditamatkan bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk sama-sama melihatnya secara lebih personal.
Kalau sudah pergi sejauh Kota Kinabalu, tentunya masing-masing tidak puas kalau sekadar melihat dan menyentuh jentera itu sahaja. Maka atas ehsan pihak penganjur, kami berpeluang juga memandu Hilux 3.0G biarpun hanya selama 20 minit.
Biarpun begitu, saya tetap dapat merasakan ciri utama yang mahu ditampilkan oleh Hilux 3.0G. Apa lagi kalau bukan unit enjin D-4D Diesel Commonrail Intercooler yang dilengkapi dengan sistem Variable Nozzle Turbo (VNT).
VNT didakwa mampu meningkatkan prestasi enjin dan mengurangkan penggunaan bahan api, di samping mengeluarkan emisi yang lebih rendah.
Memandangkan laluan yang dipilih, bermula di 1Borneo hinggalah ke bulatan di Jalan Sepanggar, jalan yang agak sesak tidak membenarkan kami memecut.
Namun begitu, jika anda pernah memandu Hilux 2.5 liter sebelum ini, perbezaan ketara dapat dirasa dari segi tujahan kuasanya. Kekurangan kuasa tidak menjadi isu, walaupun enjin ini memerlukan beberapa ketika untuk menghantar kuasa kepada keempat-empat rodanya.
Harus diketahui, selain enjin dengan sistem VNT yang pertama dalam kategori trak pikap 3.0 liter, Hilux 3.0G turut menawarkan ruang kargo paling besar dalam kelasnya.
UMW Toyota menyasarkan jualan sebanyak 600 unit Hilux 3.0G pada setiap bulan. Harganya? RM106,000 seunit di Semenanjung Malaysia, manakala di Sabah ia ditawarkan pada harga RM106,724 seunit dan RM106,962 di Sarawak (di atas jalan termasuklah insurans).
Ia turut hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000 kilometer (yang mana tiba dahulu).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: