Friday, October 15, 2010

Drama cinta pelombong di Chile


SEORANG pelombong yang diselamatkan, Yonni Barrios memeluk kekasihnya, Susana Valenzuela selepas dia tiba di atas permukaan tanah dengan kapsul penyelamat di lombong San Jose, Chile kelmarin.


LOMBONG SAN JOSE - Drama percintaan antara seorang pelombong dengan isterinya dan seorang perempuan simpanannya hampir menenggelamkan kegembiraan operasi menyelamatkan 33 orang pelombong yang berjaya dilakukan di sini selepas mereka terperangkap 622 meter di bawah tanah selama 69 hari akibat dinding gua yang runtuh.

Pelombong itu, Yonni Barrios, 50, telah menjemput isteri dan perempuan simpanannya untuk menyambutnya semasa dia tiba di atas permukaan tanah dengan kapsul penyelamat kelmarin.

Namun, hanya perempuan simpanannya yang datang dan tidak isterinya.

Isteri yang dikahwininya selama 28 tahun, berikrar tidak mahu melihat suaminya itu walaupun di televisyen.

Ketika seluruh negara meraikan peristiwa bersejarah itu, Salina Barrios memberitahu dia tidak mahu berkongsi saat gembira itu dengan perempuan simpanan suaminya, Susana Valenzuela.

"Ini sangat jelas, sama ada dia atau saya. Melalui perbualan di telefon dan surat yang dihantarnya, jelas bahawa suami saya sihat. Itu sudah mencukupi buat saya," kata Salina yang keputusannya turut disokong oleh Cecilia Morel, isteri Presiden Chile, Sebatian Pinera.

Barrios yang nampak kecewa memberikan reaksi dingin kepada Valenzuela.

Salina dan Valenzuela berjumpa pada Ogos lalu di lombong tersebut.

Mereka terkejut kerana berada di lombong itu untuk lelaki yang sama. Malah, para pekerja Palang Merah pernah terpaksa menyuraikan pergaduhan mereka.

Adik Barrios, Lidia berkata: "Dia mencintai kedua-duanya. Mereka sangat penting dan mahu mereka berbaik-baik di antara satu sama lain."

Sementara itu, seorang anggota penyelamat, Manuel Gonzales menjadi orang terahir keluar dari dalam lombong bawah tanah tersebut dalam operasi penyelamat yang mendapat perhatian daripada ramai penduduk dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: