OGY rindu sesi latihan teater yang membantu memberinya idea baru mengenai seni lakonan. |
Fauziah Datuk Ahmad Daud teruja berlakon dalam teater Intan Yang Tercanai
KALI terakhir kelibatnya menghiasi pentas teater adalah pada 2004 menerusi pementasan Dejavu di Panggung Sari, Istana Budaya.
Sejak itu pelakon berkarakter, Fauziah Datuk Ahmad Daud seakan menyepi dari dunia yang menjadi pentas terbaik untuk mengasah bakat serta mendalami makna lakonan.
Bagaimanapun, kerinduan selepas hampir lima tahun tidak beraksi di pentas lakonan terubat apabila Fauziah atau lebih mesra membahasakan dirinya sebagai Ogy kembali untuk pementasan karya Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan, Intan Yang Tercanai.
Naskhah yang merakamkan elemen kemanusiaan kesan tragedi Terowong Al-Muasseim di Mina pada 1990 arahan A Wahab Hamzah menyaksikan Ogy beraksi sebagai Lembaga 3 di samping dua aktivis teater hebat, Norzizi Zulkifli dan Juhara Ayob.
“Saya terpanggil untuk kembali kerana naskhahnya yang hebat, selain pengarah serta barisan pelakon berkaliber membuatkan saya terus bersetuju apabila ditawarkan watak itu,” kata Ogy teruja.
Akui primadona filem Melayu yang sinonim dengan produksi Ali Setan dan Suara Kekasih ini, tubuhnya meremang ketika pertama kali membaca teks karya sasterawan agung itu.
Pantas kata Ogy, dia cuba memvisualkan apa yang terjadi malah semakin mendalami naskhah itu, dirinya diburu pertanyaan demi pertanyaan.
“Naskhah ini tidak terlalu sukar untuk difahami. Cuma semakin didalami, saya tertanya sendiri mengapa sesuatu ayat itu ditulis begini dan begitu. Apa yang lebih menarik, setiap satu perkataan mempunyai kaitan dengan penceritaan.
“Saya menjadi lebih tertarik apabila ia turut menyampaikan isu semasa dengan menyeluruh membuatkan saya tidak jemu mengulangi membacanya,” kata Ogy.
Tambah pelakon berusia 46 tahun ini, watak Lembaga 3 sebenarnya mencabar dirinya sebagai pelakon kerana perlu berimaginasi bagaimana mahu merealisasikan peranan sebagai malaikat.
Menerusi pembacaan kata Ogy, bentuk fizikal malaikat tidak dijelaskan dengan terperinci dan cabaran itu membuatkan dia bersama Norzizi dan Juhara akan terus menggali supaya penampilan mereka meninggalkan kesan kepada penonton.
Lebih memberikan cabaran kata Ogy, Intan Yang Tercanai tidak menuntut dialog yang panjang sebaliknya lebih tertumpu kepada interaksi mereka bersama audiens supaya mesej yang dibawa sampai kepada penonton.
“Suara kami yang berlakon dan dalam hal ini menjaga pernafasan itu penting supaya tidak nampak kelemahan apabila di pentas nanti.
“Mungkin kami bertiga bernasib baik kerana sudah melalui segala asas teater membuatkan kami selesa menjalani sesi latihan yang berterusan.
“Naskhah ini secara tidak langsung memberi cabaran untuk merangsang minda kami. Walaupun bukan watak utama tetapi tuntutannya sangat besar membuatkan semakin membaca segala maklumat mengenai malaikat,” katanya.
Sekali pun mempunyai pengalaman luas dalam bidang lakonan, Ogy berkata, latihan tetap diutamakan kerana di situ proses mencari karektor serta meneroka ruang dan perasaan dalaman bermula.
Kata Ogy, peluang itu tidak akan ditemui ketika membintangi drama dan filem kerana masalah produksi yang sentiasa dihambat masa.
“Latihan seperti ini membuat saya rindu untuk beraksi di pentas teater. Berbincang dengan pengarah serta barisan pelakon membantu saya menemui sesuatu yang baru dalam diri dan lakonan.
“Bagi saya, setiap pelakon harus melalui proses ini tidak kira mereka membintangi filem atau drama. Bengkel seperti ini penting supaya kelihatan watak itu yang berlakon,” katanya.
Intan Yang Tercanai bakal dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur dari 8 hingga 12 Julai ini menampilkan tiga bakat baru iaitu Mardiana Alwi, Arwindran Kalaivanan dan Geethanjali Gausillia Kathirvalu sebagai pelakon utama.
Beralih kepada perbualan mengenai perkembangan kariernya, Ogy berkata, dia teruja apabila pengalaman yang dimiliki dapat dikongsi serta dicurahkan menerusi siri kelas lakonan yang dikendalikan Finas.
Sesekali kata Ogy, dia juga ke luar daerah untuk berkongsi pengalamannya dengan anak muda mengenai dunia lakonan dan terbaru, dia baru saja menyempurnakan bengkel tiga hari dua malam bersama 80 pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM).
“Bengkel itu disertai pelajar dari tingkatan dua hingga enam atas. Dalam tempoh singkat itu, saya perlu memberikan mereka sebanyak mungkin ilmu serta mengubah anak-anak itu menjadi pelakon, penulis skrip dan pengarah.
“Apa yang saya lakukan ini membantu menjadi terapi minda dan lebih menyeronokkan, banyak idea dapat dikongsi bersama biarpun pada awalnya mereka agak malu-malu.
“Bengkel ini bukan hanya tertumpu kepada lakonan, sebaliknya turut membantu mereka mempertingkatkan keyakinan diri dan ia sangat menyeronokkan,” katanya.
Mengimpikan untuk mengendalikan satu persembahan terbuka supaya anak-anak ini dapat menyalurkan idea serta bakat mereka, Ogy berkata, dia menemui kepuasan sebagai seorang guru.
Sering perkara pertama yang diingatkan kepada pelajar itu supaya jangan mempunyai masalah disiplin, selain memberi kefahaman mengenai dinamik seorang pelakon.
“Alhamdulillah, mungkin kerana mereka masih mentah serta kurang pengalaman, segala apa yang diajar mudah diterima. Saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk menangani kerenah mereka dan Insya-Allah, jika terus diberi kepercayaan saya bersedia membantu mereka yang berminat,” katanya.
Ogy berkata, sumbangan kecilnya itu tidak akan terhenti kerana Julai ini, dia menerima tanggungjawab untuk mengendalikan bengkel bersama 100 pelajar yang bakal diadakan di Kolej yayasan Saad, Melaka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: