Friday, October 15, 2010

Cabaran taman tema Acer dan Intel


PROGRAM sehari yang diadakan berjaya menarik penyertaan kira-kira 1,500 mahasiswa dari 10 buah universiti dan kolej dari seluruh negara.


JENAMA Acer dan Intel bukanlah satu nama asing dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negara ini. Mendekati golongan belia dengan cara tersendiri, Acer Sales & Services dan Intel Malaysia bergabung untuk menganjurkan Cabaran Air Acer & Intel Unicol 2010 yang diadakan di Taman Air Desa Water Park, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Program sehari itu berjaya menarik kira-kira 1,500 penyertaan mahasiswa dari 10 buah universiti dan kolej di seluruh negara.

Antara universiti dan kolej yang mengambil bahagian ialah Universiti Help, Kolej Antarabangsa KBU, Kolej KDU, Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU), Universiti Monash, Kolej Stamford, Kolej Universiti Taylor, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Universiti Sunway.


KEGEMBIRAAN jelas terserlah apabila setiap kumpulan berjaya menyelesaikan cabaran yang diberikan.


Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk bertanding dalam sembilan cabaran air antaranya cabaran tarzan air, perlumbaan air, kayu gayat dan LRT air.

Pemenang bagi setiap cabaran berpeluang memenangi plak, medal dan baucar bernilai RM500. Bagi pemenang bertuah yang berjaya menjumpai kertas tertera perkataan Acer dan Intel dalam permainan belon, mereka memenangi 100 peralatan urut mata tajaan OSIM bernilai RM219 setiap satu.

Pada akhir pertandingan, Kolej Stamford diumumkan sebagai pemenang keseluruhan. Pasukan itu berjaya memenangi piala pusingan dan sebuah komputer Acer Aspire 4741G bernilai RM2,299. Tempat kedua pula dimenangi Kolej Universiti Monash manakala ketiga Kolej KDU yang membawa pulang komputer Acer Aspire 4741G.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Pelanggan Mobil Acer Sales & Services, Low Gah Luen berkata, aktiviti diadakan selaras dengan prinsip syarikat itu dalam membudayakan teknologi kepada masyarakat.


CABARAN yang disediakan mampu memupuk semangat kerjasama dalam kalangan para peserta.


"Cabaran yang disediakan mampu menguji minda para peserta. Pada masa yang sama ia juga mampu memupuk semangat kerjasama meningkatkan daya kepimpinan di antara dalam pasukan," katanya.

Selain bertanding, peserta juga turut dihiburkan dengan persembahan khas daripada juara beatboxer kebangsaan, Shawn Lee, kumpulan B Boys serta keletah juruhebah Fly FM, Izwan dan Kat.

Pengurus Pembangunan Pemasaran Intel Malaysia, Karen Chow pula berkata, pihaknya gembira dapat berkerjasama dengan Acer Malaysia dalam menganjurkan program yang julung-julung kali diadakan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: