JAKARTA – Indonesia sekali lagi riuh dengan cerita keajaiban, kali ini mengenai seorang dukun kecil berusia sembilan tahun yang dikatakan mendapat sebuah batu ajaib ketika hampir disambar petir baru-baru ini dan tahu-tahu didakwa mampu mengubati segala penyakit.
Media massa tempatan melaporkan sejak beberapa hari lepas, rumah dukun kecil yang bernama Ponari itu diserbu puluhan ribu orang setiap hari yang berharap pelbagai penyakit mereka dapat diubati dengan meminum air yang dicelup batu ajaib oleh dukun itu yang didukung oleh keluarganya mengelilingi pesakit itu.
Laporan akhbar menyebut anak kecil itu yang merupakan murid darjah tiga sekolah rendah di kampungnya di Dusun Kedungsari, Jombang, Jawa Timur, tidak pun sedar dirinya dianggap sebagai dukun sehinggakan ketika didukung berkeliling untuk mencelup batu ajaibnya, dia masih bermain-main.
Ada laporan menyebut bahawa pendapatan keluarganya pernah mencapai puluhan juta rupiah (berpuluh ribu RM) sehari hasil daripada sumbangan orang ramai yang datang berubat walaupun mereka tidak pernah dikenakan bayaran tertentu dan terpaksa beratur sejauh 10 kilometer dan menunggu berhari-hari untuk mendapat rawatan.
Ketua polis setempat seperti diberitakan oleh agensi berita Antara, dilaporkan menganggarkan jumlah pesakit yang datang ke situ menjangkau 50,000 hingga 60,000 sehari berdasarkan nombor giliran yang dikeluarkan kepada pesakit walaupun Ponari dikatakan hanya mampu merawat 10,000 orang sahaja setiap hari.
Sehingga kini empat orang yang cuba mendapatkan rawatan mati terpijak oleh orang ramai dan puluhan yang lain cedera.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: