Friday, October 22, 2010

Bekas penyampai berita RTM fail cerai fasakh



KUALA LUMPUR – Seorang bekas penyampai berita Rangkaian Television Malaysia (RTM) berbangsa Cina memfailkan cerai fasakh terhadap suaminya di Mahkamah Syariah, di sini semalam.

Ter Ai Chin, 55, atau nama Islamnya Khairul Nisa Ter Abdullah memfailkan cerai fasakh terhadap Ahmad Abdullah, 62, seorang jutawan yang dulunya adalah Pengarah Phileo Allied Bank.

Ai Chin hadir kira-kira jam 12 tengahari dengan berbaju kurung biru gelap dan bertudung hitam dengan ditemani peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakilinya.

Dia bersama Mohd Zaidi kemudiannya memfailkan di kaunter pendaftaran dengan menamakan suaminya, sebagai defendan.

Ketika ditemui pemberita di perkarangan mahkamah, Mohd Zaidi memberitahu permohonan itu mengikut Akta Undang-undang Keluarga Islam 1987.

Mereka pernah bernikah di Narathiwat pada 10 Jun 1986 dan bernikah semula mengikut Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur secara wali hakim.

Ai Chin bertindak memfailkan fasakh ke atas suaminya akibat krisis rumahtangga yang berpanjangan sehingga sudah tawar hati untuk meneruskan ikatan perkahwinan yang terjalin selama 25 tahun itu.

“Sejak dari awal perkahwinan lagi kehidupan kami tidak mesra kerana sering berlaku pergaduhan akibat sikap suami yang tidak berlaku adil kepada saya sebagai isteri kedua dan sering menyakiti saya secara fizikal tanpa sebab yang munasabah sehingga menyebabkan kecederaan kepada tubuh badan saya,” katanya setelah selesai memfailkan kes fasakh itu.

Menurutnya, perbuatan defendan memberi kesan negatif kepada akal fikiran dan maruah plantif sebagai seorang isteri, anggota masyarakat dan penyampai berita di mana penampilannya sering menjadi perhatian ramai.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata yang masing-masing berusia 20 dan 21.

Kes Ter Ai Chin, akan didengar pada 10 November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: