Saturday, October 2, 2010

Bilik pameran ABT terbesar Asia dibuka


HANS-JURGEN menyerahkan sijil kepada Cheng Seng Fook sambil diapit oleh Wolfgang Kitzeder (kiri) dan Brinal Chua (kanan).


FEDERAL AUTO HOLDINGS BHD, salah sebuah syarikat automotif terbesar di Malaysia, telah membuka bilik pameran bagi jenama pakar penalaan terkenal Jerman, ABT di Glenmarie, Shah Alam.

Kepada peminat tegar ABT Sportsline dari Jerman, anda pasti tahu bahawa syarikat itu merupakan penala utama bagi kenderaan Volkswagen dan Audi sejak lima dekad lalu.

Seluas 1,115 meter persegi, bilik pameran serba canggih itu menelan belanja lebih RM1 juta. Sarat dengan identiti korporat ABT ia menjadi pusat ABT terbesar di Asia.

Bilik pameran ABT itu menawarkan kit kereta dan aksesori terkini bagi kereta Audi dan Volkswagen. Terutama bagi model Volkswagen Golf Mk VI dan Scirocco.

Ruang pameran yang luas boleh memuatkan sehingga sepuluh unit kereta. Ia direka bentuk secara khusus bagi membolehkan pelanggan melihat kereta yang ditala oleh ABT dan pelbagai pilihan aksesori dengan selesa.

Ia juga bilik pameran ABT pertama yang dilancarkan secara rasmi oleh Federal Auto di bawah anak syarikat milik penuhnya, Federal Auto Sports Tuning Sdn. Bhd. (FAST).

Federal Auto dijangka membuka satu lagi bilik pameran di Petaling Jaya pada tahun ini dan sekurang-kurangnya dua lagi premis yang sama di Pulau Pinang serta di Johor Bahru menjelang akhir tahun 2011.

FAST dilantik sebagai pengedar eksklusif bagi produk ABT di Malaysia pada Mac 2010. Selain lokasi yang strategik, FAST berhasrat berganding bahu dengan wakil penjual Volkswagen dan kedai aksesori utama untuk menawarkan kemudahan sehenti kepada pelanggan yang mahu memaksimumkan prestasi kenderaan mereka.

Pengarah urusan Federal Auto, Cheng Seng Fook memberitahu, kerjasama dengan jenama premium seperti ABT adalah sebahagian daripada strategi syarikat. Ia dilihat berupaya memanfaatkan pasaran aksesori penalaan dan perkhidmatan selepas jualan yang pantas berkembang.

"Kami percaya bahawa potensi pasaran amat besar. Ini kerana pengguna tidak lokek berbelanja, selain populariti jenama Volkswagen dan Audi yang semakin meningkat di Malaysia. Kami bangga diiktiraf oleh jenama global seperti ABT untuk menjadi rakan eksklusif mereka," katanya.

Pengarah Urusan ABT Sportsline Hans-Jürgen Abt mengakui Federal Auto ialah rakan niaga yang amat sesuai kerana mereka mempunyai pengalaman, kepakaran dan infrastruktur untuk membantu mengembangkan jenama ABT di Malaysia.

"ABT memastikan bahawa ciri setiap kereta yang kami tala tidak diubah, tetapi diperingkatkan. Lagi pun, proses penalaan ini tidak memberi kesan terhadap jaminan yang diberikan oleh pihak pengeluar," kata Hans-Jürgen.

ABT menyifatkan Asia ialah pasaran yang sangat penting. Selain Malaysia, ABT memiliki cawangan di 52 buah negara termasuklah di China, Singapura, Jepun, Taiwan dan Thailand.


REKAAN dalaman yang sarat dengan identiti korporat ABT.


Teknologi ABT

Dengan ABT, pemilik Volkswagen dan Audi boleh mengubah spesifikasi kereta mereka dari aspek penampilan dan prestasi. Pengubahsuaian melibatkan enam ciri penting iaitu kuasa enjin, aerodinamik, sistem ekzos, suspensi, brek dan rim sport.

Teknologi penalaan cip terkenal ABT yang dibangunkan hasil penglibatannya dalam sukan lumba motor professional sejak sekian lama berupaya meningkatkan kuasa enjin dengan ketara, tanpa menambah emisi karbon dioksida, malah mengurangkan penggunaan minyak.

Bagi Golf GTi Mk VI, ABT boleh meningkatkan output kuasa maksimum enjin daripada 210 bhp kepada 260 bhp. Selain janaan tork daripada 280 Nm kepada 360 Nm.

Diperbuat daripada material poliuretana bermutu tinggi, alat ganti buatan ABT direka bentuk bagi meningkatkan tahap aerodinamik kenderaan. Setiap kit juga direka supaya boleh dipasang dengan kemas pada titik sambungan asal untuk cantuman yang sempurna.

Menerusi sistem ekzos keluli tahan karat dan peredam bunyi, teknologi ekzos ABT bukan hanya mampu menjana kuasa lebih tinggi, malah jentera anda juga juga cantik dipandang dan sedap didengar.

Sistem suspensi ABT yang menggunakan teknologi terkini direka untuk merendahkan kedudukan kereta supaya kelihatan lebih bergaya dan memberikan cengkaman yang lebih baik. Sistem itu boleh dilaras dari segi ketinggian, lantunan dan pemampatannya supaya sesuai dengan corak pemanduan.

Buat masa ini, ABT menawarkan pelbagai pakej talaan bagi Volkswagen Golf dan Scirocco. Harganya adalah di antara RM6,636 bagi penalaan cip enjin, sehinggalah RM43,610 bagi set lengkap merangkumi kit kereta, spring sport, rim dan tayar.

Namun, menurut Pengarah Urusan ABT Asia LLP, Wolfgang Kitzeder menyatakan talaan juga boleh dibuat pada model-model Volkswagen yang baru termasuklah Golf 1.4 TSI.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: