PETALING JAYA: Rakan artis terutama bintang AF8 bersimpati dengan nasib pemenang tempat kelima program realiti itu, Iwan atau nama sebenarnya Emirza Azwan Zulazrin Chew, 20, selepas disingkirkan dari drama bersiri Kau dan Aku musim kedua (KDA2), baru-baru ini.
Iwan didakwa menghadapi masalah disiplin setelah beberapa kali tidak hadir ke kelas lakonan drama bersiri terbitan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) itu.
Menurut rakan rapatnya di AF8, Nad atau nama sebenarnya Nadia Emilia Roselan, 22, dia hanya mengetahui sedikit-sebanyak cerita tentang Iwan itu menerusi akhbar.
Ini kerana Iwan bukanlah seorang yang gemar berkongsi hal peribadi mahu pun masalahnya dan disifatkan perahsia.
Apabila mereka bertemu semasa Konsert Reunion AF8 pada 10 Oktober lalu, pemuda itu kelihatan seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
“Saya tak tahu tentang masalah yang dihadapinya kerana dia tak pernah bercerita kepada saya sebelum ini. Malah, saya juga terkejut dan tertanya-tanya sebab wartawan mengerumuninya pada Konsert Reunion AF8 yang lalu.
“Walaupun berkawan baik, saya tidak tahu langsung tentang ceritanya disingkirkan daripada KDA2.
“Mungkin dia tak sedar tentang kesilapannya. Tetapi saya rasa orang luar yang tidak mengetahui tentang cerita sebenar supaya tidak terlalu cepat menghukum," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, seorang lagi bintang AF8, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Kadim, 19, yang turut berlakon dalam KDA2 sebagai Emran menafikan tentang masalah disiplin yang dihadapi oleh Iwan.
“Saya tengok dia selalu datang ke kelas lakonan dan tidak pasti tentang alasan dia disingkirkan. Saya kasihan juga apabila mendengar dia tidak lagi sama-sama berlakon dalam drama itu.
“Bagaimanapun, Hafiz memberikan lakonan yang tidak menghampakan,” katanya.
Sementara bintang AF8 Shah atau Muhammed Shahril Mohd Saleh Hussein, 26, menyifatkan faktor masih muda dan mentah dalam industri seni ini membuatkan Iwan gagal mengawal masalah yang dihadapinya.
“Mungkin juga ada berlaku masalah salah faham antara pihak produksi dengan Iwan. Saya rasa kasihan juga kepadanya tetapi tak tahu nak buat apa,” ujarnya.
Bagi pelakon utama KDA2, Anith Aqilah Sulaiman Lim, 19, Iwan selalu menghadiri kelas lakonan dan membuat latihan dengan baik.
“Jadi, saya tidak tahu bagaimana hendak memberikan komen tentang dakwaan tersebut,” jelasnya ringkas.
Iwan melakonkan watak Elena, seorang pelajar kolej yang bercita-cita tinggi, disenangi ramai dan tidak menghiraukan apa yang dikatakan oleh orang lain.
Tempat Iwan diganti oleh Hafiz AF7.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: