![]() |
| Pangsapuri anggota polis yang terdapat di Kompleks Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat yang siap sepenuhnya pada 30 Jun lalu. |
Selepas dua tahun menunggu, akhirnya warga Kuala Langat kini boleh berurusan dengan lebih selesa di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Langat yang baru.
Kompleks yang merupakan mercu tanda baru Kuala Langat itu turut menyediakan banyak kemudahan kepada anggota dan pegawai polis bertugas di balai tersebut.
Tapak kompleks itu sebelum ini menempatkan bangunan lama IPD Kuala Langat.
Pembinaan kompleks baru menyebabkan IPD Kuala Langat terpaksa dipindahkan sementara di rumah kedai dua tingkat di Bandar Sungai Emas, Banting, pada penghujung 2007.
Pada 30 Mei lalu, kompleks yang merupakan antara IPD tercantik di Selangor dan terletak di atas tanah berkeluasan 0.4 hektar itu siap dibina.
Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, kompleks tiga tingkat itu menempatkan Bahagian Trafik, lokap dan Balai Polis Banting di tingkat bawah sementara Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Jenayah, Narkotik dan pentadbiran di tingkat satu.
Di tingkat dua pula menempatkan Jabatan Komunikasi, Bilik Gerakan, Cawangan Khas, bilik mesyuarat dan logistik.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Nordin Manan berkata, antara kemudahan yang terdapat di kompleks IPD baru itu adalah dewan serbaguna yang boleh diubah suai penggunaannya mengikut majlis dan acara.
Menurut beliau, dewan itu juga boleh digunakan untuk melakukan aktiviti sukan seperti badminton dan turut digunakan oleh ahli-ahli Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Polis (Perkep) untuk menjalankan aktiviti mereka.
“Kompleks ini juga mempunyai surau sendiri terletak di bahagian hadapan untuk digunakan oleh anggota dan juga orang ramai selain menempatkan bilik pengurusan jenazah.
“Banyak kemudahan yang dwi fungsi dan tidak membazirkan ruang contohnya seperti tempat letak kenderaan boleh diubah suai menjadi padang bola jaring,”” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Nordin memberitahu, kemudahan lain yang terdapat di situ adalah kantin, tempat meletak kenderaan dan barang kes yang mencukupi serta pangsapuri.
Jelas beliau, kawasan pangsapuri yang lebih luas dan moden juga diharapkan dapat memberikan keselesaan kepada ahli keluarga anggota PDRM.
Ujarnya, pangsapuri itu juga dilengkapi kemudahan padang permainan dan tadika kemas bagi memudahkan aktiviti riadah anak-anak anggota polis selain menempatkan rumah Perkep.
“Saya berharap dengan terbinanya kompleks yang serba moden ini, semua anggota polis akan menjalankan khidmat dengan dengan cekap lagi bagi mengurangkan kadar jenayah di kawasan itu,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: