Wednesday, June 10, 2009

Sheila bangga miliki pejabat sendiri


TEKUN sungguh Sheila memasak sambil diperhatikan Sofia.


SELAMA empat tahun beroperasi, JS Pictures Sdn. Bhd., (JS Pictures) yang dimiliki oleh aktres serba boleh, Sheila Rusly bersama suaminya yang juga seorang pengarah, AzmanYahya atau Jinggo kini sudah mampu tersenyum bangga.

Masakan tidak, dalam tempoh itu mereka hanya mampu menyewa sebuah pejabat di Gombak Setia, Kuala Lumpur bagi mengendalikan serta menguruskan segala hal ehwal produksi mereka.

Siapa sangka, kepayahan dan kesusahan untuk meletakkan JS Pictures di satu tahap seperti hari ini semuanya berbalas apabila syarikat produksi yang semakin menempa nama itu bakal beroperasi di pejabat yang dimiliki sendiri oleh tuan punya syarikat itu.

Pastinya, Sheila dan Jinggo kini mampu tersenyum puas kerana apa yang diimpikan sejak menubuhkan JS Pictures pada tahun 2005 itu terlaksana seperti mana yang dirancang sebelum ini.

Bukan sekadar gembira dan teruja dengan kejayaan itu, malah mereka cukup bangga kerana dengan adanya pejabat baru itu kelak, ia mampu mengukuhkan lagi nama JS Picture di persada seni tanah air.

Bertemu dengan Sheila sewaktu penggambaran episod terakhir Ketuk-Ketuk Ramadan (KKR) musim kedua bersama pelakon jelita, Sofia Jane di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor baru-baru ini, bibir mungilnya tidak henti melafazkan syukur dengan kejayaan terbarunya itu.

Katanya, apa yang dimilikinya itu tidak datang bergolek sebaliknya ia adalah usaha kerasnya bersama Jinggo yang tidak pernah lelah menghasilkan karya bermutu dalam menyakinkan pihak stesen televisyen di negara ini.

"Dengan adanya pejabat sendiri, ia memberi kami satu semangat baru untuk terus memberikan yang terbaik kepada masyarakat menerusi karya kami," katanya yang enggan mendedahkan harga pejabat yang dibelinya beberapa bulan lalu itu.

Membicarakan tentang JS Pictures, perkara pertama yang terlintas adalah kualiti serta mesej yang diselitkan dalam setiap drama terbitan mereka tidak kira dari genre drama mahupun komedi.

Malah, JS Pictures juga pernah mencipta kejayaan apabila drama Sebuah Ijtihad berjaya merangkul empat anugerah termasuk Drama Terbaik, Pengarah Drama Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik serta Lakon TV Terbaik di Anugerah Skrin Ke-9 pada tahun 2007.

Sudah menjadi adat, apabila berjaya, pasti akan ada yang tidak berpuas hati dan cemburu lantas mulalah cerita-cerita kurang enak disebarkan.

Sheila dan Jinggo juga tidak terlepas daripada diperkatakan orang. Tetapi, kedua-duanya begitu optimis dengan perjuangan mereka dan tidak mahu memikirkan tentang kata-kata mereka yang iri hati dan dengki dengan kejayaan mereka.

Apatah lagi, apabila JS Pictures dikatakan sebagai anak emas TV3 apabila drama-drama terbitan mereka kerap ditayangkan di stesen televisyen swasta pertama negara itu berbanding di RTM dan Astro.

"Semua dakwaan itu tidak benar sama sekali. Saya juga buat drama dan program untuk semua stesen televisyen yang ada di negara ini. Cuma, mungkin kelebihan TV3 adalah rangka promosi yang dijalankan oleh mereka.

"Jujurnya, saya menerima banyak tawaran tetapi saya perlu menolaknya secara baik kerana tidak mahu ia bertimpa dengan projek yang sedang berjalan. Ada kalanya, tawaran itu datang tidak kena pada masanya," jelas anak jati Kuala Lumpur ini dalam nada tegas.

Antara projek terbaru JS Pictures adalah penggambaran drama bersiri Cucu Betong tidak lama lagi yang merupakan kesinambungan daripada Anak Betong yang pernah ditayangkan menerusi slot Legenda di TV3 beberapa bulan lalu.

Bukan itu sahaja, drama Mabuk Estrogen dan Donut yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini juga akan ditayangkan di Astro kelak.

Malah, Sheila juga memberitahu Astro juga ada menawarkannya peluang untuk menerbitkan program dan drama untuk saluran terbaru mereka, Astro Warna dan Astro Citra.

Suasana berbeza

Mengalih perbualan kepada rancangan KKR yang sudah pun memasuki tahun kedua itu, ibu kepada dua orang anak ini juga bersyukur dan berterima kasih kepada RTM kerana masih lagi mempercayai kredibiliti JS Pictures untuk menerbitkan rancangan masakan itu.

Apatah lagi, kali ini KKR mendapat sokongan sepenuhnya daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan penajaan oleh susu sejat Dairy Champ.

Jelas aktres dan penerbit berusia 37 tahun ini lagi, untuk musim ini dia dan Jinggo sepakat untuk membuat perubahan serta pendekatan yang sedikit berbeza berbanding dulu.

Antaranya adalah penggambaran yang dilakukan di pasar-pasar tani terpilih di sekitar Lembah Klang bagi mendapatkan suasana berbeza yang mampu membangkitkan keterujaaan Sheila dan selebriti undangan dalam mempamerkan skil memasak mereka.

Selain itu juga, KKR juga akan menyelitkan maklumat-maklumat berguna khusus buat penonton di rumah dari segi aspek bahan yang digunakan serta aspek penyediaan makanan yang mungkin sebelum ini jarang diketahui umum.

"Bukan untuk penonton sahaja, malah saya sendiri juga mendapat input yang berguna sepanjang menjalani penggambaran KKR. Setidak-tidaknya saya dapat aplikasikan dalam masakan saya," ujarnya tentang rancangan sebanyak 26 episod itu.

Antara selebriti yang terlibat kali ini ialah Dynas, Nabil, Irma Hasmie, Fizz Fairuz, Almy Nadia, Fizo Omar, Pekin dan Iqram Dinzly.

Melihat kepada barisan selebriti yang diundang kali ini sebahagiannya pelakon muda dan baru, jelas Sheila, dia memang sengaja berbuat demikian kerana mahu mengajak golongan remaja dan belia di negara ini turun ke dapur.

Selama lima tahun mengendalikan rancangan masakan, tiga tahun untuk Cita Rasa Selebriti dan dua tahun KKR, Sheila tidak menafikan cabaran yang perlu ditempuhinya dalam menyediakan juadah dalam rancangan tersebut.

Katanya, perkara itu amat dititik beratkannya kerana tidak mahu mengulangi resipi yang sama. Bukan itu sahaja, Sheila juga melakukan kajiannya untuk mengubah suai resipi termasuk penggunaan susu sejat Dairy Champ bagi menggantikan santan dalam sesetengah resipi.

Sementara itu, bagi Sofia pula apabila Sheila menawarkannya untuk beraksi dalam KKR, dia tidak berdaya menolaknya apabila mengenangkan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama.

Ini juga bukan kali pertama dia melibatkan diri dalam program masakan terbitan JS Pictures kerana dia pernah menonjolkan bakat memasaknya menerusi rancangan Cita Rasa Selebriti beberapa tahun lalu.

"Kekok juga apabila memasak di depan kamera kerana saya ini seorang yang pendiam (ketawa) dan sukar sekali mengendalikan rancangan sebegini. Mujurlah ada Sheila yang sememangnya bijak menangani masalah yang saya hadapi di lokasi.

"Celoteh dan ligat Sheila di lokasi banyak menutup kelemahan saya sewaktu menjalani penggambaran KKR. Pengalaman memang cukup menyeronokkan walaupun saya hanya menampilkan resipi yang cukup ringkas iaitu Sup Tulang.

"Namun begitu, ia juga bukan satu proses yang mudah kerana saya perlu berdepan dengan masalah ketiadaan bahan asas untuk melazatkan lagi masakan itu tetapi dengan adanya beberapa bahan gantian, kerja semua menjadi mudah," cerita ibu kepada tiga orang anak perempuan ini sambil ketawa.

KKR akan mula ditayangkan di TV1 pada hari pertama puasa yang dijangkakan pada 22 Ogos depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: