SINONIM dengan masyarakat Malaysia sebagai duta pusat pelangsing Marie France, aktres Christy Chung sekali lagi hadir untuk menjalankan tugas sebagai jurucakap yang dipegangnya sejak tahun 1998.
Melancarkan rawatan terbaru pusat pelangsing tersebut, Goldluxe, Christy baru melahirkan anak ketiganya, Cayla Yen pada 8 Februari lalu.
Menambah berat kira-kira 23 kilogram setiap kali mengandung, Christy bagaimanapun hanya menggunakan masa dua bulan untuk mendapatkan semula bentuk badan idealnya.
“Semasa melahirkan anak pertama 12 tahun lalu, ramai orang dapat melihat betapa cepatnya saya berjaya menguruskan badan. Dengan anak ketiga ini, saya ingin membuktikan bahawa Marie France dapat membantu terutama dengan rawatan serta teknologi terbaru mereka, Goldluxe,” ujar Christy kepada media tempatan.
Berjaya mengurangkan 11 kilogram, Christy tanpa berselindung memberitahu dia tidak akan melahirkan anak lagi. Bukannya tidak menyukai kanak-kanak, Christy mahu memberikan sepenuh perhatian kepada ketiga-tiga orang anaknya, Yasmine, 12, Jayden, 2, dan Cayla, 8 bulan.
Namun, disebabkan ketiga-tiga anaknya merupakan anak perempuan, ada yang tertanya-tanya sama ada Christy tidak mahu cuba mendapatkan anak lelaki.
“Saya tidak kisah sama ada anak lelaki atau perempuan. Janji mereka dilahirkan sihat dan sempurna sifatnya.
“Jika saya melahirkan seorang lagi anak, ia tidak adil bagi anak-anak saya yang lain. Lagipun, dua anak saya masih lagi kecil. Saya juga perlu meluangkan masa untuk seimbangkan karier saya. Buat masa ini, saya masih belum dapat melepaskan karier seni saya,” katanya.
Bakal bercuti bersama anaknya, Christy akan bangun seawal 6.30 pagi setiap hari untuk mengendalikan urusan keluarga. Mempunyai dua orang pengasuh untuk menjaga anaknya ketika dia sibuk dengan kerjaya, pelakon itu juga suka membawa anak-anaknya berenang.
|
|
“Seperti ibu lain, saya suka membawa mereka berenang serta menghabiskan masa di taman. Jika saya tidak bekerja, saya akan memberi sepenuh fokus kepada mereka. Apabila saya penat bekerja di luar, saya akan berasa gembira selepas berjumpa dengan mereka,” tambahnya.
Tidak akan menghalang jika anaknya ingin menceburi dunia hiburan, Christy sendiri akan dilihat menerusi filem terbarunya, Bruce Lee, My Brother. Senyap dari dunia lakonan sejak enam tahun lalu, kali ini, dia menjayakan watak sebagai ibu kepada Bruce Lee.
“Sudah lama saya menantikan peluang untuk menjayakan watak sebegitu. Walaupun agak mencabar tetapi memandangkan saya juga merupakan seorang ibu, ia sedikit sebanyak membantu. Sarat dengan elemen drama, watak ini menguji lakonan saya,” kata Christy mengenai filem yang turut dijayakan oleh Tony Leung.
Menetap di Beijing, China, pelakon berusia 40 tahun itu menyukai filem aksi serta romantik komedi. Selain berlakon, dia juga berusaha untuk menyiapkan albumnya bersama kumpulan Goddess yang ditubuhkan pada tahun 2006.
“Selepas lima tahun ditubuhkan, kami masih dalam proses pembikinan album kerana dalam tiga tahun kebelakangan ini, saya sibuk dengan perihal keluarga. Jadi sekarang selepas anak saya lebih besar, saya mahu menumpukan perhatian terhadap pembikinan album ini yang sudah lama tertunggak,” ujarnya yang popular dengan filem seperti God of Cooker, '97 Aces Go Places dan All's Well, Ends Well 1997.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: