Thursday, October 21, 2010

Enjin lebih berkuasa


PENGGUNAAN BH Petrol Infiniti Advanced 2x membantu mengurangkan kos penggunaan minyak.


KADAR dan kos penggunaan minyak yang semakin meningkat cukup membebankan pengguna kenderaan masa kini. Beban berkenaan lebih dirasakan oleh pengguna kenderaan komersial dan individu yang banyak bergerak untuk tujuan perniagaan atau berulang-alik ke pejabat.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi automotif masa kini memberi ruang kepada syarikat pengeluar minyak menghasilkan produk yang menjimatkan dan mampu meningkatkan prestasi enjin.

Antaranya ialah penggunaan bahan aditif. Aditif diperlukan untuk menyempurnakan pembakaran di samping membuang segala enapan pada komponen-komponen sistem intake enjin yang berlaku dari semasa ke semasa.

Pembakaran yang tidak sempurna akan menyebabkan berlakunya engine knocking (perlagaan enjin). Impak negatif itu juga boleh mengakibatkan penurunan prestasi kenderaan, pembaziran bahan bakar dan peningkatan ORI (Octan Recurement Increase).

Biarpun terdapat pelbagai produk penjimatan minyak di pasaran, namun secara tidak langsung ia memaksa pengguna berbelanja lebih semata-mata mahu mendapatkan penjimatan yang belum dapat dipastikan kesahihannya.

Menyedari dilema yang dihadapi pengguna, Bousted Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) baru-baru ini telah memperkenalkan jenama minyak petrol tanpa plumbum terbaru iaitu BHPetrol Infiniti Advanced 2x dengan formula khas Sebatian Aditif Termaju (AAC) dari Jerman.

Minyak tanpa plumbum

Formula tersebut yang merupakan aditif sintetik penuh pelbagai fungsi dalam Infiniti Advanced 2x RON95 dan RON97. Penambahan jumlah aditif memberikan kelebihan maksimum kepada pengguna berbanding minyak-minyak lain yang terdapat di pasaran.

Formulasi itu mengandungi komponen pembersih kotoran enjin dan friction modifier yang mengurangkan geseran bahagian enjin untuk lebih perlindungan dan penjimatan minyak.

Pada masa yang sama, ia menawarkan prestasi pembakaran yang lebih berkesan, sekali gus memberikan kuasa dan jarak perjalanan lebih jauh.

“Enjin kereta cenderung untuk kehilangan kuasa secara berperingkat apabila dipandu. Salah satu puncanya adalah enapan atau hidro karbon yang wujud dalam enjin, blok dan injap masuk.

“Bahan ini akan menyerap minyak dan menyebabkan pembakaran di ruang enjin tidak sempurna sekali gus mengurangkan prestasi kenderaan serta meningkatkan penggunaan bahan api,” kata Pengurus Besar Peruncitan BHPetrol, James Khoo.

Beliau berkata, pihaknya mencampurkan kandungan AAC melebihi kadar maksimum yang disarankan iaitu sebanyak sebanyak 800 bahagian per juta (ppm) untuk memberikan kekuatan berganda selain menjimatkan bahan api.

“Dengan daya pembersihan yang lebih besar dalam petrol, kami menawarkan prestasi yang memberikan kuasa yang memberangsangkan. Pada masa yang sama, ia juga dapat memastikan ketahanan enjin,” ujarnya.

James berkata, AAC yang digunakan dalam BHPetrol Infiniti Advanced 2x adalah aditif sintetik sepenuhnya bagi petrol pelbagai fungsi yang dihasilkan menerusi kajian mendalam oleh kejuruteraan Jerman.

Bagi memastikan keberkesanan formula itu, badan tersebut turut melakukan beberapa ujian di sebuah badan bebas pengujian petrol di Jerman.

“Ujian itu mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Majlis Penyelarasan Eropah (CEC) dan diguna pakai dalam industri automotif di seluruh dunia.

“Perbandingan penggunaan petrol tanpa aditif menunjukkan BHPetrol Infiniti Advanced 2x yang dicampur dengan aditif AAC mampu mengurangkan sisa karbon pada injap kemasukan udara akibat pembakaran dalam enjin sebanyak 94 peratus atau kira-kira tiga miligram bagi setiap injap,” jelasnya.

BHPetrol Infiniti Advanced 2x ditawarkan pada harga RM1.85 seliter bagi RON95, manakala RON97 dijual RM2.10 seliter sejak 16 Ogos lalu di lebih 300 stesen minyak BHPetrol di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: