Saturday, June 27, 2009

Tidak sempat rasa bosan

Dulunya, inap desa (homestay) mungkin dikaitkan dengan kehadiran tetamu dari luar negara. Bagaimanapun, kini ia turut mendapat permintaan tinggi daripada peserta tempatan untuk mengadakan aktiviti perkhemahan dan sebagainya.




ITULAH serangkap pantun ringkas menyambut kehadiran pelancong yang ingin mendekati keindahan kehidupan tradisional masyarakat Melayu. Bersama alunan bunyi paluan kompang yang memecah kesunyian kampung, ia membuatkan para pelancong tersenyum lebar gembira.

Menerima kedatangan pelancong bagaikan ahli keluarga sendiri, Homestay Sungai Sireh di Tanjung Karang, Selangor semakin meniti di bibir penggemar aktiviti pelancongan inap desa (homestay).

Sejurus tiba di kampung itu, penduduknya dengan berbesar hati menerima pelancong sebagai anak angkat untuk tempoh beberapa hari. Hidup seperti orang kampung, anak-anak angkat ini akan makan makanan tradisional seperti masak lemak dan ikan bakar atau belajar membuat pelbagai kuih muih.

"Boleh dikatakan, setiap minggu kami menerima kunjungan tetamu sama ada dari luar negara atau tempatan.

"Kebiasaannya, kami kerap menerima kunjungan pelajar dari Korea, Jepun dan yang terbaru dari Beijing, China. Tidak lupa juga, kampung kami dijadikan sebagai lokasi penggambaran," kata Pengurus Homestay Sungai Sireh, Abu Bakar Moin kepada Kosmo! baru-baru ini.

Terletak di Tanjung Karang yang memakan masa kira-kira dua jam memandu dari Kuala Lumpur, anda akan teruja apabila melihat suasana perkampungan yang cukup harmoni.




Tanpa kelihatan kereta bersesak-sesak dan bersimpang siur di jalan raya membuatkan fikiran anda tenang untuk seketika waktu.

Suasana beginilah yang menjadi perhatian pelancong. Apatah lagi, sepanjang berada di situ, mereka akan mengikuti beberapa aktiviti yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Namun, bukan mudah sebenarnya untuk menjadikan sebuah kampung sebagai homestay. Anda perlu mempunyai beberapa kriteria penting seperti halaman kampung dan kediaman yang bersih.

Bukan itu sahaja, penduduk kampung yang ceria dan mesra dengan tetamu turut menjadi syarat wajib sebuah perkampungan homestay. Malah, peranan belia juga diperlukan kerana mereka yang akan membawa pelancong mengelilingi kampung.


BILIK tidur untuk peserta program inap desa yang sentiasa kemas di Kampung Sungai Sireh, Tanjung Karang, Selangor.


Homestay Sungai Sireh mula diperkenalkan pada 5 April 1995 dengan dahulunya hanya menerima 15 buah kediaman untuk dijadikan tempat tinggal pelancong.

Bagaimanapun, ia telah mendapat sambutan hebat daripada keluarga di kampung tersebut kerana sehingga kini terdapat 60 buah rumah yang terlibat.

Ia meliputi tiga buah kampung iaitu Kampung Sungai Sireh, Kampung Ampangan dan Kampung Parit 2 Sungai Burung.


ANTARA peralatan untuk bercucuk tanam yang dipamerkan di inap desa ini.


Bercerita mengenai aktiviti yang diadakan untuk mempamerkan keunikan kaum Melayu, Abu Bakar menjelaskan, kebanyakan pelancong tidak sabar untuk melihat kehijauan sawah padi yang terbentang luas.

"Kita akan memberi pendedahan mengenai kaedah menanam padi. Paling membuatkan mereka seronok apabila diberi peluang mencuba sendiri bagaimana menanam pokok padi.

"Ketika itu, rata-rata daripada mereka tidak kira pelajar tempatan mahu pun luar negara akan bersorak keriangan kerana tidak pernah melakukannya sebelum ini," jelasnya.

Selain itu, mereka turut dibawa melihat produk pelancongan penduduk kampung seperti melawat kebun sayur-sayuran secara komersial di sekitar kampung dan pemprosesan industri kecil dan sederhana berasaskan pertanian.

Dalam pada itu, peserta juga berkesempatan melawat kebun kelapa dan kelapa sawit serta melawat tempat pengumpulan buah kelapa sawit.


KEMUDAHAN untuk aktiviti berkayak turut menanti peserta percutian inap desa di Kampung Sungai Sireh, Tanjung Karang, Selangor.





Bagi pelancong yang inginkan suasana yang lebih mencabar atau dekat dengan hidupan flora dan fauna, Homestay Sungai Sireh juga menyediakan tapak perkhemahan di kawasan pertanian yang diteduhi dengan tanaman pokok kelapa sawit.

"Pokok yang rendang membuatkan suasana tapak perkhemahan lebih sejuk dan peserta terutamanya dari luar negara yang tidak tahan dengan cuaca panas dapat turut serta," kata Abu Bakar.

Sementara itu, bagi pelancong yang gemar dengan aksi sukan rekreasi ekstrem, Terusan Besar Ban Kanal sedia menanti anda untuk berkayak di situ.

Menariknya lagi, terdapat juga aktiviti lasak seperti merentas kawasan berpaya di kawasan hutan simpan tadahan air sawah padi.

Tidak sempat berasa bosan, peserta inap desa juga boleh mencuba nasib untuk memancing ikan di tali air atau terusan besar.

Terdapat pelbagai pakej inap desa yang boleh dipilih oleh pelancong sama ada pakej kunjungan sehari, sehari dua malam atau dua hari tiga malam.

Menerusi pakej pilihan, pengunjung boleh memilih aktiviti yang sesuai dengan kehendak dan tempoh masa mereka berada di kampung tersebut.

Salah seorang penduduk kampung, Sudarwati Abdul Rahman, 52, berkata, disebabkan rumahnya memiliki tiga buah bilik, keluarganya kerap menerima tiga atau dua anak angkat yang terdiri daripada pelajar asing.

"Mula-mula sukar juga nak terima mereka. Bukan apa, saya risau tentang cara komunikasi dan masakan yang mereka makan.

"Maklumlah tinggal di kampung, pastinya menu kampung yang menjadi hidangan. Namun, kerisauan itu lenyap apabila saya dapati, apa saja yang saya masak, mereka akan makan sampai habis," jelasnya sambil ketawa kecil.

Tambahnya lagi, kuih-kuih tradisional pastinya sentiasa terhidang di atas meja antaranya bahulu, keropok, tempeyek dan loyang.

Namun ceritanya, ada satu detik yang tidak disukainya dalam program inap desa ini. Apa lagi kalau bukan sewaktu melepaskan anak-anak angkat pulang.

"Ada anak-anak angkat yang sangat mesra. Dua tiga hari sudah cukup untuk mengikat silaturahim. Jadi, bayangkan saya sudah banyak menangis bila melepaskan anak-anak angkat.

"Sekarang, saya sudah boleh kawal emosi tetapi rasa sedih setiap kali berpisah tetap ada," luahnya.

Akuinya, rata-rata ramai anak angkat pasti akan sentiasa menghubungi atau kembali singgah melawat keluarga angkat di kampung itu apabila ada kelapangan.

Menurut suami Sudarwati, Mohd. Tauhid Ahmad Jimadi, setiap pelancong yang bertandang ke rumahnya mempunyai pelbagai ragam.

"Ada peserta yang cukup manja dan sensitif tetapi lama kelamaan, mereka akan terbiasa dan boleh bawa diri.

"Kebiasaannya, sekiranya tiada aktiviti, mereka akan teman pak cik berkebun di halaman rumah," jelasnya yang memiliki tanaman buah nanas, cili dan ubi kayu di sekitar kediamannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: