KUALA LUMPUR 21 Sept. - Orang ramai dinasihat tidak membeli dan menggunakan produk tradisional Goji Plus Capsule, VnG400 dan Promax Capsule berikutan pengesanan bahan campuran tiruan thioslidenafil, noracetildenafil dan thlodimethylslldenafil dalam produk tersebut.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Eisah A. Rahman berkata, berikutan pengesanan tiga jenis bahan campur tiruan itu, pendaftaran produk tersebut yang digunakan secara tradisonal untuk kesihatan tubuh badan dibatalkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah pada 26 Ogos lalu.
"Ubat-ubatan yang mengandungi thioslidenafil, noracetildenafil dan thlodimethylsllde hanya boleh dibekal oleh doktor atau farmasi dengan kebenaran doktor kerana penggunaanya tanpa pengawasan dapat menyebabkan kesan sampingan serius.
"Ia seperti tekanan darah rendah, pengurangan dan kehilangan pendengaran dan kesan kardiovaskular yang lain.
"Produk-produk ini telah disahkan dicampur palsu dengan thioslidenafil, noracetildenafil dan thlodimethylslldenafil, orang awam dinasihat menghentikan penggunaan produk ini," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Sementara itu, Eisah meminta peniaga yang masih menyimpan stok produk tersebut menghentikan penjualan dan pengedaran produk tersebut dengan serta-merta.
Tegasnya, penjualan produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan jika didapati bersalah, individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
"Bagi kesalahan berikutnya, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: