Monday, October 11, 2010

Bekas tentera bakal terima dua insentif


Najib Tun Razak beramah mesra dengan veteran perang yang cacat anggota kaki pada Perhimpunan Raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. Mengiringi Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi


KUALA LUMPUR 10 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan dua insentif yang akan menggembirakan kira-kira 300,000 bekas anggota tentera yang selama ini sanggup mengorbankan nyawa demi memastikan keamanan negara.

Dua perkara itu ialah sumbangan khairat kematian sebanyak RM3,000 daripada RM500 sebelum ini yang akan berkuat kuasa serta-merta.

Selain itu, bayaran ex-gratia kepada anggota yang cacat anggota badan kerana terlibat dalam pertempuran sebelum 1994 akan segera diselesaikan dalam masa terdekat.

"Pasukan keselamatan sama ada yang masih dan berhenti berkhidmat kepada negara merupakan kumpulan masyarakat yang amat penting. Kerajaan memang menjaga kebajikan kumpulan ini mengikut kemampuan kewangan kita.

"Semasa menjadi Menteri Pertahanan pada 2001, saya telah menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia dan sejak itu sebanyak RM197 juta dibelanjakan bagi membantu kebajikan bekas tentera.

"Namun usaha ini perlu disemak mengikut kemampuan kewangan negara, tentu sekali jika kita mampu bantuan akan ditambah, sebab itulah hari ini saya umumkan dua insentif besar ini," katanya

Najib mengumumkan demikian semasa berucap sempena Perhimpunan Raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis yang julung kali diadakan itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abd. Ghani serta hampir 20,000 bekas anggota dan pegawai tentera dari seluruh negara.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika ditemui selepas majlis itu memberitahu bahawa terdapat kira-kira 2,000 anggota tentera yang cacat anggota kerana terlibat dalam pertempuran bermula pada zaman darurat hingga 1994.

Katanya, kumpulan yang akan mendapat ex-gratia ini, senarai nama mereka akan dikemas kini oleh PBTM, JHEV dan Kementerian Pertahanan, pembiayaan sepanjang hayat mereka akan dibuat setelah Perdana Menteri menelitinya kerana ia melibatkan jumlah yang besar.

Mengenai khairat kematian pula, Ahmad Zahid berkata, ia akan dilaksanakan tanpa perlu menunggu Akta Veteran diluluskan dan JHEV telah diarahkan untuk membuat penelitian jumlah sebenar yang terlibat.

"Komitmen Perdana Menteri itu merupakan penghargaan beliau dan kerajaan terhadap bekas anggota tentera, beliau amat memahami kesukaran yang terpaksa ditanggung apabila berlakunya kematian.

"Berdasarkan kepada keadaan semasa, RM500 itu tidak mencukupi dan kenaikan ini memang sesuatu yang diharapkan oleh veteran tentera dan keluarga mereka. Harap ia dapat melega dan meringankan sedikit beban mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: