Sunday, October 3, 2010

Efron buktikan

FILEM remaja terkenal, High School Musical bukan saja mencetuskan fenomena seluruh dunia, malah tempiasnya besar terhadap barisan pelakonnya. Tuah itu pastinya pada teraju utamanya, Zac Efron.

pix_middle


Bagaimanapun, aktor kacak yang memiliki nama sebenar, Zachary David Alexander Efron bagai terjerat dengan ruang sama. Meskipun mengecapi pelbagai kejayaan dan membintangi pelbagai drama serta filem lain, Efron hanya aktor biasa yang sinonim dengan watak remaja Amerika.

Percaturan yang ditentukan tidak sesekali mengusik jiwa bintang yang pernah membintangi drama rantaian popular seperti ER, CSI Miami dan The Guardian pada awal kemunculannya lapan tahun lalu.


Sebaliknya, Efron percaya satu hari nanti ada ruang untuknya membuktikan dia bukan sekadar bersandar pada rupa semata-mata.

Bagai bulan jatuh ke riba, aktor yang turut membintangi filem Hairspray dan 17 Again ini ditawarkan satu watak yang tersasar jauh daripada lingkungan kebiasaannya apabila menerajui arahan Burr Steers iaitu Charlie St Cloud.

Efron yang juga graduan jurusan Seni Persembahan dari Institut Kesenian Pacific Conservatory melakonkan watak Charlie St Cloud yang menggesanya banyak bermain dengan imaginasi serta emosi.

Filem yang diterjemah daripada novel terlaris, The Death and Life of Charlie St Cloud pada 2004 ini menyingkap kelainan Efron.

Menurutnya, watak Charlie bukan sembarangan dan memerlukannya untuk duduk lama, mendalami skripnya serta memahami karakter keseluruhan.

Bukan saja memaksanya menzahirkan segala rasa hati, malah filem ini menggali setiap inci emosinya bagi menghidupkan Charlie.

“Lama saya mendalami isi hati Charlie dan cuba memahami karakter dan personalitinya. Filem ini memang berbeza dan pertama kali saya merasakan tekanannya. Mana tidaknya, sesekali terdetik di jiwa yang watak Charlie ini dekat dengan diri saya.

“Justeru saya tidak semudah itu bersedia dan berlari masuk ke set penggambaran, sebaliknya persediaan memang saya lakukan dengan teliti untuk penonton rasai juga jiwa Charlie,” katanya.

Charlie St Cloud mengisahkan Charlie yang hidup sendirian sebagai kelasi membesarkan adik lelakinya tanpa kasih sayang orang tua.

Tambah Efron yang juga kekasih kepada bintang jelita, Vanessa Hudgens, keserasian yang ada pada setiap pelakon serta persekitaran penggambaran banyak membantunya menghidupkan watak ini dengan baik dan kemas.

Selain pengarahnya yang tidak henti-henti membantu, Efron menyifatkan peluang beraksi dalam filem ini di samping beberapa nama terkenal lain termasuk Ray Liotta dan Kim Basinger bagai cenderahati terindah atas usahanya dalam lapangan seni lakon ini.

“Tidak sukar mencari keserasian antara saya dan pelakon lain meskipun kebanyakannya masih baru dan tiada pengalaman. Kami selalu duduk bersembang bagi menyatukan rasa selesa sebelum terus beraksi di depan kamera.

“Mungkin cara itu banyak membantu saya membentuk karakter Charlie selain memberi peluang untuk pelakon baru seperti saya mencuri ilmu dan pengalaman.

“Filem ini memang menarik dan mencerminkan sebuah perubahan ketara kepada saya. Jika selama ini ada pihak mempersoalkan bakat saya, Charlie St Cloud diharapkan dapat mengubah segala persepsi itu, sekali gus membuktikan ia sebuah lakonan berkesan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: