Friday, February 13, 2009

Ekin bahagia di sisi Mawi



Setelah beberapa bulan melayari rumah tangga bersama, Ekin rasa bahagia bersama suami tercinta, Mawi. Sebelum ini, pelbagai cerita gosip dan panas menjadi perhatian pihak media dan orang ramai tetapi kini setelah sah bergelar suami isteri, Ekin rasa dirinya lebih selamat.

Menurut Ekin sejak bergelar isteri kepada Raja SMS ini dia menjalani hidup dengan lebih teratur. Apa sahaja yang dilakukan, pasti berbincang bersama suami dan semuanya mendapat perhatian orang yang disayangi.

“Hidup Ekin macam biasa tapi sekarang ni ada suami ianya lebih bermakna. Tanggungjawap agak berat tetapi Ekin suka melakukannya kerana mendapat perhatian daripada Mawi juga. Antara kami, bekerjasama dan kadangkala tegur-menegur jika tak betul. Paling penting, Ekin kena jaga hal-hal rumah tangga, jaga makan pakai suami dan macam-macam lagi lah,”ujar Ekin terus terang.



Gosip cabaran dalam rumah tangga

Biar pun kini lebih selesa dengan kedudukannya sekarang, kisah gosip Mawi dan Ekin masih lagi kedengaran.

“Berkenaan gosip, Ekin tak boleh nak salahkan mereka. Benda ini semua lumrah dalam hidup. Sekarang ini Ekin dah tak ambil peduli apa orang nak cakap tentang Ekin dan Mawi.

“Lagi pun Ekin tak ada hak nak halang orang di luar sana cakap apa. Mawi banyak menasihati Ekin agar banyak bersabar,” katanya kepada wartawan ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul 1430H.

Selepas kahwin, Mawi dikatakan sering membawa isterinya ke mana-mana, adakah sebab Ekin cemburu?

“Sebenarnya, soal cemburu tidak timbul dalam hal ini. Kadang-kadang Ekin rasa bosan sendiri di rumah. Sebab itulah Mawi ajak Ekin ikut sekali. Soal cemburu tak wujud. Ekin ikut Mawi sebagai teman bukan sebab ‘jelous’.

“Kenapa bila artis lain bawa isteri atau suami mereka, soal ini tidak menjadi isu. Tetapi kenapa bila Ekin ikut Mawi atau Mawi bawa Ekin ke lokasi atau majlis-majlis tertentu hal ini di persoalkan,” katanya.

Menurutnya, Mawi juga seorang suami yang penyayang. Selain itu, Ekin turut memuji sikap Mawi yang sangat penyabar dalam mengharungi segala masalah, gosip dan cabaran yang tidak henti-henti melanda. Ekin juga turut mengakui bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri kepada Mawi.

“Sebagai suami Mawi banyak menasihati dan mengajar Ekin agar bersabar dengan segala apa saja tohmahan yang datang. Kata Mawi pada Ekin, biarlah orang nak cakap apa. Apa yang datang kita terima dan hadap sahaja,” katanya.



Ekin hamil?

Walau pun wajah Ekin nampak berseri-seri selepas pulang dari ‘honeymoon’ di Korea, namun susuk tubuhnya nampak sedikit susut berbanding sebelum ini. Timbul pula persoalan, adakah Ekin sudah berbadan dua dan sudah bersediakah mereka suami isteri untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat?

Menurutnya, dia dan Mawi tidak pula merancang soal cahaya mata sebaliknya menyerahkan semua ini kepada Allah.

“Ekin tak rancang apa-apa, andai dalam masa terdekat ini Ekin hamil, Ekin terima sahaja apa yang di tentukan. Terus terang Ekin cakap, buat masa ini belum lagi ada petanda yang Ekin hamil. Kami juga tidak pernah merancang untuk memiliki berapa orang anak,” katanya sambil tersenyum penuh makna.

Sementara itu, Ekin turut merancang untuk membuka butiknya sendiri bagi mengisi masa lapang dan minatnya dalam dunia fesyen.

“Memang Ekin akan buka butik dan sekarang ini masih dalam proses mencari material lagi. Ekin masih lagi mencari-cari lokasi yang sesuai untuk membuka butik. Lagi pun dalam soal perniagaan sebegini rasanya tidak perlu terburu-buru kerana banyak aspek lain perlu Ekin fikirkan,” katanya.

1 comment:

  1. semoge kekal bahagie hndknye.......mawi ekin da best.....syok tgk korang....jodh tlh dpilih ALLAH...semoge berkekalan hingga akhir hayat...AMINNN......

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: