DHAKA - Sekurang-kurangnya seorang pelajar universiti disahkan mati dan kira-kira 40 orang dikhuatiri lemas apabila sebuah bas yang dipenuhi penumpang terhumban ke dalam sebatang sungai dekat bandar Dhaka semalam, kata polis.
Semasa kejadian, bas itu dipenuhi dengan kira-kira 50 orang dalam kejadian yang berlaku di Aminbazar, 20 kilometer ke barat Dhaka.
Seorang pegawai daerah, Mohibul Haq berkata, bas itu terbabas ke dalam Sungai Turag sekali gus menyebabkan kira-kira 40 penumpang terperangkap.
Askar-askar dan penyelam tentera laut dikerahkan ke lokasi kejadian selepas para penyelam jabatan bomba gagal menemui bas tersebut di dalam sungai.
"Selama enam jam berlalu dan kami masih belum menemui bas tersebut. Saya bimbang semua penumpang itu mati," katanya.
Menurutnya, alat pengesan logam diterbangkan khas dari bandar Chittagong untuk digunakan bagi mencari bas tersebut.
Polis menyatakan lapan orang dapat berenang ke tepi tebing sungai.
Salah seorang yang berjaya berenang ke tepi pantai ialah seorang pelajar wanita sebuah universiti berumur 23 tahun.
Namun, kata seorang ketua polis tempatan, pelajar itu mati di sebuah hospital di bandar Savar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: