Sunday, October 3, 2010

Apabila terumbu karang mati




KEUNIKAN dan keindahan dasar laut dengan warna-warni terumbu karang meletakkan beberapa buah pulau di negara ini sebagai antara yang tercantik di dunia.

Malangnya, terumbu karang yang dianggap aset paling berharga itu sedang berdepan dengan kemusnahan termasuk di beberapa taman laut dan lokasi menyelam polular.

Buktinya dapat dilihat pada warna terumbu karang yang semakin pudar dan suram.

Fenomena itu memaksa Jabatan Taman Laut Malaysia (JLTM) menutup sebanyak 12 lokasi menyelam selama 122 hari iaitu sehingga 31 Oktober ini.

Lokasi yang dimaksudkan itu ialah Teluk Wangi, Pantai Damai dan Coral Garden di Pulau Payar, Langkawi, Kedah.

Di Terengganu, kawasan yang terjejas meliputi sembilan lokasi di Pulau Redang, dua di Pulau Perhentian Besar serta masing-masing satu di perairan Pulau Lima dan Pulau Tenggol.

Sementara di Pahang, lokasi yang dikenal pasti terletak di Pulau Tioman, iaitu Pulau Chebeh dan Pulau Tulai, Pulau Rengis, Pulau Tumok dan Pulau Soyak.

Tinjauan Jurnal ke Pulau Redang mendapati pelunturan terumbu karang di situ sudah berada di tahap serius.

Warnanya pudar malah sesetengahnya sudah mati dan tidak dapat diselamatkan lagi.

Serpihan terumbu karang yang patah dan mati juga bersepah dihanyutkan ombak di tepi pantai di beberapa kawasan pulau berkenaan.


TERUMBU karang yang mati bersepah di pantai Pulau Redang.


Putih

Penduduk tempatan memberitahu, pemutihan warna terumbu karang ini terjadi secara perlahan-lahan sejak lima tahun lalu.

Seorang pemandu pelancong yang juga anak jati Pulau Redang, Azmi Awang, 23, memberitahu, tanda-tanda kemusnahan dapat dilihat pada perubahan warna terumbu karang jenis fingers yang banyak terdapat di situ.

“Terumbu karang yang sihat mempunyai warna yang terang dan sangat cantik tetapi kini kebanyakannya berwarna putih menandakan ia sedang sakit.

“Selain itu, banyak juga yang sudah bertukar kepada warna kelabu yang menunjukkan ia sudah mati,” katanya.

Seorang lagi pemandu pelancong, Mohd. Yusri Azizul Yusuff berpendapat terumbu karang di Pulau Redang sudah hilang kilauannya.

“Air laut di sini juga tidak cantik lagi. Kami harap kawasan ini dapat dipulihkan seperti sediakala,” ujarnya.

Meskipun mencari rezeki dengan mengharapkan kedatangan pelancong ke pulau itu, Yusri tidak bimbang andai beberapa lokasi di situ ditutup sementara.

“Semasa saya kecil dahulu iaitu sebelum ramai pelancong datang, dasar laut di sini sangat cantik, jauh berbeza daripada keadaan sekarang,” katanya yang membawa pelancong untuk aktiviti snorkel dan menyelam.

Menurut seorang penyelia sebuah resort di pulau itu, Mohd. Arjuna Nawang, 28, fenomena El-Nino yang sedang dilalui sekarang bukan faktor utama kepada masalah ini.

“Bagi saya, sikap manusia adalah penyebab terumbu karang rosak,” katanya yang sudah sembilan tahun bekerja di pulau berkenaan.

Menurutnya, antara perbuatan secara sedar ialah tindakan mematahkan terumbu karang dengan memijak aset bumi itu ketika mereka mengunjungi pulau tersebut.

“Manakala tindakan tanpa sedar ialah dengan menyalurkan bahan bertoksik kepada sumber alam itu melalui pemakaian losen pelindung matahari dan juga sabun ketika melakukan aktiviti air,” katanya.


AKTIVITI menyelam di kawasan terumbu karang yang terjejas wajar dihentikan bagi membolehkan khazanah laut itu hidup semula.


Pelancong

Arjuna ternyata kesal dengan sikap pelancong tempatan.

“Mereka sesuka hati memijak terumbu karang tanpa memikirkan bagaimana sukarnya proses hidupan itu membesar.

“Mereka juga tanpa rasa bersalah memberikan makanan manusia kepada ikan iaitu roti yang sebenarnya memendekkan hayat ikan,” katanya yang menjelaskan yis di dalam roti sangat berbahaya kepada ikan.

Berbeza pula dengan pelancong asing kerana menurut pemerhatian Arjuna, mereka sangat menjaga alam.

“Mereka hanya memakai losen pelindung matahari ketika berjemur dan akan membersihkan losen itu terlebih dahulu sebelum turun ke pantai.

“Mereka juga akan menegur tindakan pemandu pelancong atau pemandu bot yang menjejaskan alam sekitar,” katanya.

Bagi pengusaha sebuah resort, Fatimah Musa, 60, pembangunan tidak terkawal di Pulau Redang menjadi faktor kemusnahan terumbu karang.

“Sebagai contoh, pembinaan tangki air berhampiran jeti kampung tidak dilakukan dengan pengawasan yang baik.

“Ia sepatutnya dilakukan dengan cepat dan teliti kerana kini lumpur daripada projek berkenaan sudah mengalir ke laut,” katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha bot, Hashim Jusoh, 40, memberitahu, faktor air kencing manusia juga boleh menjejaskan terumbu karang.

“Jadi saya nasihatkan pengunjung supaya tidak membuang air terus ke dalam laut kerana asid dalam air kencing dapat merosakkan terumbu karang,” katanya.

Hashim berpendapat cara paling baik untuk memulihkan terumbu karang di pulau-pulau peranginan ialah dengan menutup kawasan terbabit daripada sebarang aktiviti untuk tempoh yang lama.

“Sekurang-kurangnya tempoh 10 tahun diperlukan tetapi saya sendiri akan mendapat masalah jika tindakan itu dilakukan.

“Pengusaha resort, pemandu pelancong dan penduduk Pulau Redang juga akan mendapat impak sama jika pulau ini ditutup,” katanya yang mencadangkan hanya sebahagian kawasan pulau itu dibuka untuk tujuan komersial pada satu-satu masa.

Menurut Ketua Pengarah JTLM, Abd. Jamal Mydin, langkah menutup sebahagian lokasi menyelam termasuk sembilan lokasi di Pulau Redang itu adalah kerana keadaan cuaca sekarang di mana suhu air laut meningkat kepada 30 hingga 31 darjah Celsius berbanding suhu biasa antara 28 hingga 29 darjah Celsius dan dijangka berakhir Oktober ini.


MASA selama sekurang-kurangnya enam bulan diperlukan untuk karang yang mati hidup semula.


“Ekoran fenomena itu, kelunturan terumbu karang di sesetengah kawasan mencapai tahap 60 hingga 90 peratus,” katanya.

Katanya, pihaknya kini dalam usaha memulihkan semula terumbu karang di kawasan taman laut yang telah ditutup sementara dan sedang menanam semula karang di kawasan itu.

“Ia merupakan cadangan jangka panjang bagi memastikan terumbu karang yang menyumbang kepada pelancongan negeri ini dan sebagai habitat ikan untuk membiak dapat dikekalkan,” katanya.

Jelasnya, sejak beberapa bulan lalu pihaknya dengan bantuan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sudah menanam beberapa ribu karang di sekitar Pulau Redang dan Pulau Tioman bagi memulihkan semula kawasan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: