Tuesday, October 12, 2010

Ahli Parlimen Israel berbalah


GAMBAR fail menunjukkan dua budak Palestin dilanggar sebuah kereta dipandu lelaki Yahudi di Silwan, timur Baitulmuqaddis pada Jumaat lalu.


BAITULMUQADDIS - Ketegangan berhubung insiden seorang pendatang Yahudi merempuh dua budak lelaki Palestin yang membaling batu di timur Baitulmuqaddis merebak ke Parlimen Israel semalam.

Suasana tegang pada persidangan Parlimen Israel memuncak apabila anggota-anggota Parlimen Yahudi dan Arab-Israel saling melabelkan satu sama lain sebagai 'pengganas' dan 'orang gila' selepas kejadian itu berlaku minggu lalu.

Dalam rakaman insiden pada Jumaat lepas, dua budak lelaki bertopeng sedang berdiri bersama sekumpulan pembaling batu apabila mereka dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang pendatang Yahudi yang kemudian melarikan diri.

Seorang budak lelaki itu terpelanting dan tersembam pada cermin hadapan kenderaan tersebut sebelum terhumban ke jalan.

Pengerusi Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Israel, Danny Danon dari Parti Likud menyuarakan kekesalannya kerana kanak-kanak Palestin berulang kali terbabit dalam perbuatan membaling batu.

"Ia mengejutkan. Perbuatan membaling batu ke arah kereta yang dinaiki penumpang adalah satu cubaan membunuh," kata Danon dalam satu mesyuarat yang sebahagian besarnya dihadiri oleh wakil-wakil kumpulan propenempatan Yahudi di timur Baitulmuqaddis yang ditakluki Israel.

Namun, suasana tegang tercetus apabila wakil rakyat berketurunan Arab-Israel, Ahmed Tibi melahirkan rasa terkejut kerana jawatankuasa berkenaan langsung tidak mempedulikan nasib dua kanak-kanak berusia 10 tahun dan 11 tahun itu yang teribat dalam kejadain langgar lari.

"Anda langsung tidak bersimpati," kata Ahmed.

"Anda ialah kumpulan manusia gila yang tidak berperasaan walaupun melihat seorang kanak-kanak terpelanting," tambahnya.

Polis mengenal pasti pemandu itu sebagai David Beeri, seorang pemimpin yahudi di Elad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: