ADAKAH kejayaan sebuah filem mencapai kutipan box-office menjadi penentu kepada kualiti filem yang dihasilkan itu?
Jika itulah kayu pengukur yang digunakan pasti ia akan mengembirakan penerbit sekuel terbaru Senario The Movie: Episod 2, David Teo.
Menurut penerbit Metrowealth, David Teo nukan senang mengekalkan jumlah pulangan yang dicatatkan oleh filem Senarion The Movie:Episode 1 kerana terpaksa bersaing dengan kebanjiran filem-filem dari luar negara.
“Pulangan yang diperolehi baik dan kami mahu mengekalkan pulangan sedemikian. Tangunggjawab pengarah dalam filem sekuel ini lebih berat kerana penonton sudah tahu kualiti filem Senario dan akan membandingkan dengan filem terdahulu.
“Ini adalah tangunggjawab yang berat untuk kami pikul bagi mengekalkan jumlah kutipan yang diperolehi itu.
"Pihak kami rasa bukan mudah untuk mendapat pulangan sedemikian dalam keadaan ekonomi sekarang,” katanya.
Ditanya rasional filem Senario diteruskan adalah kerana pihaknya telah mengikat kontrak dengan kumpulan lawak nombor satu itu untuk menerbitkan filem senario untuk tiga sekuel berbeza.
“Kami telah sign kontrak tahun lalu. Mereka akan berlakon dalam dua lagi filem termasuk filem Senario the Movie: Episod 2. Kalau nak buat sampai sepuluh pun boleh tapi kita kena tengok bagaimana feedback dari penonton juga.
“Kalau sikap mereka positif, kerja pun baik kami kisah untuk terus terbitkan filem untuk mereka. Komedi tidak dinilai dari sudut umur dan status seseorang artis itu,” ujar David.
Menurut David lagi, pihak Metrowealth juga memberi kebebasan kepada ahli kumpulan Senario untuk menerima sebarang tawaran berlakon filem lain.
“Macam Mazlan (Lan Pet Pet) dia pernah berlakon Jangan Belakang Congkak manakala dalam filem ini dia berlakon atas kapasiti individu bukan sebagai ahli kumpulan Senario.
“Kami tidak mahu menyekat sumber rezeki mereka. Mereka boleh terima tawaran selagi tidak menjejaskan jadual penggambaran filem mereka,” katanya.
Dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak memberangsangkan ketika ini, David berkata ia sedikit sebanyak tetap memberi kesan kepada kutipan tiket jualan filem-filem tempatan termasuklah filem terbitannya.
"Daripada kajian yang saya jalankan saya lihat golongan berpendapatan rendah dan sederhana agak terjejas dan sudah kurang menonton filem di pawagam dan ia memberi kesan kepada kutipan jualan tiket bagi sesebuah filem.
“Jika tak ada duit bagaimana orang nak bergelak ketawa di panggung, tapi tidak dinafikan pawagam di negara ini masih lagi murah hendak dibandingkan dengan negara-negara lain,” ujar anak kelahiran Segamat Johor ini.
Tambah David lagi, formula dia menghasilkan filem adalah berdasarkan filem-filem yang sudah punya branding tersendiri.
“Macam Senario dia sudah ada nama jadi dari segi itu mereka beri kelebihan kepada syarikat saya. Kelembapan ekonomi akan mempengaruhi kutipan tiket tapi saya yakin ia mampu catat kutipan box-office,” ujarnya.
ldham kaji populariti Senario
Setelah dua tahun tidak muncul menerusi filem komedi terbaru, syarikat produksi filem paling aktif di negara ini, MIG Production Sdn. Bhd. mengambil inisiatif untuk menaikkan kembali Senario ke puncak perhatian menerusi naskhah arahan Ahmad ldham Ahmad Nadzri yang diberi judul, Senario The Movie - Episode 2.
Melihat kepada judulnya sahaja, sudah jelas gambaran karya ini punya intipati dan jalan cerita yang berbeza.
Idham mengakui, bukan mudah sebenarnya untuk memulakan filem ini memandangkan ia adalah filem kelapan lakonan Senario.
Sebaik meraih tawaran mengarah filem itu, Idham terus membuat rujukan berhubung tahap populariti Senario berdasarkan filem-filem mereka yang lalu.
"Sudah pasti saya buat beberapa rujukan sebelum ini, bukan apa untuk melihat sendiri prestasi atau pun kutipan Senario menerusi filem-filem mereka.
"Ini kerana supaya filem yang akan saya hasilkan nanti benar-benar diterima dan memenuhi cita rasa peminat Senario," ulasnya yang ditemui selepas majlis doa selamat dan pelancaran filem Senario The Movie: Episod 2 di Seri Kembangan minggu lalu.
Menyentuh mengenai tarikan lawak Senario yang kurang memberangsangkan sejak akhir-akhir ini, justeru adakah Idham tidak risau impaknya terhadap sambutan filem itu nanti?
Namun menurut Idham, keberanian perlu ada dalam dirinya kerana pertama kali mengarahkan filem komedi dan dia menghadapi cabaran untuk mencari idea lain dari yang lain.
Jelasnya lagi, menerusi rekod kutipan filem-filem lakonan Senario, dia masih menaruh keyakinan yang tinggi terhadap keupayaan sebenar tiga anggota Senario iaitu Wahid, Azlee dan Lan Pet Pet dalam membawa watak masing-masing menerusi filem yang bakal dikeluarkan.
"Sebenarnya nak buat filem komedi, kita kena berserah sahaja. Penting sekali berani cuba sama ada berjaya atau tidak, itu tolak ke tepi, janji kita ada percubaan baru dalam pembikinan filem," tegas Idham.
Mengakui dia memikul satu tugas yang berat untuk mengarah filem genre komedi ldham berpendapat, tanggungjawab tersebut merupakan satu cabaran buat dirinya.
"Ini satu cabaran buat saya kerana sebelum ini saya pernah mengarahkan pelbagai genre filem namun untuk filem komedi rakyat, baru pertama kali saya lakukan. "Saya perlu faham jiwa komedi mereka, jika tak faham susahlah untuk mengarahkannya," katanya.
Senario dalam tiga sekuel
Belum pun mengetahui sambutan penonton terhadap Senario The Movie - Episode 2, filem sekuelnya yang ketiga sudah pun dijadualkan pembikinannya siap, dengan judulnya iaitu, Senario Jangan Pandang Belakang Congkak.
Idea yang dicetuskan ini akan digabungkan dengan filem arahan Idham, Jangan Pandang Belakang dan Congkak.
Menerusi filem sekuel itu nanti, penonton akan dihidangkan dengan naskhah yang menggabungkan elemen seram dan komedi.
"Sambungan filem Senario The Movie mungkin sehingga tiga sekuel. Peminat perlu tunggu kerana pelbagai aksi bersahaja Senario yang bakal dipertontonkan," ulasnya yang lebih gemar tidak mengubah watak Senario yang sedia ada.
Menyentuh kembali mengenai Senario The Movie:Episode 2, ketiga-tiga Wahid, Azlee dan Lan Pet Pet dikatakan telah berjaya membawa karakter diri masing-masing.
Tambah ldham, keistimewaan filem tersebut tentunya terletak pada jalan cerita yang dipersembahkan supaya peminat mendapat suatu naskhah yang cukup berlainan.
“Dalam filem sekuel Senario ini ia tidak langsung menyambung cerita daripada Senario Episod 1 kerana sekuel kali ini mengisahkan tentang kisah tiga sahabat yang pergi bercuti di sebuah resort di Pulau Pangkor.
“Filem ini akan menjalani penggambaran sebanyak 80 peratus di Pulau Pangkor dan hanya 20 peratus di Kuala Lumpur,” katanya.
Dengan menitikberatkan susunan plot dalam setiap mesej yang dibawa dan jalan cerita yang menarik serta mudah difahami, karya hasil tulisan Zulkeflee M Said ini diharapkan mampu memberi impak yang positif dalam setiap mesej yang ingin disampaikan tetapi secara santai kepada penonton.
Mana tidaknya, ldham yang lebih bersikap, terbuka dan tidak terlalu mengongkong Senario malah memberi peluang kepada ketiga-tiga pelawak itu untuk mengetengahkan juga idea bernas mereka.
Beritahunya, biarpun sekadar menampilkan ketiga-tiga anggota Senario selaku teraju utama, namun dia yakin filem tersebut pastinya akan mendapat sambutan.
“Kali ini kita cuba tonjolkan sesuatu yang cukup lain dengan tema penggembaran yang turut diselitkan dengan elemen cinta.
“Dengan kekuatan yang ada mereka mampu menarik minat, khalayak untuk menyaksikannya," tambah Idham.
Diperkuat teknologi SRD
Peluang untuk mencurahkan idea yang diberikan oleh Idham itu, sebenarnya telah memberi impak yang selesa kepada Senario kerana inilah masanya Senario menjadi dapat berkongsi idea mengenai watak mereka.
“Saya selesa bekerja dengan Idham, dia sangat memahami kerana dia juga pernah jadi seorang pelakon. Kadang-kadang tu kami tak berlakon ikut dialog sangat kerana lawak kalau ikut dialog akan nampak kaku dan membosankan," ulas Azlee.
Dicelah pula usikan Lan yang menganggap watak sebegitu, yang diberikan lebih mudah untuk dihayati dan selesa membawakan watak yang berbeza kali ini.
"Memang seronoklah dapat bawa ‘beach boys’. Saya tak pernah ada pengalaman bawa watak macam itu. Jadi ia merupakan satu pengalaman yang baru bagi saya. Lagi-lagi ada kekasih dalam filem ini,”ucap Lan dalam nada bergurau.
Menelan kos pembikinan dan promosi sejumlah RM1.75 juta, filem itu akan menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pangkor.
Kesemua lokasi yang dipilih itu mempunyai kaitan dengan kisah mereka dan sememangnya tidak kering gusi menonton filem Senario kali ini yang diperkuatkan dengan Sistem Surround Digital EX (SRD).
Senario turut bergandingan dengan gandingan beberapa pelakon hebat Maria Farida Nik Sayyidah (Salam Pantai Timur),Marsha AF3, Datuk Jamali Shadat, Riezman Khuzaimi dan Munir Phyne Ballerz.
Sinopsis
Kisah bermula apabila Azli, Wahid, dan Mazlan sampai di jeti dan ketika menaiki feri, dompet mereka telah dicuri.
Mereka juga terlanggar tiga orang gadis iaitu, Qasidah, Hamidah dan Zuraidah yang juga ingin menaiki feri yang sama dan terjadilah perbalahan kecil antara mereka.
Setelah sampai di Ariba Ariba Resort alangkah terperanjatnya mereka apabila Ariba Ariba Resort tidak seindah seperti yang disangka.
En Mansor, pemilik resort tersebut memberitahu mereka bahawa dulu resortnya cantik, tapi lama kelamaan resortnya tidak lagi dapat menarik perhatian pengunjung.
Azli, Wahid, dan Mazlan mulai berbincang untuk memajukan kembali Ariba Ariba Resort dengan syarat En Mansor membenarkan mereka tinggal disitu selama 2 minggu secara percuma.
Pelbagai aktiviti dirancang tetapi resort tersebut tetap tidak dapat meraih perhatian pengunjung. Mereka tiga sekawan mulai berputus asa dan berhasrat untuk keluar daripada resort itu.
Pagi esoknya, ketika mereka bertiga bersiap untuk keluar dari resort itu, mereka ternampak Remy keluar dari pejabat En Mansor dan beliau mengatakan masalah mereka telah selesai kerana Remy akan membantunya semula memajukan semula resortnya, tetapi Mazlan tiba-tiba teringat yang mereka pernah di dalam satu lokap bersama Remy dahulu kerana cubaannya menipu seorang datin.
Remy berasa amat marah apabila cubaannya menipu En Mansor gagal dan mengarahkan pembantunya Jonny menculik Qasidah.
Apakah Qasidah dapat diselamatkan? Bagaimanakah mereka mengharungi kesukaran demi kesukaran untuk menyelamatkan Qasidah? Saksikan Senario The Movie Episode 2: Beach Boys untuk mengetahui kesudahannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: